Nukilan Kisah Indah Dalam Hidup Kami

Friday, May 23, 2008

Perkahwinan

Dalam konteks kebudayaan, perkahwinan adalah satu cara hidup tetapi daripada kacamata Islam ia adalah fitrah dan ibadat. Perkahwinan tidak hanya berupaya memenuhi tuntutan naluri semula jadi manusia, malah menggalakkan kita memenuhi syariat Islam. Firman Allah yang bermaksud: "Dan di antara kebesaran Allah ialah Dia telah menciptakan untukmu isteri supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya antara kamu rasa kasih dan sayang." – (Surah al-Rum, ayat 21)

Perkahwinan tidak sekadar menghubungkan perkongsian hidup antara lelaki dan perempuan tetapi kita ditugaskan untuk menjaga amanah supaya mengekalkan silaturahim serta perasaan kasih mesra sesama manusia. Perkahwinan yang wujud daripada rasa kasih sayang sejati ditambah pula dengan pengabdian tulus ikhlas kepada Allah akan menjadikan seseorang berani menghadapi kenyataan hidup, berusaha dan bekerja lebih giat bagi mencapai kejayaan demi memenuhi kewajipan mencari nafkah untuk anak dan isteri. Selain itu, perkahwinan juga mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam kemungkaran seperti terbabit dengan seks luar nikah, seterusnya melanjutkan keturunan dan membentuk anak yang soleh. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bahawa dua rakaat solat orang yang beristeri adalah lebih baik daripada 70 rakaat solat orang bujang". Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: "Apabila mati seseorang itu, maka terputuslah semua hubungannya kecuali tiga perkara iaitu amalannya, sedekah jariahnya dan anak yang soleh."

Alangkah baiknya jika kita kembali kepada konsep Islam yang sering mempermudahkan segala sesuatu bertepatan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Wajib atas kamu memberi nafkah (sara hidup) kepada anak dan isteri kamu serta pakaian dan tempat tinggal yang munasabah. Siti Aisyah menerangkan, Nabi Muhammad SAW amat pengasih dan lemah lembut dalam pergaulan dengan isteri-isterinya. Kehidupan Baginda sederhana, ketika siang hari Baginda tidur di atas tikar yang dijadikan juga tempat bersolat dengan beralaskan kain lilitan serban. Ketika hampir menyembahyangkan jenazah seorang sahabat meninggal dunia, salah seorang yang hadir dalam kumpulan itu bertanya: "Wahai Rasulullah, sahabat kita yang meninggal dunia ini memang terbilang kebajikannya sewaktu hidup, ia bersolat, berpuasa, bersedekah serta melakukan segala kebajikan, bagaimanakah pandangan tuan terhadapnya? Maka Rasulullah SAW menjawab: Sesungguhnya aku mengetahui akan kebajikan yang dilakukan olehnya, tetapi aku sedih kerana akan berkuranglah martabat pandangan Allah terhadap dirinya lantaran dia meninggal dunia dalam keadaan bujang." Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Apabila seseorang perempuan mendirikan solat lima waktu, berpuasa Ramadan, memelihara kehormatan serta menutup aurat dan taat kepada suami, maka berhaklah di masuk ke syurga dari sebarang pintu yang ia kehendaki." Seorang isteri yang ikhlas serta penuh reda menyambut kepulangan suaminya dengan senyum manis lalu menghulurkan segelas minuman melepaskan dahaga, maka pahalanya sama seperti pahala seseorang yang menunaikan umrah. Eloklah kita renungkan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, lelaki jahat untuk perempuan jahat manakala perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat pula."


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...