Nukilan Kisah Indah Dalam Hidup Kami

Thursday, May 18, 2017

Meraikan Jasa Guru

Sekolah Khadija dan Khairin sambut hari guru pada 16 Mei 2017.  Khadija seawal bulan Februari dan bertanya apa hadiah yang nak bagi pada ustazah dan ustaz sempena hari guru.  Dia ni memang bersemangat dalam segala hal yang berkaitan dengan sekolah.  Tahun ni memang tak ada idea nak hadiahkan apa pada cikgu @ ustazah dan ustaz mereka.  Akhirnya, pada pertengahan bulan April saya putuskan untuk buat tempahan 'online' je hadiah untuk ustazah dan ustaz mereka.















Comelkan, 'fridge magnet' yang saya tempah melalui fb Persona Craft House.  Harga pun agak berpatutan bila tempah dalam kuantiti yang banyak.























Hasil kerja yang kemas dan menepati apa yang saya nak.  Ini merupakan kali ketiga saya tempah melalui Persona Craft ni.  Saya pernah tempah hiasan decoupage dan juga jadual kehadiran kelas (felt craft). 


Kepada guru @ cikgu @ ustazah dan ustaz Khadija dan Khairin, jasa dan kesabaran kalian untuk mendidik anak-anak saya tidak ternilai jika dibandingkan dengan apa yang saya berikan ini.  Semoga pahala yang diterima berterusan hendakNya.  Buat guru-guru dan pensyarah yang pernah mengajar saya, terima kasih tak terhingga kepada kalian semua.  Siapa saya pada hari ini, semuanya atas ilmu dan keredhaan dari kalian.  Selamat Hari Guru 2017!!!






Thursday, May 11, 2017

Bila Anak Cucu Berkumpul @ Kenduri Telok Gadong

Alhamdulillah, dah 12 orang cucu mak dan bapak.  6 lelaki dan 6 perempuan, anak-anak dari kami 5 beradik.  Waris Haji Md. Ariff dan Hajjah Rohani.

Cucu paling terkini dan bongsu buat masa ini, Meor Adam Mukhriz bin Meor Mohd Shukor selamat diraikan dalam majlis serba sederhana tetapi meriah dengan kehadiran tetamu yang agak ramai.  Majlis bermula jam 10.00 pagi dengan bacaan marhaban, cukur jambul dan seterusnya selepas zohor bacaan tahlil arwah oleh jemaah Masjid.  Tak menang tangan kami semua hari tu sebab tetamu datang tak putus-putus seperti kenduri kahwin pula.   














Mak @ wan dengan sebahagian cucu.  Ahmad Naim Nuruddin cucu sulung tiada sebab komited sangat dengan pengajian dia.


Suka juga rupanya mak 'berswafoto @ selfie'.


Kumpulan marhaban.  Sudut buaian berendoi tu hasil kerja tangan achik Nor menggunakan bahan serta deko yang sama macam kenduri aqiqah Muhammad Harraz, 2 tahun lepas.


Harraz yang agak 'moody' sebab tangan sakit barangkali kesan jatuh main kejar-kejar dengan Firdaus sehari sebelum kenduri berlangsung.  Harraz ni satu perangai dia, bila ada ramai orang, dia suka buat hal @ merengek.  Mungkin rimas kot.














Marhaban ya marhaban.  Kakak Aida Sarah dah remaja.  Dialah yang diharapkan untuk membawa dulang.














Cukur jambul ni kira macam tradisi juga dalam keluarga kami.  Setakat ni semua cucu mak akan diraikan dalam majlis cukur jambul dan aqiqah.














Potong sedikit hujung rambut.  Hari esoknya baru semua rambut Adam dicukur sendiri oleh papa dia.














Di satu sudut, sementara menantikan marhaban selesai.



Faris, Firdaus dengan Irfan pula kecoh kat bawah khemah sebab nampak biawak.  Dia orang ni memang teruja kalau nampak binatang.  Konon nak tunjuk acah-acah hebat nak lawan dengan binatang tu.  Biarlah bagi dia orang peluang nak 'explore' alam sebab masa ni jelah pun dia orang ni dapat bebas main kat luar rumah.  Kalau tak asyiklah berkurung duduk dalam rumah.


Khairin Fatihah dan Aqilah yang ke sana ke sini bersama.  Entah apa yang dia orang main atau borakkan, satu patah pun saya tak dengar.  Mereka ni sebaya cuma beza sebulan je.














Ambil berkat tangan mak @ wan pula.














Budak-budak tengah kecoh suruh tolong tangkapkan biawak.



Semoga mak dipanjangkan usia, sihat untuk lihat semua cucu mak besar.  Insha Allah.























Adam, mak ngah Shima doakan Adam jadi anak soleh, taat perintah Allah, berjaya di dunia dan akhirat.


Adam dengan mama dan papa Meor.














Seekor kambing dibakar, seekor lagi buat masak kurma.  Memang 'best' kambing bakar ni.  Digandingkan pula dengan coleslow dan sos black pepper.


Adam dan wan Alang.  Semoga mak lang sentiasa sihat dan panjang usia.























Sebelum ramai tetamu datang.  Raikan dulu 'birthday girl' bulan Mei.  Walaupun tarikh 'birthday' akhir bulan, sengaja diraikan awal bersekali dengan Hari Ibu.


Khadija yang pilih nak 'brownies'.


Dengan sepupu-sepupu kenit.  Puteri Hasya, sejak dah jadi kakak ni perangai dah macam budak besar.  Mulut pula keletah bercakap. 


Dia orang ni tak suka bergambar sebenarnya.  Tapi mama yang arah suruh 'posing'.














Banyak juga kuih hari tu.  Alhamdulillah, semuanya habis.

'Moment' berkumpul bersama, bergurau senda, bergelak ketawa, terasa hati, bergaduh, menangis inilah yang akan dikenang nanti.  Semoga rakaman 'moment' indah ini menjadi sebahagian daripada kenangan terindah kami anak cucu atuk Ariff dan wan Ani.






Friday, May 5, 2017

Setiap 3 Bulan Sekali

Aktiviti derma darah ni memang abah Hakim lakukan secara berkala setiap 3 bulan sekali.  Alhamdulillah, usaha murni yang bertujuan untuk membantu pesakit yang memerlukan.  























Abah Hakim berdarah 'O'.  Kelebihan darah 'O' ni banyak.  Apa yang saya kenal, orang berdarah 'O' ni pemurah orangnya sebab darah 'O' boleh diterima oleh pesakit darah A, B dan AB.  Tapi orang yang berdarah 'O' bila sakit pula hanya boleh terima darah 'O' sahaja.











Darah yang mengalir di tubuh saya adalah darah A+. 























Prosedur biasa sebelum dibenarkan menderma darah.  Periksa jenis darah dan tekanan darah terlebih dahulu.


Abah Hakim tahu di mana ada program derma darah melalui FB Pusat Darah Negara.
 






















Sejak ikut abah Hakim derma darah, saya macam 'terpanggil' nak derma darah bersama.  Tapi perasaan takut tu tetap ada.























Abah Hakim yang peramah.  Ada sahaja benda yang nak ditanya dan dibualkan dengan orang yang dia jumpa.























Kami yang setia menemani abah Hakim.























Mereka yang suka 'window shopping' tapi dah pandai memilih tempat.  GM Klang mereka tak nak pergi sebab sesak dan panas kata mereka.























Sementara tunggu abah Hakim selesai derma darah, kakak-kakak kena layan Harraz yang tak tahu duduk diam.























Inilah antara aktiviti kami.  Dalam sebulan tu memang akan ada slot aktiviti bersama 'window shopping'.






Thursday, May 4, 2017

April Bulan Saya

Alhamdulillah.  Bertambah lagi usia saya pada bulan April ini.  Syukur, Allah masih beri peluang untuk saya bersama-sama insan tersayang.  Semoga peluang yang Allah beri ini saya tidak alpa, tidak lupa, tidak malas dan berlengah-lengah untuk terus mengejar amal ibadah untuk bekalan di alam kekal abadi kelak.






Wednesday, May 3, 2017

Hutan Kecil Dan Kami

Sebelah belakang dan tepi kawasan rumah kami memang masih bersemak-samun.  Panggilan lain yang kami berikan hutan kecil sebab kawasan tu diliputi dengan semak dan pokok yang tinggi.  Setakat ni, kedudukan rumah kamilah yang paling belakang.  Tapi pada pengamatan saya, paling tidak 2 tahun lagi pasti ada rumah didirikan bersebelahan rumah kami disebabkan apa yang kami tahu tuan tanah dah jualkan tanah tersebut.

Duduk bersebelahan @ berdekatan dengan hutan kecil ni, kena rajin.  Alhamdulillah, abah Hakim rajin membersihkan kawasan kami dan adakalanya turut meracun sebelah parit yang memisahkan antara tanah kami dan tanah bersebelahan.  Bukan sahaja untuk nampak tak serabut, tapi juga untuk keselamatan kami dari ancaman binatang berbisa.

Bercerita mengenai kawasan hijau @ hutan kecil ni, banyak juga haiwan yang pernah saya lihat.  Jangan tak sangka, masih ada lagi tinggalan monyet yang mungkin sesat sekali-sekala keluar mencari makan, biawak, ular, burung wak-wak dan ayam hutan.  Kalau lepas hujan pula, kadang-kadang kelihatan burung bangau atau helang. 

Longkang tanah pula, selepas hujan lebat pula akan ada belut, ikan haruan, ikan puyu.  Selalunya longkang tanah kami menjadi sasaran pemancing ikan mencari rezeki.  Apa yang saya lihat mereka pasti tidak pulang dengan tangan kosong.  Pasti ada ikan dibawa balik, walaupun hanya seekor.

Baru-baru ni pula, yang saya tahu...... longkang di kawasan rumah kami turut menjadi tumpuan si pencari kura-kura.  Saya tak pasti, kura-kura tu dijual untuk tujuan bela atau untuk dimakan.













Balik sekolah, tiba-tiba nampak kura-kura melintas hampir dengan pagar rumah.  Apa lagi, masing-masing teruja nak ambil kura-kura.  














Kura-kura sorok kepala dalam cengkerang sebab takut.














Mula-mula memang tak rancang pun nak buat apa dengan kura-kura ni.  Tapi tiba-tiba teringat kat Faris, terus 'whatsapp' gambar kura-kura masuk dalam group adik-beradik.  Faris yang teruja beria-ia nak bela kura-kura tu.


Kami simpan kura-kura dalam baldi sementara nak bawa ke rumah mak.  Seminggu juga kura-kura ni dibela Faris.  Akhirnya, kura-kura dihantar balik semula ke rumah kami dan dilepaskan di tempat mana ia dijumpai dulu.  Faris pesan, kalau ada kura-kura yang kecil sedikit dia nak sebab alasannya kura-kura ni besar sangat, tak muat nak simpan dan bela dalam akuarium kecil yang dia ada.






Wednesday, April 19, 2017

Bila Tekak Tak Sihat @ Batuk

'Entry' kali ni mengenai gambar masakan.  Sengaja masukkan dalam blog, mana tahu dalam 1, 2 atau 10 tahun ke depan, bila saya buka blog ni, masa tu tak ada idea nak masak apa, terus sahaja teringat lauk ni dan dapat ideakan?  Mungkin juga masa tu bila saya 'throwback' ingatan saya, baru saya tahu yang saya ni masa muda-muda rajin ke dapur orangnya.  Harap-harap bila dah makin bertambah usia nanti, semakin rajin saya dalam hal masak-memasak ni.  Tapi impian yang satu ni, setiap hari saya tekad untuk tambah rajin dalam meningkatkan amal ibadat.  Insha Allah.  Semoga saya istiqomah dalam hal ni. 








Lauk sup ayam ni saya masak masa saya cuti sakit (MC) sebab demam, batuk dan selesema yang teruk.  Masa tu memang abah Hakim ada 'offer' nak belikan sahaja nasi bungkus tapi saya menolak sebab tekak rasa nak makan lauk yang dimasak sendiri.  Makanya, terhasillah lauk sup ayam yang bagi saya memang kena dengan orang yang tekak tengah tak sedap.  Anak-anak pun suka makan lauk sup-sup ni.  

















Lauk lagi satu ni, saya siap masukkan dalam Group FB 'Masak Apa Hari Ni'.  'Post' gambar ni bukan nak menunjuk tapi bertujuan membantu para suri yang tak ada idea nak masak apa.  Lauk ni memang mudah penyediaannnya.  Sekejap je dah siap.  Sesuai untuk dijadikan lauk berbuka dan bersahur sebab lauk ni tak pedas dan berkuah, ada sedikit rasa masam sebab letak air asam dah cukup bagi saya untuk menjadi pembuka selera saya.  Selain sotong, udang pun sesuai dimasak lauk sebegini.  Yang pasti, selera saya mesti lauk yang berkuah macam kari, masak lemak, asam pedas, sup atau tom yam.






Tuesday, April 18, 2017

Khadija Ikut Rombongan Sekolah

Khadija terpilih lagi ikut rombongan tahap 2 tahun ni.  Khairin pula belum ada rezeki.  Tahun depan, kalau tak dapat memang nak minta Khairin jumpa ustazah cakap nak pergi.  Sebabnya Khairin ni dalam diam, dia merungut juga tak puashati kenapa ustazah tak pilih dia.  Insha Allah ya Khairin, tahun depan giliran Khairin pula.

Rombongan lawatan ke dua lokasi iaitu Farm In The City kat Seri Kembangan dan Taman Botani Putrajaya telah diadakan pada Sabtu, 15 April 2017.  Tapi menurut Khadija, rombongan turut berhenti solat Zohor di Masjid Besi @ Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin. 

Khadija 'excited' dari hari dapat borang rombongan lagi.  Bukan tak pernah dibawa ke zoo, tapi keterujaan dia agak berganda dari kebiasaan, mungkin sebab dapat berjalan dengan kawan-kawan.  Lagi-lagi dapat jalan dengan BFF dia.













































Gambar-gambar ni semua ustazah yang kirim melalui 'WhatsApp'.  Sengaja saya masukkan cerita dan gambar Khadija dan kawan-kawan ikut rombongan lawatan supaya cerita dan gambar ini akan menjadi kenangan buat mereka bila masing-masing dah besar nanti. 







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...