Nukilan Kisah Indah Dalam Hidup Kami

Tuesday, March 22, 2011

Cerita Ahad Lepas

Ahad lepas memang membosankan bagi kami bertiga kerana seawal jam 5.30 pagi Hakim dah keluar rumah meninggalkan kami yang masih lena tidur. Kalau diikutkan perancangan awal, Hakim nak bawa kami bersama ke Putrajaya bagi melihat Pesta Belon Panas Putrajaya. Namun, disebabkan masa ke sana terlalu awal, saya mematikan hasrat untuk mengikut beliau. Kalau nak tahu, Hakim ke sana disebabkan ada tugasan bagi pertunjukan udara (paraglider). Menurut beliau, yang mengambil bahagian di dalam pertunjukkan tersebut agak ramai dan untuk dicatatkan di dalam Malaysia Book of Records. Selesai sahaja pertunjukan, dalam pukul 2.30 petang, Hakim sampai ke rumah. Agenda seterusnya adalah untuk membawa kami menghadiri majlis perkahwinan rakan sekerja di Meru.



Khadija dan Fatihah yang pada mulanya sedang lena tidur. Masa ni saya bersiap dulu. Bila dah lengkap bertudung, baru saya kejut mereka berdua. Mujur mood kedua-duanya ok mungkin sebab tahu nak berjalan. Terus je bangun salin baju, bertocang dan berbedak.



Fatihah yang tak tahu duduk diam. Masa ni Hakim baru sampai, terus mandi dan solat Zohor dulu. Kami pula dah tunggu di luar sebab dah tak sabar nak keluar berjalan.



Khadija yang kononnya ala-ala 'princess'.



Fatihah ni tabiatnya kalau duduk diam mesti korek hidung.



Budak cute.

Balik dari kenduri walimatulurus tersebut, kami singgah di Tesco Setia Alam.



Khadija kalau nampak benda ni, mesti nak naik. RM3 untuk 5 minit.



Puas 2 beradik ni meronda dalam Tesco tu.



Fatihah sekarang ni suka sangat dengan patung bear. Berbeza dengan Khadija masa kecil yang agak geli bila disuakan dengan patung bear ni.



Saya dan Hakim mengambil peluang berurut di kerusi Gintell. RM1.00 untuk 3 minit. Dapatlah kurangkan sikit lenguh-lenguh kat badan. Tapi kalau ditanya, saya lebih suka dan puas kalau dapat berurut secara manual (tradisional) atau refleksologi pada tapak kaki. Ditambah pula dengan rasa berangin oleh sapuan minyak. Memang nikmat rasanya.

Monday, March 21, 2011

Hikayat Merong Mahawangsa

Petang Jumaat lepas, kami menonton filem "Hikayat Merong Mahawangsa" di MBO, Harbour Place, Klang untuk tayangan jam 6.15 petang. Menonton di sini memang selesa dan agak 'privacy' kerana bilangan penonton yang tidak terlalu ramai di dalam satu pawagam. Sebenarnya, Hakim yang beria-ia mengajak saya menonton filem ni dan jika ditanya pendapat saya sebelum menonton, memang saya tolak bulat-bulat tapi atas desakan dan pujukan beliau, akhirnya saya akur. Mujur setelah menonton, apa yang dapat saya katakan adalah memang berbaloi dan tidak menyesal, walaupun tayangan mengambil masa yang agak lama. Khadija pula sebaik sahaja memasuki kereta, meminta dibelikan CD cerita tersebut. Ini jelas menunjukkan yang filem tersebut tidak membosankan.

Filem epik "Hikayat Merong Mahawangsa" merupakan arahan Yusry Abdul Halim baru sahaja ditayangkan di pawagam bermula 10 Mac lepas. Tapi menurut KRU Studios menerusi laman sosial Facebook mereka menyatakan bahawa tayangan filem tersebut telah mencatat kutipan setengah juta ringgit pada hari pertama tayangan di Malaysia dan Brunei. Memang patut pun, sebab kalau dilihat dari cara pembikinan, barisan pelakonnya serta jalan cerita, saya rasa filem ini setanding dengan filem Hollywood.

Semasa menonton, mulalah saya terfikir nak buka semula buku sejarah yang telah lama saya tinggalkan. Kononnya nak imbas kembali kisah Merong Mahawangsa ni. Yelah, dah lama tak buka buku sejarah, mana nak ingatkan? Lainlah kalau dalam peperiksaan penjawat awam @ PTK ada soalan tentang sejarah, memang serba-sedikit kenalah juga saya ambil tahukan?



Khadija dan Fatihah yang ok sepanjang menonton.



Masa ni sebelum masuk ke pawagam. Khadija seperti biasa, sentiasa 'excited' dan mulut tak henti-henti bercakap bertanyakan macam-macam hal dengan abahnya.



Saya yang berbaju kurung kerana dari tempat kerja yang mana setelah ambil anak-anak dari rumah mak, kami terus ke MBO. Perjalanan dari MBO pun bukan lama sangat sebab tak jauh pun dari rumah mak, tak sampai 5 minit yang mana laluan juga tidak perlu menempuh sebarang traffic light.



Menonton sambil kunyah keropok lekor.



Cerita di permulaan tayangan.



Hero.



Heroin cerita tersebut. Tapi wataknya tak banyak keluar pun.



Saya suka watak Puteri China ni, cantik.



Bagi saya, jalan cerita filem ni mudah difahami dan tidak membosankan walaupun menggunakan bahasa inggeris hampir 95% cerita kerana difahamkan filem ini juga untuk pasaran antarabangsa. Babak yang paling saya suka adalah masa pertemuan Putera Rom dan Puteri China yang mana bagi saya dua watak ni merupakan sokongan kuat dan penyedap kepada filem ni.

Akhir kata, mudah-mudahan filem ini mampu mengubah persepsi orang ramai tentang industri filem tempatan dan sekaligus meletakkan nama Malaysia setanding di peringkat antarabangsa.






Tuesday, March 8, 2011

Perkembangan Khadija n' Fatihah

Dah lama saya tak bercerita mengenai perkembangan Khadija dan Fatihah. Kalau diikutkan setiap hari ada sahaja cerita mengenai mereka berdua ni. Cuma malas nak diceritakan di blog.

Bulan Mac ni, usia Khadija menjangkau 3 tahun 10 bulan. Manakala Fatihah pula 1 tahun 7 bulan. Kalau diikutkan perbezaan usia mereka berdua hampir 2 tahun. Memang ketara dari segi ketinggian dan susuk tubuh kerana Khadija agak tinggi dan Fatihah agak 'cinonet' saiznya. Saya dapat andaikan yang Khadija ni dewasa nanti agak tinggi (dari saya) kerana bila diukur dengan rakan seusia, beliau kelihatan lebih tinggi di kalangan mereka.

Perkembangan Khadija :-

1. Dah tak perlu dipakaikan diaper pada waktu malam. Ini atas permintaan beliau sendiri yang merasa tidak selesa dan setakat ni Khadija pandai control dan bangun bila terasa nak kencing.

2. Masih kuat minum susu di dalam botol tetapi hanya pada waktu siang dan pada waktu malam sebelum tidur sahaja diberikan sebotol susu. Kalau merengek tengah malam nak susu, kami hanya berikan air kosong yang dicampurkan sedikit madu di dalam botol.

3. Agak cepat menghafal doa. Antaranya doa menaiki kenderaan yang telah fasih dibaca oleh Khadija, doa terang hati (permulaan belajar) dan surah Al-Fatihah (masih belum jelas dan terang bunyinya). Bukan sahaja doa, lagu dan zikir juga ada kedengaran dinyanyikan oleh Khadija apabila dia bermain. Pendek kata, mulut Khadija ni tak henti bercakap kecuali tidur.

4. Bacaan iqra' yang menunjukkan ada peningkatan.

5. Boleh mengira jika diberi objek 1 hingga 10. Nombor belas dan puluh beliau belum mengenal lagi.

6. Boleh diajak berbual seperti pemikiran orang dewasa.

7. Selera makan yang kuat.

8. Ada sikap tanggungjawab dan penyayang dengan adiknya Fatihah. Cuma dengan barang sendiri seperti botol air dan beg sekolah, Khadija tak pandai jaga.

9. Pandai bercerita yang mana setiap kali balik dari tadika ada sahaja cerita baru yang keluar dari mulut Khadija.

Perkembangan Fatihah pula :-

1. Mula bercakap perkataan yang senang-senang seperti mama, abah, nak, tak, sakit.

2. Faham dengan arahan dan memberikan maklumbalas bila kita bercakap dengan dia.

2. Terlalu lasak, suka memanjat dan melompat.

3. Kuat merajuk yang mana akan berguling di lantai bila dia naik marah.

4. Cepat meniru apa yang kakaknya, Khadija buat.

5. Menari bila dengar muzik/lagu kesukaan dia sambil buat aksi memegang mikrofon dengan jari.

6. Manja yang teramat sangat terutamanya dengan saya mungkin kerana Fatihah masih lagi menyusu badan.

7. Ada peningkatan terhadap selera makan.



Khadija dan Fatihah dah pandai main berdua. Kalau di rumah kami sendiri, nilah aktiviti mereka, pakai beg ke hulur ke hilir bedua.



Fatihah yang lasak dan kuat memanjat.



Geram tengok rambut Khadija yang serabai ni. Rasa macam nak potong tapi sayang pulak.





Tuesday, March 1, 2011

Family Day MPK 2011

Setelah beberapa tahun MPK tak adakan Hari Keluarga untuk staff, tahun 2011 ni akhirnya program tersebut berlangsung juga. Kalau diikutkan perancangan asal, program ni sepatutnya diadakan pada bulan Disember 2010, tapi disebabkan terlalu banyak program lain menjelang akhir tahun, maka pihak pengurusan telah menganjakkan tarikh program Hari Keluarga MPK ke bulan Februari 2011.



Program berlangsung di Kolam Renang, Kompleks Sukan Pandamaran yang juga milik MPK.



Bergambar di pintu masuk. Antara door gift yang kami perolehi adalah sepasang t-shirt untuk saya dan Hakim, manakala untuk Khadija dan Fatihah pula menerima kotak pensil, topeng dan belon.



Acara perasmian berlansung secara sederhana pada jam 9.00 pagi dengan dirasmikan sendiri oleh Dato' Yang Dipertua MPK.



Gimik perasmian oleh anggota Penguatkuasa.



Belon-belon yang dilepaskan selepas acara perasmian bersepah di sekitar tempat duduk di hadapan kolam renang hinggakan tak terkutip oleh Khadija dan Fatihah.



Khadija tu sebenarnya baru kebah dari demam dan batuk yang teruk. Tapi disebabkan dengar nak ke kolam renang dan jumpa bekas kawan-kawan beliau semasa di Taska MPK, terus bersemangat walaupun dari riak wajahnya yang belum ceria sepenuhnya.



Masa ni staff masih belum ramai yang datang dan dari pemerhatian saya, staff semakin ramai selepas jam 10.00 pagi.



Tikar tu disediakan oleh pihak pengurusan yang mana staff boleh ambil dan duduk bebas di sekitar kawasan kolam renang. Makanan yang disediakan juga menepati selera kami dan saya dapati makanan memang banyak berlebihan.



Acara banyak disediakan. Kami cuma hantar Khadija dan Fatihah sebagai wakil. Fatihah sertai pertandingan bayi comel. Nasib baik masih layak lagi Fatihah sertai pertandingan tu kerana had umur sehingga 1 tahun 6 bulan sahaja. Walaupun tak mendapat sebarang tempat, tapi sekurang-kurangnya ada acara untuk Fatihah sertai. Cumanya saya tidak pasti kriteria pemarkahan untuk pertandingan ini kerana bayi yang saya lihat comel, gebu dan aktif tidak pula dipilih sebagai pemenang.



Khadija masa ni memang buat perangai. Dia ni pantang nampak air lagi-lagi swimming pool, merengek-rengek nak mandi. Memang saya ada bawakan mereka berdua baju spare tapi disebabkan mereka berdua baru baik demam dan masih berbaki batuk, saya risau jika demam berulang sekiranya berendam lama di dalam air. Tambahan pula cuaca pada hari tersebut juga agak panas terik membuatkan kami lebih berhati-hati.



Khadija ambil bahagian dalam 2 acara. Salah satu dari acara tersebut adalah tangkap itik plastik. Kalau diikutkan kami tak mendaftar awal dalam sebarang acara sukan pun, dan penyertaan Khadija juga adalah di atas permintaan beliau sendiri. Bagus anak mama sebab ada semangat kesukanan dan ingin mencuba. Walaupun saya dapati Khadija sebenarnya kurang faham yang acara tersebut merupakan pertandingan kerana tidak berusaha lebih untuk memungut itik-itik plastik yang dilepaskan, tetapi saya berpuashati kerana anak saya mempunyai semangat kesukanan yang tinggi.



Saya dan Fatihah masa ni sedang menunggu penilaian untuk bayi comel.



Khadija bersama Kak Hawa yang juga merupakan PA kepada Dato' YDP. Masa ni Khadija sedang menunggu acara kutip gula-gula berlangsung.



Sedang beratur menunggu agihan beg plastik untuk menyimpan gula-gula yang dikutip.



Lihat betapa ramai kanak-kanak yang ambil bahagian.



Walaupun kalah (sebab gula-gula yang dikutip tak dikira di meja urusetia). Tapi saya bangga anak saya tidak pasif walaupun beliau kurang sihat. Cuma yang saya perasan, Khadija ni pemilih dan cerewet orangnya, dia cuma ambil gula-gula yang dia suka je, yang penting bagi dia bukan kuantiti tapi kualiti kot.



Tak sia-sia kami menunggu sehingga jam 11.30 pagi kerana kami tidak pulang dengan tangan kosong. Walaupun bukan hadiah utama iaitu laptop atau TV LCD yang menjadi rebutan, kami tetap bersyukur kerana saya dan Hakim telah mendapat hadiah cabutan bertuah. 'Air bed' yang boleh di bawa ber'camping' untuk hadiah cabutan bertuah saya, manakala Hakim menerima jam dinding.

Acara keseluruhan program Hari Keluarga tersebut difahamkan berakhir pada jam 1.00 tengahari dan biasalah mana-mana program tiada yang sempurna. Cuma saya berharap untuk program Hari Keluarga yang akan datang, urusetia diminta lebih peka di dalam mengatur acara untuk permainan dan cabutan bertuah kerana saya hampir-hampir terlepas hadiah cabutan bertuah kerana tidak mendengar nama saya diumumkan yang mana pada ketika itu saya sedang sibuk menemani Khadija bagi acara kutip gula-gula. Mujur rezeki masih berpihak kepada saya dan sekali lagi saya panjatkan rasa syukur.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...