Nukilan Kisah Indah Dalam Hidup Kami

Thursday, January 6, 2011

Khadija Dah Mula Ke Sekolah

Syukur Alhamdulillah, Khadija dah mula ke sekolah pada usia 4 tahun. Kalau diikutkan, umur Khadija pada ketika ini baru 3 tahun 7 bulan. Kami sepakat memilih pendidikan awal untuk Khadija berteraskan Islam dan sudah semestinya PASTI antara tadika yang memiliki pendidikan extra tersebut. Bagi saya yang bekerja dan mempunyai masa yang agak terhad untuk mengajar Khadija mengaji, doa harian, sembahyang dan sebagainya, maka Hakim putuskan adalah sangat penting untuk menghantar Khadija ke sekolah yang mempunyai sistem pendidikan agama yang agak tinggi. Ini bukan bermakna, kami akan lepas tangan terhadap tanggungjawab kami yang mana kami tetap akan mendidik Khadija di rumah jika ada kelapangan nanti.

Pendapat kami tadika yang lain juga bagus, namun atas faktor yuran bulanan yang rendah dan juga hasil daripada pemerhatian kami berdasarkan kepada beberapa anak buah Hakim yang dah boleh mula membaca dengan lancar dari pendidikan awal di PASTI pada usia 6 tahun, menguatkan lagi niat murni kami untuk menghantar Khadija belajar di sana.



Hari pertama, bersemangat sungguh Khadija. 'Excited' dengan baju, beg, kasut baru dan semestinya Khadija dah tak sabar nak berjumpa dengan kawan-kawan dan teacher @ ustazah baru.



Akhirnya Khadija dapat juga beg roda yang diminta-minta sebelum ini. Rata-rata budak perempuan yang saya lihat di PASTI memakai beg berwarna pink dengan gambar princess. Berbeza dengan Khadija. Yelah beg princess warna pink Khadija dah jemu sebab dah ada sebelum ni.



Kami sampai agak lewat sedikit, 8.15 pagi. Tempat duduk semua dah penuh. Khadija terpaksa duduk di belakang.



Pada hari kedua, atas permintaan saya, Khadija dapat ditukarkan ke tempat duduk di hadapan bersama kanak-kanak sebaya beliau, 4 tahun.

Ada 4 kelas di PASTI Darul Ulum II, Sungai Udang. 2 kelas untuk pelajar 6 tahun, 2 kelas untuk pelajar 5 tahun. Khadija ditempatkan di salah satu daripada kelas 5 tahun yang saya rasa sebahagiannya terdiri daripada kanak-kanak seusia Khadija iaitu 4 tahun.



Bukan setakat pendaftaran sahaja pada hari pertama persekolahan di PASTI. Terdapat majlis pembukaan oleh EXCO Pendidikan, Y.B. Dr. Halimah Ali yang turut hadir bersalam-salaman dengan ibu bapa. Kemudiaannya disusuli dengan taklimat panduan dan peraturan am PASTI serta acara kemuncak iaitu penyampaian ceramah motivasi pendidikan Islam oleh penceramah undangan iaitu Tuan Haji Wan Hamidi bin Wan Mat.



Penyampaian ceramah yang menarik oleh Ustaz. Banyak peringatan, nasihat dan tips yang dikongsi bersama dengan ibubapa di dalam mendidik anak di zaman serba mencabar ini. Pesanan ustaz, anak umpama sehelai kain putih, ibu bapalah yang akan mencoraknya. Jadi, pendidikan awal adalah amat penting kepada anak-anak dan ustaz telah merakamkan berkali-kali ucapan tahniah kepada kami, ibu bapa kerana telah memilih PASTI sebagai pendidikan awal anak-anak.



Gelongsor nilah tempat pertama yang dituju Khadija setelah dibenarkan keluar dari bilik darjah.



Antara tips yang dikongsikan bersama oleh ustaz. Terima kasih ustaz.

Waktu kemasukan ke PASTI setiap hari adalah pada jam 8.00 pagi dan tidak menjadi masalah kepada kami untuk menghantar Khadija iaitu sebelum kami ke tempat kerja. Cuma yang menjadi kesulitan adalah untuk mengambil Khadija dari PASTI kerana waktu pulang iaitu pada jam 11.30 pagi. Oleh yang demikian, kami telah meminta jasa baik daripada salah seorang ustazah yang sudi untuk menghantar Khadija balik ke rumah wan dan Khadija akan sampai ke rumah wan paling lewat pada jam 12.30 tengahari setiap hari. Oleh kerana Khadija telah ke PASTI, maka Khadija tidak lagi diasuh di Taska MPK. Jadi, saya dan Hakim sepakat untuk menempatkan Fatihah pula di Taska MPK nanti.

Doa dan harapan saya buat Khadija yang telah mula ke sekolah adalah, mama berharap Khadija rajin ke sekolah dan belajar bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita kami iaitu Khadija mesti menjadi seorang doktor perubatan Islam suatu hari nanti. Insya'allah.





0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...