Nukilan Kisah Indah Dalam Hidup Kami

Wednesday, July 31, 2013

Cerita Ramadhan 1434H Kami

Syukur Alhamdulillah, dah 22 hari umat Islam berpuasa.  Cerita bulan puasa @ Ramadhan kami sama sahaja perjalanannya seperti tahun sebelum ini.  Cumanya, saya berasa amat penuh jadual puasa saya pada tahun ini.  Mana taknya, dengan bebanan tugas di tempat kerja yang mana mesyuarat yang perlu saya hadir berderet-deret menjelang minggu akhir sebelum bercuti raya.  Saya kena banyak beristighfar dan bersabar dan disebabkan kerja merupakan ibadah juga, makanya saya redha.  Saya agak beruntung kerana mujur mak banyak membantu, juadah berbuka memang tak perlu fikir sebab mak memang sediakan lebih untuk kami.

'Planning' nak buat kuih raya jauh sekali buat saya pada tahun ni.  Ada juga Khadija dan Fatihah menanyakan saya bila nak buat kuih raya.  Saya cuma jawab tahun ni semua beli je.  Insya'Allah, tahun depan dan seterusnya mama berusaha untuk membuat kuih raya ye.  Rugi rasanya kalau mereka membesar tanpa melalui memori dan pengalaman melihat dan membuat sendiri kuih raya seperti masa kecil saya dahulu.

Syukur Alhamdulillah juga, Khadija setakat ini dapat menghabiskan puasanya kecuali ponteng 1 hari.  Abah @ Hakim pula sungguh berdedikasi dan cemerlang menjaga ibadahnya pada bulan Ramadhan ni dengan ibadah solat fardhu dan terawikh di surau/masjid.  Tak hairanlah kalau saya katakan, kami memang ditinggalkan pada awal pagi sebelum sahur antara jam 1.00 pagi hingga 4.00 pagi kerana beliau akan beriktikaf dan berqiamullail di masjid.


















Aktiviti bulan puasa kami agak terhad.  Seperti biasa menjadi rutin hujung minggu adalah mengemop lantai rumah.  Tu baru rumah berkeluasan 50' x 60'.  Belum lagi campur dengan halaman luar.  Memang memenatkan.  Kadang-kadang kami minta bantuan 'cleaner' kat pejabat Hakim datang bantu dengan bayaran RM10.00 sejam.  Menjelang raya ni pun kami dah 'booking' beliau.  Semua sudut dalam dan luar rumah akan kami minta beliau bersihkan.
 
















Fatihah yang nak tolong sama mengemop.  Bagilah dia peluang sama macam kakaknya.

















Khadija cuba rakam aksi adik Fatihah menggunakan handphone saya.

















Selagi kami tak bagi, selagi tulah mulut dia bising.  Dah dapat batang mop terus diam.
















Akhirnya menangis sebab jatuh terjelepok.  Rumah kami aras lantai memang tinggi rendah.  Kalau ada yang tak perasan, memang akan jatuh kat situ.

















Pada 22 Julai bersamaan 16 Ramadhan, Fatihah dan Khadija turut serta di dalam program Ihya' Ramadhan anjuran Tadika Ceria Az-Zahrah.  Program yang bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 10.00 malam.  Antara pengisian program tersebut adalah lawatan ke Surau Khusyairiah bagi melihat bubur lambuk dimasak, melawat pelajar tahfiz di KOMTAS, penyampaian sumbangan kepada wakil AMAN Palestin dan solat terawikh berjemaah.  Program tersebut bagi saya amat berjaya, kerana Khadija dan Fatihah dapat bertahan sehingga akhir.  Komen mereka bila kami bertanya, perkara pertama yang keluar mereka sangat sayang mama dan abah, takut mama dan abah mati macam orang Palestin.  Kata mereka, kesian dengan kawan-kawan di Palestin.    

















Semasa mengikuti program nilah, Khadija ponteng puasa.  Menurut teacher Fatin,  Khadija terus sahaja minum selepas balik dari mengikuti lawatan.  Sabar jelah.  Andaian saya, mungkin terikut-ikut kawan-kawan lain yang tak puasa.

















Gambar ni saya rakam semasa saya dan Fatihah keluar hanya berdua ke AEON Bukit Tinggi semasa cuti Nuzul Al-Quran.  Saja 'window shopping'.  

















Ahad lepas, 25 Julai..... kami ke Kuala Langat mencari kerepek.  Suasana yang dah macam jualan murah kat 'shopping complex'.  Kereta bersusun di bahu jalan masuk ke Kerepek House.  Hasilnya memang mengecewakan kerana stok kerepek pisang tanduk yang berbungkus habis kesemuanya.  Kalau nak juga kenalah kami tunggu kerepek pisang yang telah digoreng siap dibungkus. 

















Mereka berdua memang tak ambil kisah dengan apa yang berlaku di luar kalau sedang menonton CD.

















Lokasi pertama yang kami tuju, Fazz Kerepek House.  Umat manusia yang sama macam saya amatlah ramainya di dalam kedai kerepek ni.  Disebabkan tak nak membuang masa menunggu lama, kerepek yang digoreng siap dibungkus, ditambah pula dengan umat manusia yang menunggu saya lihat lebih daripada 20 orang, akhirnya kami mengambil keputusan untuk mencuba nasib di Ros Kerepek yang tak jauh dari Kerepek House ni.

















Sabar melayan kerenah saya sebab kerepek pisang dan ubi memang kudapan kegemaran dia.


















Rupa-rupanya di Ros Kerepek pun menghadapi situasi yang sama.  Memang saya kecewa kerana tidak dapat membeli kerepek yang 'fresh' dan murah sedikit berbanding harga di luar.  Akhirnya, tak nak pulang dengan tangan kosong, saya mengambil keputusan untuk membeli sahaja kerepek yang banyak dijual di tepi jalan berhampiran Kerepek House ni.  Syukur Alhamdulillah, dapat memborong banyak kerepek selain untuk rumah kami tetapi juga untuk rumah mak,  mertua dan mak cik.

















Aktiviti Khadija seperti saya dahulu.  Pada pertengahan Ramadhan mesti nak bagi kad raya kepada kawan-kawan.  Idea bagi kad raya kepada kawan, ustazah dan teacher ni, saya yang galakkan.  Kad raya yang dibeli dengan hargan RM2.00 untuk 5 keping di dalam satu peket, amat berbaloi bagi saya sebagai tanda ingatan kepada kawan-kawan dan guru.

















Ayat yang ditulis Khadija ni memang datang dari dia sendiri.  Syukur Khadija dah pandai mengeja dan buat ayat dengan betul.  Saya memang teruja dengan perkembangan Khadija pada usia 6  tahun ini.

















Bersungguh-sungguh tulis kad.  Siap letak alamat rumah, jemput kawan-kawannya datang beraya ke rumah kami.  Alamat tu memang Khadija rujuk dengan saya.

















Tulisan yang masih belum kemas.  Masih terlalu awal untuk melatih beliau menulis kemas. 

















Tak siap tulis sebelah malam, disambung pula menulis kad raya selepas bersahur.  Manakan tidak, lebih kurang 15 keping semuanya Khadija kena tulis.

















Jadual solat yang saya sediakan untuk Khadija sepanjang bulan Ramadhan ni.  Masih banyak yang rongak.  Saya lihat Khadija agak komited untuk menunaikan solat Subuh dan Maghrib.  Tahniah Dija, walaupun solat Dija masih belum penuh tapi mama tahu Dija sudah mengerti yang solat itu satu kewajipan.

















Tak sempat tulis semua kad dalam satu hari, sambung pula hari yang seterusnya.  Gambar ni saya rakam selepas waktu sahur kami. 

















Malas nak tulis atas meja.  Khadija cukup suka guna papan rehal abah dia untuk menulis.

Tinggal berbaki 8 hari lagi menjelang Syawal.  Saya sedang menyusun jadual bila mula menghias rumah.  Memang penat bila fikir bab kemas-mengemas ni.  Mujur raya datang setahun sekali je, kalau tak jenuhlah saya.






Tuesday, July 9, 2013

Kisah Rambut dan Telinga

Khadija dan Fatihah berambut baru.  Ini semua kerja abah mereka yang menurut sangat kata anak.  Fesyen rambut pun atas pilihan mereka berdua.  Anak abahlah katakan.  Tak hairanlah kalau saya katakan mereka berdua amatlah rapat dan manja dengan abah mereka berbanding saya.  Tapi dalam manja, sekali sahaja abah mereka bersuara, mereka akan patuh.

















Bertindik telinga di kedai emas Poh Kong, Tesco Bukit Tinggi, Klang. RM15.00 untuk seorang.  Agak murah berbanding di Wah Chan yang mana RM25.00 untuk seorang.

Jaga kedai emas berbangsa Nepal kat belakang tu pandang je.  Saya tanya samada boleh ambil gambar ke tidak di situ, dia tak jawab sepatah pun.  Mungkin tak faham.

















Fatihah yang menahan sakit.  Masa kat kedai bukan main 'cool' je dia. Masuk je dalam kereta, terus merengek sakit.

















Khadija sebenarnya 2 tahun lepas dah bertindik telinga.  Tapi disebabkan anting-anting yang dipakai seringkali tertanggal, saya terus tak pakaikan dia anting-anting.  Anting-anting emas yang ada pula diambil pencuri yang memasuki rumah kami akhir tahun lalu. Terus lubang telinga Khadija tertutup disebabkan lama tak pakai anting-anting.  Bila mendengar saya nak tindikkan mereka berdua, terus kedua-duanya  menagih janji, tak sabar nak bertindik.  Kalau dah perempuan tu, memang tak dapat nak dielakkan suka dengan benda yang cantik dan asyik nak melaram je.

















Pada sebelah petang di halaman belakang rumah.  Khadija yang amat rajin membantu abahnya tak kiralah abah tengah buat apa.  Masa ni, abah tengah cabut rumput kat belakang rumah.  Apa lagi, mulalah dia tunjuk rajin.  Sekali sahaja abah dia suruh dia pungut limau kasturi, terus sahaja dia patuh.

Kalau tiada abahnya di belakang rumah, saya memang tak benarkan mereka berdua ke situ, bimbang sekiranya ada binatang berbisa, maklumlah kawasan berhampiran bersemak-samun.

















Masa ni saya siap usik Khadija.  "Kalau abah suruh buat apa je mesti Dija tolong.  Tapi kalau mama suruh banyak kali, buat tak tahu je". Apa lagi Hakim terus je jawab, "Anak abah, memanglah macam tu."

















Hasil pungutan limau kasturi daripada sepohon pokok yang tingginya di paras bahu Khadija.  Itu baru sepohon pokok, kalau ada beberapa pohon, mesti berkilo-kilo hasilnya.  

Khadija 'frust' sebab tak terpilih masuk pertandingan akhir hafazan tempoh hari.  Tapi tak apalah Dija, mama tahu Dija dah cuba yang terbaik.  Dija bukan tak bagus, disebabkan baguslah Ustaz Ahmad senaraikan nama Dija ke sana.  Insya'Allah lain kali kalau ada peluang, cuba lagi.

Harapan saya buat mereka berdua menjelang Ramadhan ini,  Dija dapat habiskan puasa penuh seperti tahun lepas.  Fatihah pula saya tak harapkan dia berpuasa lagi kerana belum pun masuk usia 4 tahun, nanti buat 'tension' je kami bila dia merengek nakkan susu. 







Saturday, July 6, 2013

Saya dan Mereka

Tinggal beberapa hari lagi menjelang kedatangan Ramadhan.  Selain mempersiapkan diri dengan ibadah puasa, saya juga sibuk menyiapkan persiapan raya kami sekeluarga.  Kalau diikutkan telah hampir 99% persiapan telah selesai yang mana boleh dikatakan tertumpu kepada baju dan kasut raya Khadija dan Fatihah.  Saya dan Hakim sejak mula dulu memang tak suka dan tak akan 'shopping' dalam bulan Ramadhan, lagi pula pada saat-saat akhir menjelang raya.

Lokasi 'shopping' yang menjadi pilihan saya samada Jusco @ AEON, Sogo dan paling tidak di GM Klang kerana saya sememangnya mementingkan kualiti kerana jika dinilai baju atau kasut yang dibeli boleh dipakai lebih lama dan tidak mudah rosak.  Tapi kami hanya 'shopping' pada masa 'sale' sahaja kerana pada ketika ini, baju yang agak berjenama memang akan mendapat diskaun sehingga 50%. Memang berbaloi.

















Bertempat di Setia City Mall, tujuan ke sana bukanlah nak 'shopping' tetapi nak ambil kamera yang dihantar ke Fotokem.  Masih dalam 'warranty' bagi membaiki lensa yang tiba-tiba rosak.

















Mengambil kesempatan dengan tawaran diskaun, saya mencari kasut di beberapa kedai.  Agak mengecewakan, kasut jenama Carlo Rino dan Sembonia di dalam Parkson yang saya berkenan dengan harga yang agak ok bagi saya kerana selepas diskaun kurang RM50.00. Tetapi saiz 6 telah kehabisan stok.

Beralih pula ke kedai Bata.  Jenama 'favourite' saya sepanjang zaman. Sejak zaman sekolah sehinggalah kini, banyak kasut saya berjenama Bata.  Dengan harga yang masih berpatutan dan yang penting tahan lama bila dipakai.  Masih kecewa, kasut yang saya amat berkenan juga telah kehabisan stok untuk saiz 6.

Inilah superhero saya dan anak-anak. Sabar dan setia bersama kami. We love u.

















Dalam kedai McDonald's, sambil menunggu abah, Dija membaca.  Dia ni kalau dapat buku memang dah tak hirau dengan sekeliling selagi tak habis dibaca cerita dalam tu.

















Fatihah yang belum tunjuk minat dengan buku.

















Khadija dah mula rimas.  Mana taknya, Fatihah asyik tanya itu dan ini sehinggakan hilang fokus dia membaca.



Fatihah yang bagi saya bijak dalam diam.

















Buktinya, berdasarkan laporan perkembangan beliau di Tadika Ceria Az-Zahrah, 'teacher' yang mengajar beliau di Pink Class kata dia antara pelajar yang agak mudah mengikut apa yang diajar, ceria, pandai berkomunikasi serta patuh dengan arahan.  

Yang paling saya tak percaya, dia bukanlah seorang yang 'moody' seperti bila di rumah.  Syukur Alhamdulillah, bila saya mendengar ulasan 'teacher'.  

















Kelakar, cita-cita Fatihah adalah Bomba.  Biar betul.  Macam saya je masa sekolah dulu, setiap tahun mesti berubah cita-cita.  Antara cita-cita saya dulu nak jadi Guru, Peguam, Pensyarah dan macam-macam lagi.  Tapi satu pun tak kena.  Walau macam mana pun, saya tetap bersyukur di mana saya berada sekarang ni.

















Penilaian diri Fatihah.


Laporan perkembangan di TCAZ ni agak 'detail' juga.  Berbeza dengan PASTI.  Saya difahamkan di sini tiada peperiksaan dan nombor. Penilaian dibuat dalam pelbagai aspek.  Yang pasti, pelajar-pelajar akan dipastikan dapat membaca, mengira dan menulis pada selewat-lewatnya umur 6 tahun.

















Menurut 'teacher', Fatihah sekarang ni agak peramah.  Memang pun Fatihah ni becok kat rumah kalau nak tahu.

















Bagus Fatihah, mama dan abah doakan Fatihah terus cemerlang dan rajin ke sekolah setiap hari.  Ini baru permulaan, masih panjang lagi perjalanan kamu.  Tapi mama tak nak Fatihah jadi Bomba.  Jadi Ketua Pengarah Jabatan Bomba oklah juga.  Insya'Allah.





Monday, July 1, 2013

Keluarga vs Kerjaya

Keluarga penting, kerjaya pun penting buat saya pada masa ini. Walaupun kerja seringkali menyebabkan saya 'stress', saya kena 'enjoy' dengan tugasan yang diamanahkan kerana bekerja juga merupakan satu ibadah.  24 hingga 26 Jun, saya berada di Langkawi bagi memenuhi tuntutan tugasan yang diarahkan.  Memang berat rasa hati nak tinggalkan anak-anak dan Hakim.  Menambahkan lagi kerisauan bila mana Lembah Klang dan selatan tanahair dilanda jerebu pada ketika itu.  Mujur diisytiharkan cuti sekolah bagi negeri Selangor yang berada di tahap merbahaya pada sepanjang saya di sana.  Lepas sudah kerisauan untuk menguruskan persekolahan anak-anak.    













Di Subang Airport.  Pada ketika ini, keadaan jerebu agak teruk. Keadaan kabus dan bau asap sehinggakan di dalam bangunan airport.













Kami menginap dan berbengkel di Resort World Langkawi.  Panorama memang amat indah.  Syukur ruang udara di bumi Langkawi tidak berjerebu sama sekali.


Awal pagi, matahari baru nak naik.


Merakam detik-detik indah di sana.  Agak kecewa kerana lensa kamera saya rosak.  Saya lebih gemar bergambar menggunakan kamera berbanding handphone.













Ini merupakan kali ke - 3 saya ke Langkawi.  Masih berperasan sama seperti pertama kali ke sana iaitu teruja nak membeli-belah.  Cumanya kali ni, hanya coklat sahaja yang dibeli.  Sebenarnya teringin juga nak beli pinggan mangkuk atau pemanggang ajaib.  Tapi bila memikirkan kudrat yang tak berapa nak kuat untuk membawa barangan yang berat, terus sahaja saya mengambil keputusan tidak membeli sama sekali.


Bengkel yang kami hadiri ini adalah untuk menyelaras garis panduan bagi permohonan pembangunan di daerah Klang.  Tidak semua jabatan di MPK yang terlibat.  Hanya dikhususkan untuk jabatan teknikal iaitu Jabatan OSC, Jabatan Perancang Bandar, Jabatan Bangunan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Taman dan Rekreasi dan Jabatan Undang-Undang.

 
Jadual kami padat di sana.  Walaupun penat, tapi taklah 'stress' sangat berada di dalam bengkel tersebut.  Sambil berbengkel sempat juga kami bergambar.












Di airport Langkawi.  Di sana kami sentiasa berempat.   Saya, Ain OSC, Kak Ila dan Kak Lin Taman.  Memang seronok dengan mereka ni.  Walaupun letih melayan bengkel yang tamat sehingga jam 1.00 pagi selama 2 malam kami di sana, ada sahaja topik yang kami bincangkan bila bersama.  

Tidak kira samada bekerja sendiri, makan gaji paling tidak menjadi surirumah sepenuh masa pun turut penat.  Walaupun adakalanya saya merungut bila terasa semakin banyak bebanan tugasan yang diberi di pejabat, saya harus berfikiran positif.  Beranggapan yang Allah nak kurniakan rezeki yang berkat buat saya dan keluarga.  Dan ketahuilah........... sesibuk macam mana pun saya, selepas jam 5.00 petang, masa saya bukan lagi di pejabat tetapi di rumah.  Bekerja untuk suami dan anak-anak pula. 






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...