Nukilan Kisah Indah Dalam Hidup Kami

Thursday, January 30, 2014

Ceramah Kesihatan @ TCAZ

Ahad, 26 Januari...... saya cuba sedaya upaya untuk hadir ke Ceramah Kesihatan ~ Badan Sihat Otak Cerdas yang dianjurkan oleh Tadika Ceria Az-Zahrah.  Hadir hanya ditemani oleh Khadija dan Fatihah.























Ceramah bermula jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari dihadiri lebih kurang 50 orang ibubapa anak-anak yang diajar dan diasuh di taska, tadika dan transit TCAZ.























Ceramah disampaikan oleh Tuan Chellappan Pallaniappan yang mempunyai pengalaman berpuluh tahun di dalam bidang perubatan.  Bersyukur kerana Allah berikan ruang dan peluang untuk saya ikuti ceramah ini kerana banyak tips yang dikongsikan bersama.  Antaranya tips menghadapi kecemasan di rumah seperti demam panas, tonsilitis, selesema, batuk, tercekik, luka, disengat binatang berbisa dan banyak lagi penyakit yang sering menyerang kanak-kanak.























Penerangan dan cara balutan luka di kepala.























Fatihah yang bertudung pink/kelabu duduk di hadapan.  Sungguh berani dan pandai bawa diri anak-anak mama.  Si kakak Khadija masa ni berada dalam bilik guru.  Bermain dengan Aisyah Sofia.

Masa ni penerangan cara bantuan 'Cardiopulmonary Resuscitation' atau CPR.  Bantuan untuk anak kecil atau orang dewasa yang tercekik juga ditunjukkan oleh Tuan Chellappan. 

Antara tips yang diberikan :-

1.  Elakkan penggunaan 'carpet' sebab memerangkap habuk.  Persekitaran yang bersih menyumbang kepada kesihatan anak-anak kerana selalunya terjadi masalah selesema disebabkan banyak habuk.  (Perkara ni memang saya akui, Khadija dan Fatihah jarang selesema, batuk dan demam kerana saya memang titikberatkkan kebersihan rumah).

2.  Kerapkan membasuh cadar, sarung bantal dan tuala mandi.

3.  Mandi lebih kerap setiapkali demam/suhu badan tinggi.  Cara ni bukan sahaja untuk anak-anak termasuk juga dewasa.  Air dijirus dari bawah kaki ke atas.  Elakkan dari basuh kepala.

4.  Minum banyak air masak bagi mengelakkan dehidrasi.  Kalau anak-anak enggan minum atau tidak selera makan, berikan minuman manis atau jus.

5.  Suhu badan yang tinggi boleh menyebabkan sawan.  Elakkan daripada berlakunya sawan terutama kepada kanak-kanak kerana sekiranya sawan dah berlaku sekali, ianya akan berulang.  Berlaku sawan yang kerap boleh menyebabkan terencat akal.

6.  Demam atau cirit birit elok minum air garam atau ORS (Oral Rehydration Salt) bagi mengelakkan dehidrasi.

7.  Sekiranya terluka atau terkena air panas, rawatan awal di rumah sebelum dibawa ke klinik, memadai dengan mencuci luka menggunakan air paip.  Dikhuatiri penggunaan bahan lain akan menyebabkan jangkitan kuman.

8.  Bagi yang mengalami tonsillitis atau radang pada tonsil yang lebih dikenali dengan panggilan bengkak pada tekak, cukup sekadar berkumur dengan air garam lebih kerap yang mana ianya boleh dirawat tanpa perlu menjalani pembedahan untuk buang tonsil.

Sebenarnya ada banyak lagi tips yang diberikan, tapi semasa 'entry' ni ditulis, banyak yang dah lupa.  Insya'Allah, ilmu yang dipelajari akan saya praktikkan untuk anak-anak dan ahli keluarga yang lain.  'Sharing is Caring'.  

Apa yang penting ialah kesihatan.  Mencegah lebih baik dari mengubati.  Badan yang sihat juga adalah suatu nikmat yang Allah kurniakan.






Tuesday, January 28, 2014

Komuter dan Jalan TAR

Sekali sekala berjalan menaiki kenderaan awam @ komuter memang menyeronokkan.  Dengan tempoh lebih 1 jam menuju ke destinasi pilihan, kami dapat 'relax' sepenuhnya di sepanjang perjalanan.

Kami naik dari stesen Telok Gadong menuju ke stesen Bank Negara dengan tambang sehala untuk saya, abah Hakim dan Khadija cuma berjumlah RM10.00 sahaja.  Fatihah pula masih di bawah umur, jadi dah untung disitu sebab tak perlu bayar tambang.

















Semangat nak jalan naik komuter.  Siap bagi idea kat mama dan abah, minta balik nanti naik teksi atas alasan, komuter dan bas dah pernah naik, teksi belum pernah naik lagi.

















Adik yang dah pandai memilih aksesori nak bergaya bila keluar berjalan.  Seperti Khadija masa umur yang sama, cukup cerewet dan  pandai memilih baju dan kasut yang nak dipakai.  Agak 'stress' juga saya bila melalui situasi mereka tak suka dengan baju yang saya tentukan untuk pakai.  Anak hilang 'mood', saya apatah lagi.  Hero pemulih kembali keadaan selalunya abah sebab dia akan layan setiap kehendak anaknya.  Sungguh memahami abah Hakim dengan anak-anak gadisnya berbanding saya sendiri.























Terbaik!  'Win-win situation' kali ni sebab abah Hakim setuju bawa mama 'shopping' di area Jalan Tengku Abdul Rahman, dengan syarat kena ikut kemahuan dia iaitu pergi dengan menaiki komuter.  

















Dialah kawan, teman, sahabat, kekasih, guru, doktor dan imam saya.  Terima kasih sayang kerana memahami mama.

















Duduk bersama dalam koc yang bercampur.  Kalau naik koc untuk wanita, kesian kat abah Hakim keseorangan nanti.


















Adik bertambah 'cute' bila rambutnya diikat tocang.

















Kakak dengan kertas, pensil dan buku walau di mana berada.  Bukan kami yang bekalkan, tapi dia sendiri yang bawa bersama.  Moga minat ini berterusan.  Alhamdulillah, anak-anak kami tidak ketagih 'game' yang ada pada 'gajet'.

















Puashati sebab dapat jalan dari satu kedai ke satu kedai.  Sekarang ni, kalau beli tudung bukan untuk saya sahaja, tudung untuk Khadija dan Fatihah pun dah masuk 'list'.























Kami dah 'start' beli kain ela untuk baju raya.  Bukan hanya beli kain ela untuk kami sahaja tetapi termasuk wan Telok Gadong, nenek Kerayong dan wan Alang pun kami belikan.

















Pasar malam hari Sabtu di Jalan Tengku Abdul Rahman dah mula susun dan jual seawal jam 11.00 pagi.  Memang 'happening', macam-macam ada.  Tudung budak harga bawah RM5.00 pun dapat.

















Keluhan penat banyak kali keluar dari mulut mereka berdua.  Penat berjalan, nak minta abah dukung dah tak boleh lagi sebab masing-masing dah besar.  Disebabkan mereka tak banyak ragam, apa yang mereka nak kami belikan.  Air, jajan, keropok dan buku.  Khadija paling puashati bila dapat kamus dwibahasa yang kami beli kat kedai buku Pustaka Mukmin, Jalan TAR.

















'Plan' asal dari Jalan TAR nak naik LRT ke Central Market @ Pasar Seni.  Siap dah 'survey' tiket.  Tapi tak jadi sebab mama, adik dan kakak dah penat berjalan.  Disebabkan dah penat juga, kami balik awal.  'Plan' nak makan tengahari di sekitar Jalan TAR atau Pasar Seni pun tak jadi akhirnya.  Semuanya disebabkan kaki dah penat nak menapak.

Central Market yang dulunya saya lalui hampir setiap minggu semasa belajar di tingkatan 4 dan 5 di Sekolah Menengah Teknik Setapak, Kuala Lumpur.  Memori berjalan kaki dari Perhentian Bas Klang ~ KL bersama sepupu, Fiza menunggu bas mini setiap kali balik ke asrama yang dah semakin luput dari ingatan. 

















Semasa perjalanan balik kami........ 15 minit pertama dalam komuter, Khadija masih 'maintain' dengan aktivitinya, sekejap baca kamus, sekejap lagi menulis.  Adik dah mula tidur di riba mama, sementara abah Hakim pula baca buku mengenai Nabi Muhammad S.A.W. yang dibeli di Pustaka Mukmin. 

Terus terang saya katakan, saya ni kurang membaca buku.  Selalunya memang abah Hakim dan Khadija yang kerap selak bahan bacaan yang ada di rumah.  Bukan malas, tapi disebabkan masa saya di rumah lebih kepada mengemas, memasak dan paling tidak menonton televisyen.

















Sampai di Klang, masing-masing kelaparan.  Apa lagi, singgah di gerai MPK, Simpang Empat.  Mama pilih Yong Tau Fu Sup.  Makan panas-panas dalam cuaca yang pada ketika itu agak redup ditambah dengan perut yang lapar memang nikmat rasanya.

















Kakak dengan nasi ayam dan air cincau.  Masih mamai sebab dipaksa bangun dari tidur.

Sengaja saya merungut katakan pada Khadija dan Fatihah, "Rugilah kita balik awal, mama tak puas lagi berjalan, Central Market tak dapat pergi".  Nak tahu apa jawab Khadija, siap dengan muka bengang lagi, "Pergilah jalan sorang-sorang, kita orang nak balik, dah penat".  Abah Hakim gelakkan mama.  'Respond' abah Hakim, tunggulah nanti bila dia orang berdua dah remaja, mama dah ada kawan nak 'shopping' sama. 

















Menu kegemaran kami sekeluarga.  Mee maggi kuah merah, resepi yang diambil dari mak @ wan.  Kuahnya campuran cili kering, sos tomato, gula dan garam.  Paling senang letak kiub ayam.  Mee tu pulak gunakan mee yang seakan mee maggi.  Kalau nak lagi sedap, boleh letak isi ayam atau udang, sayur-sayuran dan telur.  Memang terangkat.  Tak pandang lagi paket yang berisi bahan perasa di dalam bungkusan mee segera yang dah tentu akan mendatangkan mudarat pada kesihatan.

Masa kualiti saya dan keluarga adalah apa juga aktiviti yang kami lakukan bersama-sama.  Makan bersama, solat berjemaah bersama, 'shopping' bersama, riadah bersama........... 






Thursday, January 23, 2014

Perarakan Maulidur Rasul























Alhamdulillah, kami sekeluarga berkesempatan menghayati sambutan Maulidur Rasul tahun ni.  Bermula dengan menghadiri program ceramah di surau kariah kami, Surau Haji Sulaiman, Kampung Delek Kiri dan diikuti dengan program perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul DUN Selat Klang yang dianjurkan oleh Masjid Darul Muttaqin, Kampung Sungai Udang.
















Program perarakan pada 19 Januari 2014 bermula dari tapak Masjid Nurul Iman,Telok Gadong yang terletak di hadapan rumah wan.  

Memang meriah suasana pada pagi tu.  Depan rumah wan, penuh dengan kenderaan dan peserta perarakan.  Difahamkan seramai lebih kurang 1600 orang yang terdiri daripada kontigen yang mewakili Masjid, Surau, Pejabat Kerajaan, Sekolah, Tadika dan NGO yang menyertai perarakan ini.
















Peserta mula berarak.  Abah Hakim juga turut serta dalam perarakan bersama kontigen dari Surau Haji Sulaiman.  Tapi gambar abah Hakim satu pun tak sempat dirakam.














Kontigen yang mewakili Majlis Perbandaran Klang.  Kalau dulu abah Hakim antara salah seorang daripada peserta kontigen MPK, tapi sekarang dia kata, biarlah dia berarak mewakili komuniti di kariah kami tinggal pula.

Tahniah kepada kontigen MPK kerana telah menjadi Johan dalam perarakan Maulidur Rasul DUN Selat Klang. 

 




















 
Fatihah antara salah seorang peserta yang mewakili kontigen perarakan Tadika Ceria Az-Zahrah.
















Disebabkan berdiri terlalu lama lebih kurang 40 minit, Fatihah mula buat perangai.








Mujur kontigen dari tadika hanya berkumpul dan mula berarak dari Simpang Empat, Sungai Udang.  Kalaulah disuruh berarak dari Masjid Telok Gadong, mesti ramai yang buat perangai.

Khadija pun turut serta sebagai peserta kontigen.  Terima kasih Ibu Zarah dan 'teacher' yang memberi ruang dan peluang untuk Khadija bersama-sama dalam barisan peserta.


















Adik Muaz sebagai ikon utama kontigen TCAZ.  Beruntung adik Muaz sebab dia disorong, tak perlulah dia berjalan.


Khadija beria nak turut sama berarak sebab 2 kawannya pun ada bersama iaitu Aisyah Tihani dan Aisyah Sofea.



















Selesai berarak, anak-anak tadika ditempatkan di ruang legar masjid.















Y.B. Dr. Hajjah Halimah binti Ali beramah mesra dan menyakat adik Muaz.  Tahniah kepada kontigen TCAZ kerana mendapat Naib Johan di dalam Anugerah Perbarisan Terbaik kategori tadika.

Alhamdulillah, surau dan masjid di kawasan DUN kami memang aktif dengan program dan majlis ilmu seperti ini.  Yang penting, penghayatan mengenai junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W. ada di dalam jiwa kami yang mana selawat buat Nabi Muhammad S.A.W. adalah sepanjang masa dan bukan semasa Maulidur Rasul sahaja.

Banyak kelebihan yang diperolehi apabila kita berselawat dengan penuh keikhlasan ke atas Nabi Muhammad S.A.W.  Antaranya, sepertimana yang dijelaskan di dalam beberapa sabda Nabi Muhammad S.A.W. ~

1.  “Barang siapa yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat, nescaya Allah S.W.T. akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” (Hadith riwayat Imam Muslim)

2.  “Orang yg lebih baik disisiku di hari kiamat adalah org yg paling banyak selawatnya kepadaku.” (Hadis riwayat Tirmizi)

3.  “Hari yang terbaik bagi kamu adalah hari Jumaat; jadi perbanyakkan selawat pada hari tersebut.  Maka sesungguhnya selawat yang kamu ucapkan akan dibentangkan kepadaku.  Para sahabat bertanya "Bagaimana pula selawat kami dibentangkan kepadamu sedangkan tubuhmu sudah hancur."  Beliau bersabda "Sesungguhnya bumi tidak makan jasad anbiya."  (Hadis Riwayat Abu Daud)

4.  “Barang siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat."  (Hadis riwayat Tabrani)

5.  Dari Abu Hurairah r.a berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda dengan maksud “Janganlah kamu jadikan kuburku sebagai tempat perayaan dan berselawatlah kepadaku, maka sesungguhnya bacaan selawatmu itu akan sampai kepadaku di mana sahaja kamu berada.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Jelas sekali melafazkan selawat ke atas Nabi Muhamad s.a.w. adalah suatu ibadah yang terpuji yang amat disukai oleh Allah S.W.T. dan para malaikatNya serta sangat dianjurkan sebagai suatu penghormatan dan memohon rahmat kepada Nabi S.A.W.

Apa lagi, jom kita berselawat!






Monday, January 20, 2014

Cerita Basikal dan Makan

Hari cuti, kalau tak bersantai di rumah wan Telok Gadong, menjenguk atuk dan nenek di Bukit Kerayong, sudah menjadi rutin kami pasti akan bersantai di luar.

Selepas menemani saya ke Jakel Shah Alam, mereka kami bawa ke tasik di Seksyen 7.

















Basikal  memang 'standby' bawa sebab dah janji nak singgah main basikal di taman.  Ke rumah wan dan nenek pun, kadang-kadang terpaksa abah Hakim turutkan kehendak mereka bawa basikal bersama.

















Puashati sebab dapat main basikal kat tepi tasik.  Lokasi ni abah Hakim yang pilih sebab dekat dengan Jakel.  Sekali jalan kata dia.  Kalau ikutkan saya, nak main di Taman Pengkalan Batu sahaja.

















Penyeri hidup mama dan abah.  Terpaksa terima hakikat, mereka dah semakin dewasa. 

















Adik yang agak lasak berbanding kakak.

















Kakak yang agak lembut dan sopan.

















Fatihah yang kadang-kadang dipanggil 'baby'.  Dia cukup suka dengan panggilan tu.

















Terhasillah kek coklat moist kukus bila 'mood' rajin saya datang.  Saya memang akui, kek yang dikukus memang sedap berbanding dibakar.

















Sengaja 'extra' kan adunan sikit untuk diisi di bekas ni.  Khas untuk Khadija dan Fatihah makan menggunakan sudu.  Cukup puashati sebab mereka berdua sukakan kek ni.

















Daging lembu masak sambal kicap.  Stok daging lembu hanya ada di rumah kami ketika raya korban.  Daging ni hasil pemberian kenduri aqiqah anak buah baru sebelah abah Hakim iaitu Mohd Ziyad Al-Thaqif.

















Ikan siakap stim.  Dimasak dengan penuh kasih sayang bagi menjaga kesihatan kami sekeluarga.






Friday, January 10, 2014

Bestlah Bawa Basikal!

Akhirnya...... Khadija dah pandai bawa basikal tanpa bantuan 2 roda di belakang pada tahun baru 2014.

















Mama dan abah memang tahu, Khadija budak bijak yang sebenarnya boleh lakukannya walaupun agak lambat.

















Sebenarnya roda kecil kat belakang basikal dah dibuka beberapa bulan lepas.  Tapi Khadija tak nak langsung usaha bawa basikal tu dengan alasan takut jatuh.  Punyalah jenuh mak cik Ain dan Aqilah, ajar Khadija bawa basikal.  Tapi tetap juga tak berjaya.


Akhirnya Khadija dapat bawa basikal hanya setelah mencuba bawa basikal Alya binti Mohd Anis.  Alya ni salah seorang kawan rapat Khadija semasa di tadika PASTI.  Kunjungan kali kedua Alya serta adiknya Adam dan Alif yang dibawa oleh mama mereka, Puan Zaffira ke rumah kami cukup bermakna.  Selain dapat bermain dengan Khadija dan Fatihah, rupanya kehadiran mereka membawa rezeki sebab Khadija terus pandai bawa basikal hanya dengan sekali cuba sahaja.

Terima kasih Alya.  Keraplah datang rumah kami nanti sebab Khadija cukup suka bermain dengan kamu walaupun kamu berdua bukan lagi di sekolah yang sama.

Puan Zaffira juga, terima kasih sebab selalu jenguk blog kami ni.  Diharap Khadija dan Alya menjadi kawan baik sampai dewasa nanti.
 
















Ini pula gambar Khadija di hari yang lain.  Sejak tahu kayuh basikal ni, pagi lagi sebelum pergi sekolah kayuh dulu basikal.  Dapat se 'round' pun jadi.  Sampai je rumah, selagi tak hampir pukul 7.00 petang, kayuh lagi basikal.  

















Abah Hakim ada cerita, Khadija beritahu dia, "Abah, 'best' rupanya bawa basikalkan?".  Ha, baru tahu.  Memang 'best' bila dapat kayuh basikal tanpa bantuan 2 roda kecil kat belakang.


















Ini pula basikal Fatihah.  Basikal yang diturunkan daripada Khadija kepada adik Fatihah.  Kesian kat adik sebab selalu dapat barang 'second hand'.  Basikal ni memang jarang sekali dibawa Fatihah.  Selalunya basikal ni tersadai je kat depan rumah.  Tapi sejak kakak pandai kayuh basikal ni, adik pun mulalah sibuk-sibuk nak bawa juga basikal.  Roda bahagian hadapan tu baru je tukar sebab roda asalnya tercabut dengan sendiri akibat reput.

Perancangan saya, memang nak belikan mereka berdua basikal baru.  'Especially' untuk adik, tapi disebabkan abah Hakim kata tak payah nak membazir sebab pakai sekejap je, tu yang dia gantikan roda lain kat basikal adik.


















Mula menghargai kehadiran basikal.  Basikal kotor sikit je, terus adik nak basuh.  Apa lagi, bisinglah mulut mama sebab membasuhnya lebih kurang, buang air yang lebih.

















Balik je abah Hakim dari kerja petang yang sama, Khadija terus capai tudung ajak abah hantar dia ke rumah kawan baik dia, Awatif yang terletak lebih kurang 700 meter dari rumah kami.  'Excited' nak tunjuk kat Awatif dia dah pandai kayuh basikal.

Walau apa pun, basikal baru yang lebih besar dan lasak nanti akan juga mama belikan untuk kamu berdua kalau kamu berkelakuan baik dan rajin belajar.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...