Nukilan Kisah Indah Dalam Hidup Kami

Sunday, June 23, 2013

Family Day Abah

Sabtu, 22 Jun 2013...... hari yang memenatkan kami.  Penat dengan tuntutan program yang tergesa-gesa diadakan sebelum menjelang puasa.  Program Hari Keluarga Jabatan Penguatkuasa @ Retreat dan satu lagi menghantar Khadija yang terpilih ke peringkat saringan untuk Pertandingan Hafazan sempena Festival Warisan Rasul dan Anbiya' bertempat di Kompleks Taman Seni Islam Selangor.  Mujur Ustaz Ahmad yang bawa Khadija ke lokasi tersebut.  Kalau tidak, memang tak cukup tanahlah kami nak bergegas ke sana ke mari dalam satu masa.  
















Di lokasi hari keluarga iaitu di Kolam Renang MPK, Pandamaran. Terpaksa pergi terlebih dahulu membawa Fatihah.  Manakala saya, uruskan penghantaran Khadija.  Kira-kira jam 9.00 pagi baru saya ke lokasi bagi memberikan sokongan kepada program.
















Cuaca tidak sihat untuk aktiviti di luar.  Jerebu yang agak teruk. Namun, program terpaksa diteruskan kerana ianya telah dirancang lebih awal.  Komen saya kepada situasi jerebu ini......... sedarlah wahai pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan pembakaran terbuka di Sumatera, Indonesia.  Keadaan jerebu yang teruk akan melumpuhkan perjalanan aktiviti seharian kita.  Jarak penglihatan yang terhad akan menyukarkan pemanduan, batuk, demam dan masalah pernafasan.  Kesian kepada kanak-kanak dan warga emas khususnya yang menghidap asma/lelah/semput.











Dapat nasi lemak untuk 'breakfast' sebelum 'game' bermula.








Walaupun tidak sampai separuh daripada bilangan kakitangan di Jabatan Penguatkuasa yang hadir, program tetap berjalan dengan lancar.  Tuan Timbalan YDP/Setiausaha MPK amat 'sporting' turut meluangkan masa hadir untuk perasmian.  Sebelum meninggalkan lokasi, beliau sempat diuji dengan permainan baling telur berpasangan dengan Pengarah Penguatkuasa.















Berkumpul di dalam kumpulan yang dibahagikan kepada beberapa warna.  Hakim dalam kumpulan rumah kuning.















'Game' cari duit syiling dalam tepung.















Semua 'game' kami turut serta.  'Game' pertama saya sertai adalah sepit seberapa banyak kacang guna chopstick.  Dalam tak pandai pegang chopstick, dapat juga saya sepit 44 biji kacang dalam masa 2 minit kalau tak silap saya.













Rupa-rupanya taklah susah sangat guna chopstick ni.  Selalunya kalau kami makan 'steamboat' pun, saya memang takkan pakai chopstick.  Lebih selesa gunakan garfu dan sudu sahaja.















Farah sedang buat kiraan.  44 biji kesemuanya.
















Ni 'game' ketiga saya sertai.  'Game' kedua adalah berpasangan dengan Hakim iaitu baling telur.  Kalau pecah dikira kalah.  Untuk 'game' yang ni, kami dikehendaki mengopek kulit bawang putih.  Kena gunakan tangan untuk mengopek sebanyak mana yang boleh dalam masa 5 minit. Kalah juga, saya hanya dapat kopek 16 ulas sahaja. Pemenang untuk 'game' ni dapat kopek 80 lebih ulas bawang putih dalam tempoh 5 minit.
















Tiup belon untuk acara kanak-kanak 7 tahun ke atas.















Fatihah yang boring sebab keseorangan.  Kakak Dija tak ada.  Kasut yang Fatihah pakai tu sebenarnya besar sebab kasut kakak Dija yang dah tak muat.  Kesian Fatihah selalu dapat barang 'second hand'.















Aktiviti untuk kanak-kanak 6 tahun ke bawah, mewarna.  Fatihah yang masih belum pandai nak warna kemas-kemas.  Tapi ada kemajuan, dia nampak dah boleh fokus dan pegang pensil betul semenjak dah  tadika ni.















Acara terakhir iaitu itik buta yang dimainkan di dalam kolam renang. Sebelum acara ni, saya dan Hakim serta acara 'Do You Love Me'. Hakim kena tulis jawapan bagi soalan yang bersangkutan dengan saya dan kemudiannya akan dipadankan dengan jawapan saya samada tepat atau tidak.  Kelakar, tak ada satu pun yang betul.  Antara soalannya, siapa pelakon lelaki yang diminati dan negara yang ingin dilawati.  Memang kami tak pernah bincang pun pasal benda ni. Ok apa?  Dari jawapan yang salah tu juga, akan mengingatkan kami untuk lebih peka antara satu sama lain.  Berfikir secara positif lebih baik daripada menganggap yang bukan-bukan.














Agak bosan.  Tiada satu hadiah pun berjaya dibawa balik.  Memang tak ada rezeki untuk kami, cabutan bertuah pun tak berpihak kepada kami.  Menurut Hakim, biarlah menjadi kakitangan yang 'sporting' dengan memberi sokongan di dalam program seperti ini sekiranya ada kelapangan masa. 

'Result' penyertaan ke peringkat akhir pertandingan hafazan yang dijangka diadakan pada 29 Jun ini masih belum terima.  Samada Khadija terpilih atau tidak, ianya akan dimaklumkan kemudian, kata Ustaz Ahmad.  Bukan sedikit penyertaan ke peringkat saringan. Nombor giliran Khadija sahaja 62.  Memang saingan yang cukup sengit.  Mudah-mudahan ada rezeki Khadija untuk turut serta dalam pertandingan itu nanti.  Khadija ada minta kami doakan untuk dia terpilih memasuki akhir.  Insya'Allah, Dija..... kami yakin Dija boleh.






Sunday, June 16, 2013

Kakak Oh Kakak

Tahniah kakak Dija atas kejayaan mengekalkan tempat pertama dalam peperiksaan pertengahan tahun di PASTI Darul Ulum II.  Walaupun dengan hanya 7A (purata markah 96 ke atas) dan 1B (Bahasa Arab). Mama dan abah doakan Dija terus cemerlang dan terang hati.  Di Pra Tahfiz pula, dengarnya Khadija juga terpilih untuk memasuki pertandingan hafazan pada 29 Jun ini.  Mudah-mudahan semuanya dipermudahkan untuk Khadija.  

















Khadija yang kadang-kadang rajin.  Lagi pula bila idolanya masuk dapur (abah dia @ Hakim).  Mulalah dia tunjuk rajin.

















Sampaikan sanggup berdiri atas kerusi sebab nak tolong abah.

















Bagus Dija.  Mama dulu masa sekecil kamu ni, memang tak berpeluang nak pegang pisau.  Mungkin faktor wan kamu @ mak mama tak bekerja, 100% kerja di dapur memang kami anak-anak tak campur tangan.

















'Goodies' untuk kawan-kawan Khadija.  Sebahagian untuk kawan di PASTI dan sebahagian lagi untuk kawan di Pra Tahfiz Az-Zahrah.

















Isi dalam 'goody bag'.  Kali ni tak ada jajan @ keropok @ gula-gula.

















Baru-baru ni, Khadija kena gegata atau panggilan lainnya kelopak garam.  Mula dikesan di bahagian mata pada tengahari Selasa, 11 Jun.  Pertama kali terjadi pada Khadija.  Mulanya kami sangka ianya hilang dalam beberapa jam yang mana Khadija tetap ke kelas Pra Tahfiz pada petang tu seperti  biasa.  Rupanya semakin teruk bila mana Ustaz Ahmad menelefon saya.  Muka Khadija bengkak terutama di kedua belah mata dan mulut.

















Sebelah malamnya, tak tahan melihat Khadija tergaru-garu, kami bawa dia ke klinik.  Menurut doktor Khadija mungkin 'allergic'.  Cuma kami tak dapat kenalpasti Khadija alah kepada makanan apa kerana semua yang dimakan adalah sama seperti sebelum ini. 

















Khadija nak idolanya @ abah juga yang sapukan 'calamine lotion'.  Tak payah tunggu sampai balik rumah, dalam kereta terus sapu ubat tu pada seluruh badan Khadija.

















Lain betul muka Dija masa ni.  Sebenarnya dia marah betul masa saya ambil gambar-gambar dia.  Malu nak tengok muka dia sendiri.

Alahan Dija ni berakhir setelah 4 hari.  Itu pun dengan usaha membawa dia ke Hospital Pantai Klang  bagi mendapatkan 'injection' dan bantuan ubat herba tradisional dari Atuk Utih.  Syukur Alhamdulillah.  Cuma yang ruginya, Khadija dah ponteng kelas selama 2 hari.  Tak dapatlah nanti hadiah kehadiran penuh.  Takpelah Dija, nak buat macam mana......... ujian Allah.  Janji kamu sihat.







Friday, June 7, 2013

Budaya Membaca

Terima kasih abah yang berusaha membudayakan minat membaca samada Al-Quran, buku pendidikan, buku cerita atau majalah.  Maklumbalas yang diberikan oleh Khadija dan Fatihah juga agak positif yang mana mereka telah menunjukkan minat ke arah tersebut.  Oleh yang demikian, kedai bukulah menjadi salah satu lokasi yang akan kami tujui di 'shopping complex'.

Antara gambar yang saya rakam di beberapa lokasi yang berlainan bagi memberi galakkan dan memupuk minat membaca kepada mereka berdua.

















Lokasi di kedai buku Popular, AEON Bukit Tinggi Klang.  Khadija merengek-rengek selagi tak dibawa ke kedai buku.

















Fatihah yang masih belum pandai membaca.  Paling lama 5 minit dia akan fokus pada gambar di dalam buku.  Mungkin bila dah pandai membaca dia akan lebih fokus.  Insya'Allah, dia juga akan kami pastikan dapat membaca seperti Khadija pada usia 5 tahun nanti.

















Fatihah dah mula mengacau abahnya membaca.

















Meredakan keboringan Fatihah, abah turut sama duduk bersila.

















Budaya membaca diteruskan di rumah.  Bagi memupuk minat tersebut, kami pun kena sama-sama membaca.

















Fatihah yang senang hati.  Perkembangan positif buat Fatihah, dia dah tak pakai 'diaper' lagi samada siang atau malam.  Walaupun agak lewat pada usia 3 tahun 9 bulan, tapi bagi mama ia satu pencapaian yang baik.  Tahniah Fatihah!

















Gambar ni pula dirakam semasa kami ke Pesta Buku Selangor 2013 di SACC Mall yang berlangsung pada 24 Mei hingga 3 Jun lepas.  Khadija dan Fatihah yang paling teruja dan tak sabar-sabar setiap hari mengajak kami ke sana.

















Memilih sambil membaca buku yang ada.

















Kami belikan Khadija 5 buah majalah komik Upin dan Ipin yang berharga RM1.00 setiap satu.  Edisi yang lepas.  Bolehlah dibuat bahan bacaan.  Yang kelakarnya si Fatihah......... membaca kartun Upin Ipin tu dengan dialog yang dia reka sendiri. 

















Dengan pembelian sekurang-kurangnya RM30.00, pengunjung layak menyertai cabutan bertuah berupa iPad mini.  Khadija bila tahu ada hadiah iPad beria-ia suruh kami isi borang.  Manakan tidak, mama dan abahnya tak akan belikan dia iPad.  Kami berprinsip tak nak mereka berdua leka dengan 'gadget' tersebut yang mana dah tentunya nanti minat membaca buku dan mengaji Al-Quran sukar kami pupuk.

















Dapat belon dari 'booth' wakaf Al-Quran.  Syukur Alhamdulillah, sempat juga kami wakafkan Al-Quran atas nama kami berempat.

















Selesai menjelajah ke semua 'booth', kami 'window shopping' pula di Kompleks PKNS.  Khadija dan Fatihah membaca majalah Upin dan Ipin sementara menunggu abah derma darah di dalam program anjuran pihak kompleks. 

















Hasil belian buku untuk Khadija.  Buku 20 sirah hidup Rasulullah S.A.W. tu harga asal dalam RM29.++.  Selepas diskaun kami dapat RM26.++.  Buku koleksi cerita popular dan klasik lebih kurang setebal 50 mukasurat.  Khadija dapat habis baca semua cerita dongeng di dalamnya dalam masa 2 hari.  Teringat masa saya kecil dulu, ada juga buku cerita dongeng yang mak usu kami belikan untuk saya dan kakak.  Cerita cinderella, anak itik hodoh dan macam-macam lagi.  Sampai sekarang saya terbayang lagi buku tu walaupun dah entah ke mana.

Lepas ni, 'target' kami nak beli almari buku untuk ditempatkan di ruang tamu yang mana satu sudut akan kami khaskan sebagai mini 'library' rumah kami.  Insya'Allah.





Wednesday, June 5, 2013

Orkid dan Bonsai

Gambar semasa bunga-bunga orkid di laman rumah kami sedang berkembang.  Sejuk pandangan mata bila halaman rumah dalam suasana begini.








































Untuk pokok orkid tu, saya beli baja jenis berbiji kecil macam biji sawi dan jenis sembur untuk menggalakkan bunga.  Ada kalanya saya jirus dengan air basuhan beras.


















Pokok ni saya tak tahu apa namanya.  Tapi pokok di hasil semaian mak khas untuk menghiasi halaman rumah kami.  Memang tak putus pokok ini mengeluarkan bunga.  Menurut mak, kalau tak putus berbunga tu tandanya ada 'ong' kepada tuan pokok.  Wallahualam.

















Pokok bonsai yang masa beli dulu saiznya 1/3 daripada saiz sekarang.  Membesar dengan jayanya di dalam pasu sehinggakan akarnya pun dah mencengkam ke bahagian tanah.

















Koleksi bonsai yang ditanam dan dibentuk sendiri oleh Hakim.  

Seronok bila tengok tanaman menjadi.  Cuma tanaman landskap di bahagian luar pagar...... kami lihat tidak membesar setelah hampir 2 tahun ditanam.  Pokok pinang dan pokok buluh yang masih sama seperti mula-mula ditanam dulu.  Mungkin sebab keadaan tanah yang berbatu-batu menyukarkan akar pokok untuk membesar.  Apa-apa pun, tengok bajet yang ada....... beli dan terus membeli lagi pokok-pokok lain untuk menyerikan halaman kami.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...