Syukur Alhamdulillah, masih bertemu Ramadhan 1435H kali ini. Harapan untuk melalui dan menghabiskan Ramadhan dengan diberi kesihatan yang baik untuk bersama-sama keluarga menyambut kedatangan Syawal pula. Program berbuka puasa masih mengekalkan hanya di rumah kami, rumah wan atau rumah mertua sahaja kerana kekangan masa disebabkan menghormati kehendak abah Hakim yang tak nak terlepas solat terawih berjemaah di surau/masjid. Mungkin pada malam lebaran sahaja kami 'plan' untuk berbuka di luar.
Telekung lycra warna biru pilihan Khadija, hadiah dari abah Hakim sempena 'birthday' dia yang lepas. Disebabkan disiplin yang tinggi menunaikan solat 5 waktu setiap hari, inilah hadiah yang paling sesuai, kata abah Hakim. Tahun ni pula merupakan tahun ke-3 Khadija berpuasa. Insya'Allah, mama yakin Khadija boleh puasa penuh seperti tahun sebelumnya. Alhamdulillah, sungguh mudah kami mengejut beliau bersahur. Lepas sahur pun tak sambung tidur, Khadija selalunya akan tunggu abah balik dari surau untuk bertadarus bersama.
Perkembangan peperiksaan pertengahan tahun Khadija juga memuaskan, ada peningkatan dari segi nombor. Semasa ujian penilaian beliau dapat nombor 4, kali ni dia dapat nombor 2 di dalam kelas dan untuk keseluruhan tahun 1. Tahniah Khadija! Komen guru kelas dia, Khadija ni agak tegas dan garang, punya sifat kepimpinan yang tinggi, fokus ketika belajar dan lancar bacaan hafazan dan tilawah.
Fatihah pula setakat ni hanya berpuasa penuh pada hujung minggu. Hari persekolahan samada separuh hari atau berbuka pada pukul 4.00 petang. Kami tidak meletakkan harapan yang tinggi pada Fatihah untuk dia menjadi seperti kakak Khadija pada usia yang sama, 5 tahun sebab kami tahu Fatihah ni agak manja dan tekad kalau nak buat sesuatu. Masih terlalu awal, biarlah dia terdidik dengan solat dahulu. Insya'Allah, kalau solat tak tinggal, puasa juga akan menjadi mudah nanti.
Utusan @ ucapan Ramadhan dari Fatihah. Sungguh comel setem gambar Fatihah dengan Teacher dan rakan Yellow Class.
Hasil nukilan Fatihah.
Doa mama buat keluarga kita, semoga kalian diberi kesihatan yang baik dan ditetapkan iman di bulan yang mulia ini.
**** Mama lega, persiapan baju raya semua dah 'settled'. Tinggal bab membersih, mengemas, menghias dan menyediakan biskut raya sahaja yang tinggal.
0 comments:
Post a Comment