Nukilan Kisah Indah Dalam Hidup Kami

Thursday, February 17, 2011

Fridge Magnet

Mengumpul fridge magnet ni bermula kira-kira 5 tahun lepas. Setakat ni antara koleksi fridge magnet saya adalah dari Melaka, Langkawi, Sarawak, Cameron Highlands, Genting Hinglands, Pulau Pangkor, Kelantan, Singapore, Zoo Negara, Aquaria KLCC, Pulau Pinang (Bukit Bendera) dan yang terbaru sekali Indonesia (Bandung), Thailand (Hatyai) dan Sabah.

Nak dikatakan hobi, bolehlah juga tapi tidak terlalu fanatik yang mana fridge magnet ni dikumpul bagi menandakan lokasi percutian kami. Kegemaran saya ni turut dikongsi bersama Hakim yang mana beliau seringkali mengingatkan saya setiapkali kami bercuti.



Antara koleksi saya.



Fridge magnet yang paling banyak adalah dari Langkawi dan Melaka, yang mana turut menandakan kami telah ke lokasi tersebut lebih dari sekali.



Magnet Upin Ipin tu Khadija punya. Dan bila saya amat-amati di sini, saya rasa ada di antara koleksi saya yang dah tiada. Mungkin dijadikan mainan oleh Khadija atau Fatihah.



Jadi, kepada kawan-kawan yang membaca blog saya ni, kalau bercuti ke mana-mana, tak perlulah cenderahati yang besar, apatah lagi yang berat untuk saya. Sekadar fridge magnet pun dah memadai bagi saya.






Wednesday, February 16, 2011

Butter Cupcake

Seawal jam 8.00 pagi, hari Sabtu lepas, mood rajin saya tiba-tiba datang dan apalagi terhasillah kek butter kismis. Oleh kerana bahan-bahan semuanya ada di rumah mak, maka amat mudah untuk menghasilkan kek tersebut.



Sebelum dibakar.



Semasa melalui proses pembakaran di dalam oven.



Bahan-bahan memang ringkas, tepung, gula, butter, telur, esen vanilla, serbuk penaik, sedikit kismis dan paper cup.



Adunan yang menggunakan tidak sampai 400 gm tepung dapat menghasilkan 36 biji butter cupcake.

Nampaknya ilmu membuat kek dah semakin meningkat. Lepas ni saya nak belajar buat kuih-muih tradisional pula seperti kuih koci dan kuih-muih kukus yang lain.






Tuesday, February 8, 2011

Jalan-Jalan Ke Bukit Melawati

Cuti bersempena sambutan Tahun Baru Cina yang lepas, kami tidak merancang bercuti ke mana-mana. Cuti kami banyak dihabiskan di rumah, ke rumah mertua dan rumah mak saya sahaja. Cuma pada petang Khamis tu, disebabkan dah bosan ke shopping complex, tiba-tiba datang idea untuk mengajak Hakim membawa anak-anak mengambil angin petang ke Bukit Melawati, Kuala Selangor. Tak jauh pun, dari rumah kami adalah dalam 15 minit perjalanan ke sana. Sesampai kami di sana, kelihatan sungguh ramai pengunjung yang mana saya tak sangka Bukit Melawati ni masih menjadi tumpuan pelancong rupanya.



Serba sedikit mengenai latar belakang rumah api ni saya ambil dari sumber internet -

1. Didirikan pada tahun 1907, namun beroperasi secara rasmi pada tahun 1910. Bersempena dengan usianya 100 tahun juga, ia telah dibuka untuk kunjungan orang ramai.
2. Selain menjadi pedoman kepada pelayar Selat Melaka, rumah api itu turut berperanan menjadi penanda pintu laluan keluar masuk ke perairan di situ.
3. Sejarah rumah api di Malaysia bermula sejak zaman penjajahan Inggeris dan dari tahun 1826, rumah api di pesisiran pantai negara dikenali sebagai The Straits Settlements Lighthouses.
4. Rumah Api Kuala Selangor dulunya dikenali sebagai Rumah Api Altingsburg yang diambil namanya bersempena nama seorang Gabenor Belanda.
5. Ketinggian rumah api tersebut adalah 25.3 meter dari dasar laut dan 27 meter dari darat dengan sinaran lampunya mampu memancar sehingga 56 kilometer.



Terdapat beberapa muzium di dalam kawasan Bukit Melawati ni.



Tidak ketinggalan, monyet yang bulunya berwarna hitam ni menjadi tarikan kepada pengunjung ke Bukit Melawati. Khadija masih trauma dengan monyet ekoran peristiwa botol susunya diragut monyet semasa kami bercuti di Langkawi. Tapi berlainan pula dengan Fatihah yang 'excited' setiapkali nampak monyet.



Disebabkan tak sanggup nak berjalan kaki mendaki Bukit Melawati, kami menaiki tren. Kadar bayaran sebanyak RM3.00 dikenakan bagi setiap satu perjalanan sahaja bagi dewasa. Manakala kanak-kanak berusia 4 tahun ke atas dikenakan RM1.00. Perjalanan menaiki tren turut termasuk di dalam kawasan Kolam Ikan Air Tawar yang terletak bersebelahan dengan Bukit Melawati tersebut.



Bergambar di depan tren yang sedang berhenti menurun dan mengambil penumpang. Untuk makluman, kaunter tiket mula ditutup jam 5.30 petang setiap hari.



Kami yang berpakaian sempoi. Bukan jauh pun perjalanan.



Khadija dan Fatihah yang seronok dapat berjalan di petang hari.

Kami tak lama di sana, dalam 1 jam sahaja kerana pukul 6.00 petang kami dah bergerak pulang. Hajat dihati pada mulanya ingin singgah makan malam di Pantai Jeram. Walau bagaimanapun, tarikan gerai mee udang banjir di pertengahan jalan Kuala Selangor telah menukar perancangan awal kami yang mana kami sepakat untuk makan di situ. Saya menikmati char kuey tiaw dan Hakim pula memilih mee udang banjir sebagai menu makan malam beliau. Bagi saya gerai ni biasa sahaja dari segi rasa dan harganya.

Walaupun percutian yang lama ni kami tidak ke lokasi jauh, tapi saya amat berpuashati kerana masih dapat berjalan-jalan walaupun dekat dan yang penting kami happy kerana dapat berjimat untuk projek mega kami pada tahun 2011 ni. Insya'Allah.






Monday, February 7, 2011

Hatyai, Thailand

Entry mengenai percutian ke Hatyai, Thailand ni khusus untuk Hakim kerana kami tidak turut serta pada percutian tersebut. Percutian ini merupakan pemberian insentif dari pihak MPK kepada kakitangan yang telah berjaya menaikkan nama Majlis. Percutian selama 3 hari 2 malam tersebut telah bertolak pada 27 Januari dan kembali semula ke tanahair pada 30 Januari 2011.

Walaupun percutian berhari-hari dan kami ditinggalkan, tapi banyak juga cenderahati yang dibawa balik dan cenderahati yang paling saya suka adalah fridge magnet sebanyak 3 unit yang dibeli oleh Hakim. Cuma sepeninggalan beliau, Khadija kena demam. Mungkin demam rindu, maklumlah anak abah.















Nak bercerita lebih, saya tidak ke sana. Jadi, tiada pengalaman yang dapat saya kongsikan. Tetapi kalau ditanya adakah saya teringin ke Hatyai? Terus terang saya katakan, saya telah beberapakali dipelawa oleh Kelab Sukan untuk ke sana, tapi saya tidak berminat. Mana tahu akan datang, saya berminat hendak ke sana kerana menurut Hakim, percutian ke sana tidak menelan perbelanjaan yang tinggi.





Monday, January 24, 2011

Khadija Yang Rajin

Syukur Alhamdulillah, Khadija semenjak ke tadika ni, ada menunjukkan perkembangan positif. Walaupun nampak macam Khadija lebih banyak bermain dan tidak fokus tetapi ada juga yang diajar oleh cikgunya di ambil ingatan. Saya dan Hakim sebenarnya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk pembelajaran Khadija pada usia seawal 4 tahun ni. Kalau diikutkan pada usia ni, ramai rakan sebaya yang masih bermain, cuma Khadija lebih beruntung sebab dimasukkan lebih awal ke tadika. Bohong kalau saya ceritakan Khadija langsung tak buat hal yang mana sebenarnya ada juga waktunya Khadija agak moody terutama pada waktu pagi. Susah juga nak kejutkan Khadija untuk bangun pagi ke tadika dengan alasan penat, mengantuk, tak larat, mata tak boleh buka atau tak nak mandi sebab air terlalu sejuk. Alasan-alasan Khadija ni kadangkala membuatkan kami ketawa. Kasihan juga kami dengan Khadija kerana terpaksa bangun seawal jam 6.00 pagi semata-mata untuk disuruh mandi. Yelah sebab perjalanan dari rumah kami mengambil masa sehingga 40 minit pada waktu pagi dan sudah tentu kami terpaksa keluar seawal jam 6.30 pagi.

Cuti hari Thaipusam tempohari, tiba-tiba Khadija beritahu kami yang cikgunya ada pesan, cuti kena tolong mama di rumah buat kerja. Rupa-rupanya Khadija ambil ingatan yang mana selepas sahaja selesai makan, dia ke dapur berusaha untuk mencuci pinggan. Mulanya kami tak sedar dengan apa yang dia lakukan. Cuma bila terdengar bunyi bising seretan kerusi ke sinki, terus saya menjenguk dan mendapati Khadija sedang mencuci pinggannya sendiri.



Masa ni Khadija tak sedar saya sedang merakam gambar dia.



Menjeling bila dia tahu saya ada di tepi.



Sebiji pinggan mengambil masa hampir 10 minit. Lebih main air dari mencuci.



Bagus Khadija. Mama suka Khadija dah pandai buat kerja dapur. Jangan jadi macam mama masa kecil-kecil dulu, malas.



Lepas ni, bolehlah Khadija tolong mama sapu sampah dan lipat baju pula ye. Dan yang paling penting mama minta Khadija tolong jadi pengemas, mama paling tak suka rumah bersepah.






Kisah Fatihah

Dalam bulan Januari ni je, Fatihah dah 2 kali diserang demam, batuk dan selesema. Selang 2 minggu selepas baik, Fatihah kena lagi. Badan Fatihah akan panas semula selepas 6 jam tempoh ubat dimakan. Kami memang risau, bukan apa takut kalau kena jangkitan kuman atau penyakit lain dan disebabkan itu, Hakim putuskan untuk bawa Fatihah ke Hospital Pantai.



Kami ke sana seawal jam 7.00 pagi, tiada pesakit lain kecuali kami. Bacaan suhu badan Fatihah pada masa ni taklah panas sangat menurut doktor. Mujur tak kena tahan kat wad.



Sayang betul kakak Khadija dengan adik Fatihah. Tapi dalam sayang ni pun kena tengok juga, Khadija kadang-kadang berlaku kasar dengan Fatihah.



Muka tiga beranak yang termasuk mama belum mandi pagi lagi masa ni.

Wednesday, January 19, 2011

Percubaan Pertama Membuat Tart Telur

Saya kalau tengah lapar, lagi-lagi bila buka blog resepi, mulalah terfikir-fikir nak makan itu dan ini. Isnin baru-baru ni, tiba-tiba je terfikir nak try buat tart telur. Bila search resepi ni dalam blog kak hanieliza, saya lihat bahan-bahan yang digunakan semuanya ada di rumah mak kecuali lemak sayur. Apalagi balik je terus saya ke kedai menjual bahan kek untuk membeli lemak sayur. Walaupun gunakan hanya sesudu untuk bancuhan 500 gm tepung, saya rasa berbaloi juga kerana lemak sayur tu cuma RM2.50 dan masih banyak berbaki dan kalau dihitung boleh membuat lebih daripada 10 kali tart telur lagi. Rupanya penggunaan walau sesudu lemak sayur dapat membantu merangupkan kulit tart. Cumanya proses nak membuat doh untuk kulit sahaja remeh sebab perlu dicanai dan diterap, namun yang lainnya memang mudah.



Proses membakar.



Antara yang dah siap dibakar.



Untuk bancuhan 500 gm tepung, kira-kira 25 biji tart telur dapat dihasilkan. Itupun saiz acuan bercampur antara yang kecil dan besar. Perancangan akan datang, saya bercita-cita untuk menghasilkan tart @ pai berinti kentang (seperti inti karipap) atau pai epal kerana mak menyokong saya walaupun tidak ada yang gemar memakan tart telur selain saya dan anak buah saya, Naim tapi saya berasa amat puas kerana percubaan pertama saya menjadi.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...