Nukilan Kisah Indah Dalam Hidup Kami

Monday, January 24, 2011

Khadija Yang Rajin

Syukur Alhamdulillah, Khadija semenjak ke tadika ni, ada menunjukkan perkembangan positif. Walaupun nampak macam Khadija lebih banyak bermain dan tidak fokus tetapi ada juga yang diajar oleh cikgunya di ambil ingatan. Saya dan Hakim sebenarnya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk pembelajaran Khadija pada usia seawal 4 tahun ni. Kalau diikutkan pada usia ni, ramai rakan sebaya yang masih bermain, cuma Khadija lebih beruntung sebab dimasukkan lebih awal ke tadika. Bohong kalau saya ceritakan Khadija langsung tak buat hal yang mana sebenarnya ada juga waktunya Khadija agak moody terutama pada waktu pagi. Susah juga nak kejutkan Khadija untuk bangun pagi ke tadika dengan alasan penat, mengantuk, tak larat, mata tak boleh buka atau tak nak mandi sebab air terlalu sejuk. Alasan-alasan Khadija ni kadangkala membuatkan kami ketawa. Kasihan juga kami dengan Khadija kerana terpaksa bangun seawal jam 6.00 pagi semata-mata untuk disuruh mandi. Yelah sebab perjalanan dari rumah kami mengambil masa sehingga 40 minit pada waktu pagi dan sudah tentu kami terpaksa keluar seawal jam 6.30 pagi.

Cuti hari Thaipusam tempohari, tiba-tiba Khadija beritahu kami yang cikgunya ada pesan, cuti kena tolong mama di rumah buat kerja. Rupa-rupanya Khadija ambil ingatan yang mana selepas sahaja selesai makan, dia ke dapur berusaha untuk mencuci pinggan. Mulanya kami tak sedar dengan apa yang dia lakukan. Cuma bila terdengar bunyi bising seretan kerusi ke sinki, terus saya menjenguk dan mendapati Khadija sedang mencuci pinggannya sendiri.



Masa ni Khadija tak sedar saya sedang merakam gambar dia.



Menjeling bila dia tahu saya ada di tepi.



Sebiji pinggan mengambil masa hampir 10 minit. Lebih main air dari mencuci.



Bagus Khadija. Mama suka Khadija dah pandai buat kerja dapur. Jangan jadi macam mama masa kecil-kecil dulu, malas.



Lepas ni, bolehlah Khadija tolong mama sapu sampah dan lipat baju pula ye. Dan yang paling penting mama minta Khadija tolong jadi pengemas, mama paling tak suka rumah bersepah.






Kisah Fatihah

Dalam bulan Januari ni je, Fatihah dah 2 kali diserang demam, batuk dan selesema. Selang 2 minggu selepas baik, Fatihah kena lagi. Badan Fatihah akan panas semula selepas 6 jam tempoh ubat dimakan. Kami memang risau, bukan apa takut kalau kena jangkitan kuman atau penyakit lain dan disebabkan itu, Hakim putuskan untuk bawa Fatihah ke Hospital Pantai.



Kami ke sana seawal jam 7.00 pagi, tiada pesakit lain kecuali kami. Bacaan suhu badan Fatihah pada masa ni taklah panas sangat menurut doktor. Mujur tak kena tahan kat wad.



Sayang betul kakak Khadija dengan adik Fatihah. Tapi dalam sayang ni pun kena tengok juga, Khadija kadang-kadang berlaku kasar dengan Fatihah.



Muka tiga beranak yang termasuk mama belum mandi pagi lagi masa ni.

Wednesday, January 19, 2011

Percubaan Pertama Membuat Tart Telur

Saya kalau tengah lapar, lagi-lagi bila buka blog resepi, mulalah terfikir-fikir nak makan itu dan ini. Isnin baru-baru ni, tiba-tiba je terfikir nak try buat tart telur. Bila search resepi ni dalam blog kak hanieliza, saya lihat bahan-bahan yang digunakan semuanya ada di rumah mak kecuali lemak sayur. Apalagi balik je terus saya ke kedai menjual bahan kek untuk membeli lemak sayur. Walaupun gunakan hanya sesudu untuk bancuhan 500 gm tepung, saya rasa berbaloi juga kerana lemak sayur tu cuma RM2.50 dan masih banyak berbaki dan kalau dihitung boleh membuat lebih daripada 10 kali tart telur lagi. Rupanya penggunaan walau sesudu lemak sayur dapat membantu merangupkan kulit tart. Cumanya proses nak membuat doh untuk kulit sahaja remeh sebab perlu dicanai dan diterap, namun yang lainnya memang mudah.



Proses membakar.



Antara yang dah siap dibakar.



Untuk bancuhan 500 gm tepung, kira-kira 25 biji tart telur dapat dihasilkan. Itupun saiz acuan bercampur antara yang kecil dan besar. Perancangan akan datang, saya bercita-cita untuk menghasilkan tart @ pai berinti kentang (seperti inti karipap) atau pai epal kerana mak menyokong saya walaupun tidak ada yang gemar memakan tart telur selain saya dan anak buah saya, Naim tapi saya berasa amat puas kerana percubaan pertama saya menjadi.





Tuesday, January 18, 2011

Sepetang Di Pantai Acheh, Pulau Indah

Ahad lepas, Hakim bersama beberapa rakan sekerja dan seunit beliau berpakat untuk membawa keluarga masing-masing ke Pantai Acheh bagi melihat aktiviti penerbangan paramotor mereka. Dalam masa yang sama, bertujuan untuk mencuba peralatan baru dari pembekal iaitu James.

Mujur tidak hujan di sana kerana kalau diikutkan cuaca pada hari Ahad tu, hujan gerimis sekali-sekala turun. Menurut Hakim, cuaca sebegitu adalah sesuai untuk melakukan penerbangan.



James turut membawa anak, menurut James nama anaknya Maximus. Selamba betul si Max ni bercampur gaul dengan anak-anak kami yang majoritinya perempuan. Max seorang sahaja lelaki. Yang kelakar, Khadija bercakap dengan si Max dalam bahasa melayu, si Max satu patah pun tak faham tapi masih boleh bermain dengan Khadija dan budak-budak lain.



Khadija dan Erisha @ Qistina.




Ada aktiviti barbeque sekali.



Hakim sedang menyediakan payung untuk memulakan penerbangan.



Hakim di udara.



Masa ni dah mendarat di lapangan. Kalau diikutkan ni bukan baju untuk penerbangan.



Seronok budak-budak ni dapat bebas bermain di kawasan lapang. Khadija pandai bawa diri dan bermain dengan semua budak-budak yang ada.



Sebenarnya dia orang ni tengah main layang-layang.



Fatihah pun tidak kurang lasaknya. Pantang dibiarkan lepas, habis dijelajahnya kawasan lapang tersebut hinggakan penat saya mengejarnya.



Di bawah pokok nilah kami berteduh.



Kami, para isteri dan anak-anak. Menurut Hakim, selepas kami meninggalkan Pantai Acheh, Emilia iaitu ibu kepada Qistina tidak melepaskan peluang menaiki paramotor. Rugi betul saya tak dapat mencuba.




Selain makan-makan (saya membawa puding laici dan nasi goreng), khemah turut dipasang. Khemah kami yang berwarna kuning ni langsung tak diduduki oleh Khadija atau Fatihah. Mereka berdua lebih seronok bermain di khemah Qistina.

Pada saya aktiviti seperti ini memang bagus diadakan sekali-sekali kerana dapat mengeratkan hubungan silaturahim di antara para isteri dan anak-anak. Walaupun lokasi tidak begitu menarik, namun kami seronok kerana dapat berkongsi aktiviti dan kerjaya suami masing-masing. Ketahuilah, saya berbangga kerana suami saya mahir di dalam aktiviti paramotor ini yang mana beliau pernah mendapat undangan untuk membuat pertunjukan antaranya di Sabah dan Putrajaya.





Gelagat Fatihah

Mengikut kiraan bulan, Januari ni Fatihah berusia 17 bulan atau bersamaan dengan 1 tahun 5 bulan. Sungguh berbeza Fatihah dengan kakaknya Khadija semasa usia sebegini. Fatihah memang manja, sentiasa nak berkepit kalau saya ada di rumah. Rimas juga dengan kerenah Fatihah ni kerana sedikit sebanyak mengganggu dan membataskan kerja-kerja saya, contohnya dia akan merengek dan memaut kaki saya ketika saya hendak memasak. Sehinggakan ada ketikanya 'terkeluar' amarah saya. Tapi ketahuilah Fatihah, mama bukan suka-suka nak tengking atau marah Fatihah, mama sayang Fatihah cuma kalau mama layankan sangat kerenah Fatihah, pasti semua kerja tak jadi.

Perkembangan Fatihah pada usia ni :-

1. Suka menari bila mendengar muzik.

2. Perkataan baru yang pandai disebut adalah 'sakit'. Perkataan 'sakit' akan keluar secara spontan bila dia terjatuh atau nak mengadu apa yang kakaknya buat pada dia.

3. Mengaminkan doa.

4. Memahami percakapan kita, contohnya bila diminta ambilkan sesuatu barang, Fatihah dapat mengambilnya dengan tepat.

5. Tahu menunjukkan anggota fizikal seperti mata, hidung, telinga, rambut, kaki dan tangan bila ditanya.

6. Amat payah makan apatah lagi minum susu, kalau dibancuh separuh botol pun susah hendak dihabiskan. Mungkin kerana Fatihah masih menyusu badan. Berat badan Fatihah menurut timbangan seminggu lepas baru mencecah 7.2 kg. Memang kecil dan comel lote dia ni. Disebabkan saiz comel dia, baju-baju Khadija pada usia yang sama masih belum boleh dipakai Fatihah. Kalau dipakaikan pun, pasti akan menggelebeh dan longgar.

7. Dah pandai menyelongkar dan buat sepah.



Fatihah tumpahkan nasi.



Muka budak nakal.

Namun, saya bersyukur kerana Fatihah dikurniakan kesihatan yang baik dan cergas walaupun berat badan beliau tidak begitu memberangsangkan. Doa saya buat Fatihah adalah semoga menjadi anak yang solehah buat mama dan abah.





Thursday, January 6, 2011

Khadija Dah Mula Ke Sekolah

Syukur Alhamdulillah, Khadija dah mula ke sekolah pada usia 4 tahun. Kalau diikutkan, umur Khadija pada ketika ini baru 3 tahun 7 bulan. Kami sepakat memilih pendidikan awal untuk Khadija berteraskan Islam dan sudah semestinya PASTI antara tadika yang memiliki pendidikan extra tersebut. Bagi saya yang bekerja dan mempunyai masa yang agak terhad untuk mengajar Khadija mengaji, doa harian, sembahyang dan sebagainya, maka Hakim putuskan adalah sangat penting untuk menghantar Khadija ke sekolah yang mempunyai sistem pendidikan agama yang agak tinggi. Ini bukan bermakna, kami akan lepas tangan terhadap tanggungjawab kami yang mana kami tetap akan mendidik Khadija di rumah jika ada kelapangan nanti.

Pendapat kami tadika yang lain juga bagus, namun atas faktor yuran bulanan yang rendah dan juga hasil daripada pemerhatian kami berdasarkan kepada beberapa anak buah Hakim yang dah boleh mula membaca dengan lancar dari pendidikan awal di PASTI pada usia 6 tahun, menguatkan lagi niat murni kami untuk menghantar Khadija belajar di sana.



Hari pertama, bersemangat sungguh Khadija. 'Excited' dengan baju, beg, kasut baru dan semestinya Khadija dah tak sabar nak berjumpa dengan kawan-kawan dan teacher @ ustazah baru.



Akhirnya Khadija dapat juga beg roda yang diminta-minta sebelum ini. Rata-rata budak perempuan yang saya lihat di PASTI memakai beg berwarna pink dengan gambar princess. Berbeza dengan Khadija. Yelah beg princess warna pink Khadija dah jemu sebab dah ada sebelum ni.



Kami sampai agak lewat sedikit, 8.15 pagi. Tempat duduk semua dah penuh. Khadija terpaksa duduk di belakang.



Pada hari kedua, atas permintaan saya, Khadija dapat ditukarkan ke tempat duduk di hadapan bersama kanak-kanak sebaya beliau, 4 tahun.

Ada 4 kelas di PASTI Darul Ulum II, Sungai Udang. 2 kelas untuk pelajar 6 tahun, 2 kelas untuk pelajar 5 tahun. Khadija ditempatkan di salah satu daripada kelas 5 tahun yang saya rasa sebahagiannya terdiri daripada kanak-kanak seusia Khadija iaitu 4 tahun.



Bukan setakat pendaftaran sahaja pada hari pertama persekolahan di PASTI. Terdapat majlis pembukaan oleh EXCO Pendidikan, Y.B. Dr. Halimah Ali yang turut hadir bersalam-salaman dengan ibu bapa. Kemudiaannya disusuli dengan taklimat panduan dan peraturan am PASTI serta acara kemuncak iaitu penyampaian ceramah motivasi pendidikan Islam oleh penceramah undangan iaitu Tuan Haji Wan Hamidi bin Wan Mat.



Penyampaian ceramah yang menarik oleh Ustaz. Banyak peringatan, nasihat dan tips yang dikongsi bersama dengan ibubapa di dalam mendidik anak di zaman serba mencabar ini. Pesanan ustaz, anak umpama sehelai kain putih, ibu bapalah yang akan mencoraknya. Jadi, pendidikan awal adalah amat penting kepada anak-anak dan ustaz telah merakamkan berkali-kali ucapan tahniah kepada kami, ibu bapa kerana telah memilih PASTI sebagai pendidikan awal anak-anak.



Gelongsor nilah tempat pertama yang dituju Khadija setelah dibenarkan keluar dari bilik darjah.

video

Antara tips yang dikongsikan bersama oleh ustaz. Terima kasih ustaz.

Waktu kemasukan ke PASTI setiap hari adalah pada jam 8.00 pagi dan tidak menjadi masalah kepada kami untuk menghantar Khadija iaitu sebelum kami ke tempat kerja. Cuma yang menjadi kesulitan adalah untuk mengambil Khadija dari PASTI kerana waktu pulang iaitu pada jam 11.30 pagi. Oleh yang demikian, kami telah meminta jasa baik daripada salah seorang ustazah yang sudi untuk menghantar Khadija balik ke rumah wan dan Khadija akan sampai ke rumah wan paling lewat pada jam 12.30 tengahari setiap hari. Oleh kerana Khadija telah ke PASTI, maka Khadija tidak lagi diasuh di Taska MPK. Jadi, saya dan Hakim sepakat untuk menempatkan Fatihah pula di Taska MPK nanti.

Doa dan harapan saya buat Khadija yang telah mula ke sekolah adalah, mama berharap Khadija rajin ke sekolah dan belajar bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita kami iaitu Khadija mesti menjadi seorang doktor perubatan Islam suatu hari nanti. Insya'allah.





Malam Tahun Baru 2011

Menjelang detik tengah malam 1 Januari 2011, kami di Kg. Bukit Kerayong bagi meraikannya bersama family Hakim. Acara utama pada malam tersebut adalah barbeque yang diadakan di luar rumah.



Khadija dan sepupunya yang sebaya, Aqilah. Khadija muda 4 bulan dari Aqilah tetapi Khadija nampak lebih matang dan tinggi. Mungkin faktor kedudukan dalam keluarga iaitu Khadija sulung, manakala Aqilah anak keempat setakat ini.



Fatihah setelah ditukarkan baju. Seronok bermain di luar sehinggakan comot.



Kalau diikutkan Khadija tak gemar dengan buah, entah kenapa malam tu, dia beria makan anggur. Mungkin sebab ramai, tu yang berselera makan tu.



Khadija dan sepupunya di sebelah abah @ Hakim yang rata-rata lelaki.



Berkaraoke dan gitar setelah Faiq datang pada sekitar jam 10.30 malam (anak buah sulung Hakim).



Menu pada malam tersebut, selain daripada ikan, ayam, udang yang dibarbeque. Tak ketinggalan satay yang dibawa oleh kami. Buah-buahan dan ais krim pun ada. Semua kami makan, hinggakan kami anak-beranak mendapat batuk yang teruk beberapa hari.



Ubi kayu pun turut dibakar.

Pada malam tersebut, kami berembun di luar sehingga lebih jam 12.30 malam. Mulanya Hakim putuskan untuk tidur di sana sahaja tapi disebabkan Khadija merengek nak balik dan akhirnya Hakim kalah dan terpaksa menurut permintaan Khadija. Maka, pada malam tersebut pada jam hampir 1.00 pagi, kami sampai di rumah sendiri. Dan saya setuju dengan permintaan Khadjia untuk tidur di rumah sendiri kerana sememangnya lebih selesa.

Sempena dengan kedatangan tahun baru 2011 ni, azam saya masih sama seperti tahun lepas, cuma saya bermohon kepada Allah S.W.T. semoga kami sekeluarga diberi kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur. Amin.





Monday, January 3, 2011

Photoshot Khadija dan Fatihah

Photoshot Khadija dan Fatihah ni diambil di salah satu booth di karnival Upin Ipin. Bukan mudah nak dapatkan mood budak berdua ni, macam-macam aksi dan memek muka yang mereka buat hinggakan sukar nak mendapatkan gambar yang terbaik.













Caj yang dikenakan adalah RM25.00 untuk 2 keping gambar bersaiz kertas A4 yang siap diprint.

Karnival Upin Ipin

Pada 24 hingga 28 Disember 2010 telah berlangsung karnival Upin Ipin bertempat di SACC Convention Centre, Shah Alam. Kami hanya berkesempatan ke sana pada hari terakhir karnival berlangsung. Mujur sempat kerana rupa-rupanya masa tersebut, acara penutup sedang berlangsung di pentas yang mana acara penutup berlangsung pada kira-kira jam 6.30 petang dan tamat pada jam 7.00 malam.



Sesampai di pintu masuk, kami terus 'terperangkap' dengan salah satu syarikat yang menjual bahan tambahan pembelajaran iaitu Grolier. Memang bagus teknik pembelajaran Grolier ni, saya mengakuinya, namun disebabkan harganya yang melebihi RM2,000.00 yang merangkumi.....kalau tak silap saya 26 unit buku dan 26 unit VCD, menjadikan saya agak berwaspada. Memang cara pembayaran ditawarkan secara ansuran bulanan dengan kadar serendah RM60.00 tetapi saya rasa risau sekiranya tidak memanfaatkannya dengan betul. Bukan kedekut tetapi kami telahpun membelikan Khadija dengan bahan tambahan pembelajaran yang lain seperti buku 'Bacalah Anakku' yang menggunakan teknik fonetik. Saya juga berpegang kepada kata-kata Hakim iaitu tak kiralah murah atau mahal bahan yang dibeli, yang penting ibubapa kena memainkan peranan sekiranya ingin melihat anak pandai yang mana kena rajin memberi tunjuk ajar kepada anak-anak di rumah.



Patutlah di setiap booth dah kurang orangnya kerana pada ketika itu semua dah tertumpu kepada acara penutup di pentas yang sedang berlangsung. Pada ketika tu juga, saya ditinggalkan oleh Hakim dan anak-anak di booth Grolier tadi. Terpinga-pinga saya seketika mencari mereka.



Rupa-rupanya Hakim dan anak-anak ada di tepi pentas. Memang selesa posisi ni sebab tak perlu berasak-asak untuk melihat Upin Ipin. Khadija pula dapat berada sama di atas pentas dan ikut menari bila muzik dimainkan.



Balik dari taska, terus ke karnival ni, tak sempat nak tukarkan Khadija dengan baju lebih menarik.



Upin Ipin dan kawan2.



Khadjia menyelit ikut menari di atas pentas.



Adik pun sama 'excited', tak nak didokong dan meronta minta dilepaskan.



Khadija cuba mendekati Jagjit yang sibuk bersalam dengan peminat.



Dapat juga Khadija dan Fatihah bersalam dengan Jagjit. Tapi dengan Upin Ipin langsung tak dapat dekat.

Walaupun Khadija tak merengek-rengek meminta kami bawakan dia ke karnival ni, tapi saya yang teruja dan sibuk mengingatkan Hakim untuk membawa Khadija ke sana kerana saya tahu dia memang meminati Upin Ipin. Kalau nak tahu, VCD cerita Geng Pengembaraan Bermula Upin Ipin ditonton oleh Khadija hampir setiap hari. Saya pernah juga terdengar ada sesetengah ibubapa yang menyindir kartun Upin Ipin ni dan menyamakan dengan toyol, tapi bagi saya setiap siri Upin Ipin ni mempunyai moral dan mesej yang positif kepada kanak-kanak.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...