Nukilan Kisah Indah Dalam Hidup Kami

Monday, November 29, 2010

Lawatan Ke Kompleks 3C & Taska Permata MPSJ

Saya agak bertuah kerana pada 26 November 2010, saya beserta AJK Ibu Bapa Pusat Jagaan MPK telah berpeluang melawat ke Kompleks 3C yang terletak di Bandar Sunway, PJ. Kompleks 3C tersebut adalah di bawah pentadiran MPSJ. Tujuan lawatan kami ke sana adalah bagi menambahbaik kemudahan Taska dan Pusat Transit MPK.



Kompleks 3C adalah merupakan Pusat Kreativiti Kanak-Kanak yang menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti Pra Sekolah, Pusat Perkembangan Kanak-Kanak, Petting Zoo, Galeri, Kafetaria, Sewaan Auditorium, Kelas Pembelajaran di samping pelbagai aktiviti mingguan yang lain. Kadar harga yang dikenakan bagi menghantar anak ke Pusat Perkembangan Kanak-Kanak adalah mengikut pakej iaitu :-

Pakej 1 - kanak-kanak umur 3 - 6 tahun termasuk makan dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang dikenakan RM250.00 seorang.

Pakej 2 - kanak-kanak umur 3 - 6 tahun termasuk makan dari jam 8.00 pagi hingga 1.30 tengahari dikenakan RM125.00 seorang.

Saya agak teruja apabila memasuki kompleks tersebut yang keluasannya boleh diibaratkan sebesar Jusco Bukit Tinggi, Klang (tidak termasuk parking). Dalam bangunan tersebut semuanya lengkap ada. Menurut staff, kemasukan ke kompleks atau taska adalah berdasarkan 'first come, first serve' yang mana tidak kiralah samada staff atau bukan, siapa cepat mendaftar akan diberi keutamaan.



Sebahagian kanak-kanak bermain di luar sambil diawasi oleh beberapa orang kakitangan.

Semua staff yang bekerja adalah di bawah MPSJ dan diletakkan di bawah Jabatan. Terdapat beberapa orang Pegawai dan kakitangan sokongan yang berjumlah lebih daripada 40 orang.



Dalam masa yang sama, di dalam bangunan turut terdapat sekumpulan kanak-kanak lain sedang bermain yang mana turut berada di bawah pengawasan beberapa orang kakitangan.



Kak Maisarah (Setiausaha), saya (Bendahari) dan Puan Suzana (AJK). Seronok dapat sekali-sekala berpeluang mendapat pelepasan ni.



Semasa di bawa meninjau bangunan Kompleks.



Perkhidmatan sewaan Auditorium turut disediakan di dalam kompleks tersebut yang mana semasa tinjauan kami, latihan oleh kanak-kanak tadika luar sedang diadakan. Untuk pengetahuan, program TV9 (Ustaz Zamri) juga pernah menggunakan perkhidmatan disini.



Ada 2 buah library di dalam kompleks tersebut yang dinamakan sebagai Perpustakaan Hipermedia, 1 library untuk bahan bacaan dewasa dan 1 lagi library untuk bacaan kanak-kanak. Perkhidmatan komputer turut disediakan. Untuk menjadi ahli, bayaran tertentu ada dikenakan.



Yang ni library kanak-kanak.



Di Petting Zoo, saya mengambil peluang bergambar bersama burung merak. Selain burung merak, ada monyet, ayam belanda, itik, ayam serama dan burung unta. Manakala haiwan seperti ular, kura-kura dan biawak juga terdapat di sana yang mana ianya ditempatkan di dalam almari kaca.



Burung unta ni rupa-rupanya tak suka dengan warna hitam yang mana ianya akan bertindak balas dengan berbunyi bising bila melihat objek berwarna hitam. Yang saya perasan, hampir togel bulu badan salah seekor burung unta ni disudu oleh salah seekor burung unta yang lain.



Lokasi seterusnya lawatan kami adalah ke Taska Permata MPSJ yang mengambil masa hampir 15 minit perjalanan dari kompleks tersebut. Taska ni hanya khusus sebagai pusat jagaan kanak-kanak iaitu dari baby hinggalah ke kanak-kanak transit. Agak besar Taska ni dan staff yang ditugaskan lebih kurang 25 orang.



Bilik untuk kanak-kanak umur 3 - 4 tahun. Kanak-kanak ni ceria menyambut kedatangan kami.

Sebagai staff MPSJ atau warga penduduk PJ sekiranya mempunyai anak kecil sehingga remaja amatlah rugi sekiranya tidak menggunakan kemudahan yang disediakan ini kerana bagi staff MPSJ sendiri, kadar yang dikenakan hanya RM100.00 dan tiada caj tambahan lain dikenakan kecuali jika mengambil anak melebihi jam 6.30 petang akan dikenakan RM5.00 sejam.

Harapan saya setelah sekembali dari lawatan tersebut adalah saya amat berharap agar kemudahan yang sama turut disediakan di Majlis Perbandaran Klang ni. Bukan sahaja kepada staff tetapi juga untuk warga penduduk Klang yang mana ianya secara tidak langsung akan memberi hasil kepada pihak Majlis. Walau bagaimanapun, saya tetap bersyukur dengan kemudahan Taska sediada, cuma ianya hanya perlu ditambahbaik sahaja.





Sepetang Di Jusco Bukit Tinggi, Klang

Rabu malam Khamis yang lepas, saya tidur di rumah mak dan sekaligus saya mengambil peluang membawa Khadija dan Fatihah jalan-jalan ke Jusco. Adik saya Nor dan Aqilah si putih gebu anak adik saya Saleha pun turut serta.



Balik dari ambil Khadija di Taska terus ke rumah mak ambil Fatihah, Aqilah dan mak cik Nor. Bukan main suka lagi budak 3 orang ni dapat berjalan. Si Aqilah diam sepanjang perjalanan. 'Excited' di bawa berjalan macam perangai adik saya Saleha yang suka berjalan (sekarang sedang berpantang anak kedua). Aqilah baru setahun 3 bulan dah dapat adik. Kesian tak sempat nak manja lama.



Yang paling 'excited' Khadija mulut tak henti bercakap.



Fatihah, budak manja yang mengada. Kalau ada saya tak nak berenggang walau sesaat.



Khadija dengan tocang dua yang disiput oleh teacher Ain katanya.



Sampai Jusco, makan dulu di KFC sebelum berjalan. Adik saya Nor yang sedang menghitung hari untuk melangsungkan pernikahan dengan jodoh yang ditentukan Ilahi dan menjadi pilihan hatinya iaitu Ajib.



Bukan main lagi budak 2 orang ni, dapat makan terus diam. Tak macam Fatihah, diberi makan punyalah susah nak ditelan walaupun dah diberi vitamin Appeton. Sebab tu badan susah nak naik.



Keluar dari KFC ingat nak terus menuju ke dalam Jusco. Tapi kami terhenti seketika di hadapan Mc'D.



Khadija merengek nak ais krim. So, mak cik Nor dengan bermurah hati membelikan anak-anak buah kesayangan ais krim.

Kesimpulan dari 'window shopping' saya pada petang tersebut adalah agak sukar berjalan dengan kanak-kanak, kalau bawa seorang je masih boleh di'handle'. Tapi kalau dah 3 orang sekaligus, banyak kerenahnya. Dengan si Khadija yang minta itu ini. Si Fatihah yang terberak dan ditambah dengan si Aqilah yang remas nak berdokong bila dah terlalu lama duduk di dalam trolley. Bagi saya kalau nakkan keselesaan dan bebas memilih barang dari satu tempat ke satu tempat adalah lebih baik shopping bersendirian sahaja. Itu pun kena tengok masa juga, jangan pulak sebab nak bershopping, tanggungjawab menjaga anak dilepaskan kepada orang lain . Jadi kena pandai curi masa untuk bershopping sendirian iaitu semasa dalam waktu lunch hari bekerja kerana tanggungjawab menjaga anak pada waktu selepas bekerja dan hari cuti adalah sepenuhnya oleh ibubapa dan bukan pengasuh @ taska @ wan/nenek ye. Dan ini adalah ingatan buat diri saya sendiri juga.



Tuesday, November 23, 2010

Cerita Hujung Minggu Kami

Hujung minggu kami yang lepas memang penuh dengan aktiviti. Bermula hari Sabtu, pagi-pagi lagi kami ke MPK bagi memeriahkan program korban anjuran PEKERTI. Sebanyak 7 ekor kambing dan 7 ekor lembu ditumbangkan pada hari tersebut. Hakim turut serta sebagai petugas. Selesai program tersebut, setelah berehat di rumah mak, kami ke butik Ariani, Shah Alam bersama-sama Nor, adik saya. Hanya dia yang membeli tudung sebanyak 3 helai yang mencecah harga hingga RM250.00 dari butik tersebut, manakala saya sekadar menemani sahaja. Setelah ke butik tersebut, kami terus ke Tesco Shah Alam bagi membeli stok barangan rumah yang hampir kehabisan. Lokasi seterusnya setelah menghantar Nor dan Sarah (anak buah saya) ke rumah mak dan selesai solat Asar, kami ke kolam renang MPK di Kompleks Sukan Pandamaran, Pelabuhan Klang. Jarak kolam renang ni dari rumah mak saya di Telok Gadong amatlah dekat, kurang dari 5 minit perjalanannya.



Kalau diikutkan yang beria nak mandi kat swimming pool ni, si Khadija lah orangnya. Teruja betul dia bila tahu nak ke sana. Saya memang dah standby pun swimming suit ni.

Kolam renang MPK ni ada 3 kolam, 2 kolam kanak-kanak bersaiz sederhana dan 1 kolam untuk dewasa. Hujung minggu dan waktu cuti sekolah memang ramai pengunjung ke kolam renang tersebut memandangkan kadar bayaran yang dikenakan hanya RM1.00 untuk kanak-kanak dan dewasa RM2.00. Jadi kepada sesiapa yang punya masa terluang dan tidak tahu hendak ke mana atau mempunyai kekangan kewangan untuk membawa anak-anak bercuti, bolehlah bersantai di kolam renang MPK ni.



Fatihah masa sampai ke sini, dia sedang tidur sebab kepenatan mengikut kami dari satu lokasi ke satu lokasi sebelum ini. Tapi bila Fatihah dengar je suara Khadija yang riuh-rendah, terus Fatihah bangun dan beria-ia nak join masuk kolam juga.



Khadija dah boleh dibiarkan sendiri di dalam kolam renang kanak-kanak ni sebab kolamnya cetek je.



Abah yang terpaksa masuk sama ke dalam kolam kanak-kanak sebab nak mengawasi budak 2 orang ni. Si Fatihah pula, sekejap je berendam sebab lepas tu terus menggigil kesejukan.



2 kolam renang kanak-kanak.



Kolam ni tutup dalam pukul 9.00 malam.



Khadija ni memang berani, dia bergerak sendiri di dalam kolam tanpa perlu dipegang lagi. Kami tak lama di kolam tersebut, dalam 1 jam je. Nasib baik Khadija puas, cuma yang tak puas, abahnya sebab tak dapat mandi di kolam renang dewasa katanya. Next time, kita boleh pergi lagi ye sebab dekat je.

Balik je dari sana, saya memulakan misi memasak daging korban yang dapat dari MPK tadi. Gambar masakan tersebut lupa dirakam kerana prosesnya agak lama. Dari memotong hingga memasak, memakan masa hampir 2 jam dan itu pun dagingnya masih kurang empuk.

Cerita mengenai aktiviti hari Ahad pula, sebelah pagi kami bersarapan di luar. Hakim pada pagi tersebut kononnya nak membuat surprised kepada saya, disuruh saya membawa bersama handbag yang berisi kamera. Katanya perkara yang sebenar akan diberitahu di kedai makan nanti. Tapi surprised tersebut tidak menjadi akhirnya disebabkan diapers Fatihah terlupa di bawa bersama. Nak tahu apa surprisednya? Hakim nak bawa kami bersantai di Bukit Cahaya Sri Alam.



Gambar ni dirakam pada sebelah petang hari Ahad. Wajah keriangan 2 beradik yang tak sabar nak di bawa berjalan. Masa ni kami nak ke Klang Parade. Tujuan utama kami ke sana kerana Hakim nak massage di Thai Massage seperti yang saya janjikan sebagai hadiah hari lahir beliau baru-baru ini.



Geram dengan muka 'cute' Fatihah. Budak manja yang lincah. Fatihah pun dah pandai, nak sama pakai beg, tak padan kecil, budak comel lote ni.



Si kakak yang nakal dan banyak kerenah. Sekarang dah mula belajar membaca melalui teknik fonetik dari buku yang Hakim beli atas permintaan Khadija sendiri.




Friday, November 19, 2010

Malam Menjelang 10 Zulhijjah 1431 H

Malam menjelang Aidiladha tahun 2010 baru-baru ini, Hakim menyertai program baraan di taman perumahan kami. Al-maklumlah, Hakim salah seorang daripada AJK yakni imam muda bagi Jawatankuasa Surau Ar-Rahim, Taman Saujana Kapar. Kali ni, majoriti rumah di taman perumahan kami turut serta memandangkan kebanyakan mereka tidak pulang ke kampung. Menurut Hakim, baraan dibahagikan kepada 2 kumpulan supaya program tidak berlarutan hingga pagi. Manakala tuan rumah yang turut serta digalakkan menghantar makanan ke surau. Memang aktif Jawatankuasa di taman perumahan kami ni di mana 2 ekor lembu turut ditumbangkan sebagai korban pada tahun ni.



Giliran rumah kami pada malam tu adalah yang terakhir iaitu dalam pukul 12.15 tengah malam baru ahli-ahli baraan sampai. Menurut Hakim dalam 17 orang kesemuanya sahaja yang tinggal daripada ramai sebelum ni. Bacaan doa selamat disusuli setelah laungan takbir berkumandang bagi memecah kesunyian malam sebelum ahli-ahli baraan tersebut pulang.



Buah tangan @ sedekah ikhlas dari kami adalah kek gula hangus dan air kotak.



Kek gula hangus yang telah dimasukkan ke dalam plastik dan dilabel, manalah tahu ada yang ingin menempah.



Kek dan air kotak yang telah dimasukkan ke dalam plastik.



Saya memang sukakan program sebegini yang mana secara tidak langsung dapat menghidupkan malam sebelum raya. Syukur Alhamdulillah, saya dikurniakan suami yang seimbang di antara urusan dunia dan akhirat.




Thursday, November 18, 2010

Fadhilat Bulan Zulhijjah

Salah satu cara yang telah dianjurkan oleh agama kita ialah dengan berpuasa sunat pada tanggal 1 hingga 9 Zulhijjah. Kelebihan berpuasa pada hari itu berbeza-beza pula, menurut sebuah Hadis yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a., Rasulullah bersabda maksudnya :-

1 ZULHIJJAH - Kesalahan Nabi Adam diampuni Allah. Barang siapa berpuasa pada hari itu, diampuni Allah akan dosanya.

2 ZULHIJJAH - Doa Nabi Yunus diperkenankan oleh Allah. Barang siapa berpuasa pada hari itu seolah-olah ia berpuasa setahun dan tidak pernah berbuat maksiat sedikit pun.

3 ZULHIJJAH - Doa Nabi Zakaria diperkenankan Allah. Barang siapa berpuasa pada hari itu, diperkenankan Allah segala doanya.

4 ZULHIJJAH - Nabi Isa a.s. telah dilahirkan. Barang siapa berpuasa pada hari itu terhindar ia daripada kefakiran serta kemelaratan dan pada hari kiamat kelak ia akan tergolong bersama dengan orang-orang terhormat.

5 ZULHIJJAH - Nabi Musa a.s. dilahirkan. Barang siapa berpuasa pada hari itu terlepas ia daripada sifat munafik serta seksa kubur.

6 ZULHIJJAH - Allah membukakan pintu kebajikan kepada Nabi-NabiNya. Barang siapa berpuasa pada hari itu ia akan dipandang oleh Allah dengan penuh rahmat dan kasih sayang serta terlepas daripada azab.

7 ZULHIJJAH - Pintu neraka jahannam akan dikunci dan dibuka semula lewat 10 Zulhijjah. Barang siapa berpuasa pada hari itu, dikuncikan Allah baginya 30 pintu kesulitan dan dibukakan 30 pintu kesenangan.

8 ZULHIJJAH - Nabi Ibrahim bermimpi mendapat perintah dari Allah supaya menyembelih puteranya Ismail. Seharian ia berfikir apakah perintah itu datangnya dari Allah atau dari syaitan. Hari itu telah dinamakan dengan dari "Tarwiya" (hari berfikir-fikir). Barang siapa berpuasa pada hari itu ia akan diberi Allah pahala yang tidak terhitung jumlahnya, hanya Allah yang mengetahui.

9 ZULHIJJAH - Turun ayat terakhir kepada Rasulullah s.a.w. yang tersebut dalam surah al-Ma'idah, ayat 3. Menurut sejarah, 81 hari setelah ayat ini diturunkan iaitu pada hari Jumaat tanggal 9 Zulhijjah tahun 9 H ketika Nabi wukuf di Arafah, baginda pun wafat. Pada hari itu juga Allah memberitahu kepada Nabi Ibrahim bahawa perintah menyembelih anak itu sememangnya adalah perintah dariNya bukan dari syaitan. Justeru hari itu dinamakan hari "Arafah" (hari tahu). Barangsiapa yang berpuasa pada hari itu akan diampunkan Allah dosanya setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.

10 ZULHIJJAH - Adalah Hari Raya Aidul Adha (korban) dinamakan juga hari "Nahar" (menyembelih). Barang siapa berkorban pada hari itu dengan seekor korban, maka setiap titisan darah yang mengalir dari leher haiwan itu akan diampuni Allah akan dosanya serta dosa ahli keluarganya. Barang siapa yang bersedekah dengan memberi makanan kepada fakir miskin atau satu sedekah pada hari itu, maka ia akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kemudian dalam keadaan aman dan sentosa serta timbangan amal baiknya lebih berat daripada Bukit Uhud yang terdapat di Madinah.

Abil-Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdullah bin Ubaid bin Allaitsi berkata :-

Sesungguhnya Allah telah menghadiahkan kepada Nabi Musa bin Imraan alaihissalam "lima doa" untuk dibaca pada hari-hari sepuluh yang dibawa oleh Malaikat Jibril a.s.

Lafaz Doa (Harap dapat dirujuk kepada yang ahli/biasa dengan doa-doa ini).

1. La ilaha illallahu wahdahu laa syarakalahu, lahul mulku walahul hamdu yuhyi wayumiitu wahawa hayyun laa yamutu biyadihil khairu wahuwa ala kulli syai'in qodier.

"Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Tunggal dan tiada bersekutu, semua milik/kerajaan dan pujian adalah HaqNya dan Dia Hidup tidak mati".


2. Asyhadu an laa ilaha illallahu wahdahu la syarika lahu, ilaahan waahidan ahadan shomadan lam yattakhiz sho hibatan walaa waladan.

"Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan kecuali Allah Yang Esa dan tidak bersekutu, Tuhan Yang Tunggal, Yang Dibutuhkan, Yang Tidak Berkawan dan Tidak beranak".


3. Asyhadu anlaa ila haillallahu wahdahu laa syariikalahu ahadun shomadun lam yalid walam yakullahu kufuwan ahad.

"Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan kecuali Allah Yang Esa, Satu dan sangat dihajatkan, tiada beranak dan tiada diperanakkan, dan tiada bandingan sesuatu apa pun".


4. Asyhadu anlaa la haillallahu wahdahu laa syariikalahu mulku walahul hamdu yuhyi wayumitu wahuwa hayyun laa yamuu tu biyadihil khoiru wahuwa 'ala kulli syai'in qodier.

"Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan kecuali Allah Yang Esa dan tidak bersekutu, baginya kerajaan dan pujian, menghidupkan dan mematikan, dan Dia Hidup tidak mati, di TanganNya semua kebaikan, dan Dia di atas segala sesuatu Maha Berkuasa".


5. Hasbiyallahu wakfa sami'allahu liman da'aa laisa waraa allahi muntahi.

"Allah telah menjamin aku, dan cukup Allah telah Mendengar tiap-tiap siapa yang berdoa, Tidak ada selain Allah tempat meminta dan berhajat".


Juga tersebut bahawa doa-doa dan kalimah ini diturunkan di dalam Injil, dan orang-orang Hawariyyun menanyakan fadhilat kalimah-kalimah ini kepada Nabi Isa a.s.; maka diterangkan kepada mereka fadhilat dan pahalanya yang tidak dapat dihitung oleh orang yang membacanya pada hari-hari sepuluh (dari 1 hingga 10 Zulhijjah).

Ganjaran Bagi Mereka Yang Memuliakan Zulhijjah :-

Kata sebahagian Ulama, "Barang siapa yang memuliakan hari-hari yang berlalu dalam bulan Zulhijjah, nescaya ia akan dianugerahi oleh Allah dengan 10 macam kemuliaan iaitu:

* 1. Berkat pada umurnya.
* 2. Bertambah hartanya.
* 3. Kehidupan rumahtangganya akan terjamin.
* 4. Membersihkan diri daripada dosa dan kesalahan yang telah lalu.
* 5. Amal ibadat serta kebaikannya akan berganda.
* 6. Allah akan memudahkan pada saat kematiannya.
* 7. Allah akan menerangi kuburnya selama berada di alam barzakh.
* 8. Allah akan memberatkan timbangan amal baiknya semasa di Mahsyar.
* 9. Selamat daripada kejatuhan kedudukannya di dunia.
* 10. Martabatnya akan dinaikkan pada sisi Allah.

Amalan Di Bulan Zulhijjah :-

1 hingga 9 Zulhijjah - Sunat berpuasa.
8 Zulhijjah - Hidupkan malamnya dengan banyak beribadat.
9 Zulhijjah - Hari Wukuf di Arafah. Hidupkan malamnya dengan banyak beribadat, disunatkan berpuasa bagi orang yang tidak mengerjakan haji.

  • Membaca surah Al-Ikhlas 1000 kali.
  • Solat pada awal waktu.. jadilah ianya amalan harian hendaknya.
  • Solat sunat qabliyah asar.
  • Selepas solat asar - Baca Surah Yasin 3 kali.
  • Membaca Laillahaillalah wahdahula....huallakulishaiinkodir sebanyak 400 kali (bermula dari asar - isyak boleh sambung) Fadhilatnya bagaikan memerdekakan 100 hamba.
  • Solat sunat qabliyah & ba'diyah maghrib.
  • Selepas solat maghrib - solat sunat awwabin 6 ra'kaat (3 salam) Fadhilat penghapusan dosa bagi 50 tahun - hadith... jadikanlah ianya amalan bulanan/mingguan hendaknya.
  • Solat sunat tasbih.
  • Solat sunat hajat.
  • Berdoa dengan doa Nabi Adam iaitu robbana zolamna... sebanyak 50 kali.
  • 10 Zulhijjah - Hari Raya Haji/Korban Sembahyang sunat Hari Raya Aidil Adha - Membaca takbir.
  • Melakukan korban - 11, 12 dan 13 Zulhijjah (Hari-hari Tasyrik) hidupkan malamnya dengan banyak beribadah, takbir selepas sembahyang waktu.
  • 29 atau 30 Zulhijjah Selepas solat 'Asar membaca doa akhir tahun. Selepas solat Maghrib membaca doa tahun baru.


Tuesday, November 16, 2010

Memenuhi Undangan Dan Melayan Kerenah Anak

Hari Ahad baru-baru ni, 14 November, kami sekeluarga memenuhi 3 undangan kenduri sekaligus. Dengan kenduri walimatul Urus di Sungai Udang, kenduri aqiqah di Pelabuhan Klang dan kenduri kesyukuran sempena pembukaan kedai baru Butik Cinta2Collection milik ipar saya di Sementa, Kapar. Keluar rumah seawal jam 11.00 pagi, kami memenuhi undangan kawan-kawan dahulu, kemudian barulah kami ke butik ipar kerana untuk meluangkan masa yang lebih lama di sana.



Sebelum kami bersiap, Khadija dan Fatihah disiapkan dahulu. Si Khadija ni punyalah cerewet, memilih baju yang nak dipakaikan. Kalau ikutkan dia, tak nak dia pakai baju gaun ni, katanya nampak ketiak. Tapi setelah saya puji dia lawa macam princess, termakan juga dia dengan pujian saya tu. Nak menyiapkan dia aje mengambil masa yang lama, bermula dari baju hingga ke rambut dan aksesori semuanya kena ikut citarasa dia.



Si adik paling senang dan best, tak banyak ragam. Ramai yang sukakan Fatihah ni. Mungkin sebab masih kecil senang nak control. Dalam keadaan panas pun dia tak buat hal, cumanya dia nak bebas berjalan ke sana ke mari.



Butik Cinta2Collection yang baru ni ruangnya lebih luas 3 kali ganda saya rasa dari yang sebelum ni. Butik berada di tingkat 1 di deretan kedai baru di tepi Jalan Kapar (Sementa). Memang sesuai ipar saya berpindah ke kedai ni kerana peralatan di butik yang semakin bertambah dengan adanya perkhidmatan sewaan set pelamin.



Air cendol dan bubur jagung dihasilkan oleh kakak ipar sulung kami, kak Dil.



Kebetulan pula, butik berada di atas kedai handphone yang turut menjual air minuman dan ais krim, apa lagi Khadija yang sememangnya sukakan ais krim merengek nak ais krim walaupun sebelum tu dah 2 ais krim di makan oleh dia, satu abah belikan dan satu lagi nenek belikan. Gambar ni dirakam ketika dia merengek meminta dibelikan lagi ais krim. Khadija meminta simpati dari nenek supaya membelikan beliau ais krim disebabkan permintaannya tak dilayan oleh saya dan Hakim. Bukan apa Khadija baru baik dari demam dan batuk.



Tengoklah bukan main mengada dan manja lagi Khadija dengan meminta simpati dari nenek.



Tak dapat juga terus Khadija merayu pada abah. Masa ni suara abah dah meninggi sedikit. Si Fatihah pula terpaksa didokong oleh abah kerana kalau dilepaskan akan berjalan meluru ke sana sini.



Giliran mama pula memujuk Khadija.



Selesai bab ais krim yang tak dilayan. Saya memujuk Khadija dengan memberikan dia air. Khadija ni memang buat masa ni masih tak boleh mengalah dengan Fatihah. Apa saja yang dipegang oleh dia kalau diambil adiknya, macam nilah jadinya.

Kesimpulannya, kerenah anak-anak yang meragam memang adakalanya menimbulkan kemarahan kepada kami. Kalau di rumah saya dah tahu cara untuk mengatasinya iaitu dengan melekakan mereka dengan tayangan vcd cerita kesukaan mereka. Bila dah leka menonton, takdelah mereka meragam minta itu dan ini dan pada masa tu juga saya selesa untuk meneruskan kerja-kerja lain.




Monday, November 15, 2010

Ubi Ketuk



Ubi kayu yang dibawa balik Hakim hasil pemberian kawan sepejabat. Ada dalam 4 batang kesemuanya.



Hajat dihati nak buat kuih ubi ketuk goreng. Bahan-bahan :- ubi kayu yang direbus dan dilenyek + kelapa + sedikit garam dan gula.



Campuran adunan tu kemudiannya dikepal-kepal menjadi bulat.



Sebelum digoreng, sadurkan kepalan ubi bersama tepung yang dicampur sedikit kunyit.


Wednesday, November 3, 2010

Puding Caramel

Puding caramel, dah lama tak buat sampaikan saya terlupa resepinya. Kalau ikutkan memang mudah sangat buat puding ni hanya menggunakan susu cair, telur, gula dan esen vanila. Seterusnya ia dikukus selama 40 minit atau lebih. Sebab dah lama tak buat puding ni pun adalah dipengaruhi oleh faktor persekitaran kerana hanya saya yang gemarkan puding ni. Yelah tak semua sukakan puding yang bercampur telur dengan kuantiti yang banyak, walaupun setelah dicampur esen vanila untuk menghilangkan bau hanyir, bagi mereka yang amat sensitif masih terbau-bau hanyir telur tersebut.



Untuk satu tin susu cair dan 5 biji telur. Dapat menghasilkan puding caramel berkuantiti sebegini. Sebenarnya yang membuatkan puding ni sedap adalah gula hangus. Saya tak berapa pandai menghasilkan gula hangus. Walau bagaimanapun, hasilnya masih tetap sedap.



Saya turut memasukkan sebahagian kecil di dalam bekas plastik untuk 'testing' samada ia selamat dikukus atau tidak.



Kalau nak tahu, hanya saya yang menghabiskan kesemuanya. Hakim pun kurang gemar dengan telur, cuma rasa dalam sesudu sahaja.

Beralih kepada cerita mengenai telur, saya dari kecil sudah terbiasa makan telur separuh masak untuk sarapan pagi kami. Kalau tiada sarapan yang berat seperti nasi goreng, sekurang-kurangnya telur separuh masak yang dicicah bersama roti menjadi sarapan kami adik-beradik. Menurut mak, ia mempunyai banyak khasiat. Dan saya masih terikut-ikut sehingga kini yang mana adakalanya masih teringin untuk bersarapan pagi dengan telur separuh masak yang diletak kicap, dimakan pula dengan roti, memang best. Sungguh berbeza dengan Hakim yang tidak gemarkan telur sama sekali.

Tentang sarapan pagi pula, saya tidak pernah sama sekali tidak bersarapan pagi sebelum ke sekolah atau ke tempat kerja. Sekurang-kurangnya air teh dan roti yang disediakan oleh mak saya. Secara kesimpulannya, saya akan terapkan pentingnya sarapan pagi kepada Khadija dan adiknya yang mana Insya'Allah akan saya sediakan kepada mereka apabila mereka bersekolah nanti.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...