Nukilan Kisah Indah Dalam Hidup Kami

Wednesday, February 15, 2012

Gaduh-Gaduh Mesra

Anak-anak penyeri hidup. Bagi saya tanpa kehadiran anak, rumahtangga yang dibina tiada serinya walaupun serba-serbi lengkap. Kalau ada rumah yang besar sekali pun tapi tanpa keriuhan suara kanak-kanak, tak bermakna bagi saya. Dengan kehadiran mereka jugalah, kita akan terhibur walaupun penat seharian di tempat kerja.

Berbalik kepada cerita anak-anak saya, Khadija dan Fatihah saya lihat semakin hari semakin bijak berfikir dan berkomunikasi. Ditambah pula dengan kerenah, sifat manja dan inginkan perhatian, adakalanya membuatkan saya hilang sabar. Mujur kalau saya bertegas atau meninggikan suara, Hakim jadi penenangnya. Dan kesannya, anak-anak memang lebih manja dan rapat dengan abahnya.



Kerenah/gelagat 2 beradik ni, dalam sehari mesti beberapakali bergaduh. Si adik Fatihah lah yang selalu memulakan pergaduhan. Fatihah memang pandai mencari sebab nak bergaduh dengan Khadija. Antaranya, Fatihah paling suka rampas buku atau disorokkan alatulis kakak sehingga kakak menangis. Paling tak boleh tahan tu, Fatihah pandai menggunakan tangannya untuk memukul, menarik rambut atau mendebik kakaknya walaupun dia tu cuma cinonet je. Yang si kakak walaupun besar, yang dia tahu menangis meluru kat abah atau mama minta perlindungan. Tapi kadang-kadang saya lihat, dibalasnya juga dengan mendebik semula adiknya Fatihah. Geram ada, kelakar pun ada.

Bila difikir dan dimuhasabah semula, saya lihat perangai Fatihah ni ada sedikit macam perangai saya kecil-kecil. Dalam adik-beradik pun saya memang terkenal suka memulakan pergaduhan, mencari perhatian dalam keluarga dan kuat juga menangis.



Fatihah menangis sebab kalah dalam aksi merebut buku dengan kakaknya.



Meluru ke arah saya bagi meraih simpati saya untuk mendapatkan buku dari tangan kakaknya.



Khadija memang ada ciri sebagai kakak. Saya lihat perangai Khadija ni, tidak suka bergaduh, lebih senang berdiam diri bila adik memulakan pergaduhan. Cuma Khadija ni agak keras sedikit dan amat payah untuk mengalah dan suka mempertahankan haknya sendiri. Dalam erti kata lain, kedekut.



Khadija dengan rambut barunya. Kiranya ni kali ketiga rambut Khadija dipotong. Pertama kali semasa dicukur jambul. Kali kedua pada bulan April 2011 dan kali ketiga baru-baru ni. Bukan apa, lebih mudah diurus dan kemas sebab Khadija bertudung ke tadika. Manakala anting-anting emas berbentuk bulat tu pula, baru je dibeli pada pertengahan bulan Januari lepas. Masa tu harga emas segram tak silap saya RM187.00. Baru dipakai bagi menggantikan sebelah anting-anting Khadija yang hilang.

Tangisan dan gelak tawa kedua-duanya memang agak membingitkan suasana, tapi bagi saya tanpa mereka, hidup saya dan Hakim 'kosong'. Doa saya buat mereka, "Ya Allah, panjangkanlah usia anak-anakku, murahkanlah rezeki mereka, peliharalah kesihatan mereka, cerdaskanlah akal fikiran mereka, cemerlangkanlah pendidikan dunia dan akhirat mereka, peliharalah mereka daripada kejahatan supaya mereka menjadi anak yang solehah, berjaya di dunia dan di akhirat. Amin".






0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...