Nukilan Kisah Indah Dalam Hidup Kami

Thursday, February 17, 2011

Fridge Magnet

Mengumpul fridge magnet ni bermula kira-kira 5 tahun lepas. Setakat ni antara koleksi fridge magnet saya adalah dari Melaka, Langkawi, Sarawak, Cameron Highlands, Genting Hinglands, Pulau Pangkor, Kelantan, Singapore, Zoo Negara, Aquaria KLCC, Pulau Pinang (Bukit Bendera) dan yang terbaru sekali Indonesia (Bandung), Thailand (Hatyai) dan Sabah.

Nak dikatakan hobi, bolehlah juga tapi tidak terlalu fanatik yang mana fridge magnet ni dikumpul bagi menandakan lokasi percutian kami. Kegemaran saya ni turut dikongsi bersama Hakim yang mana beliau seringkali mengingatkan saya setiapkali kami bercuti.



Antara koleksi saya.



Fridge magnet yang paling banyak adalah dari Langkawi dan Melaka, yang mana turut menandakan kami telah ke lokasi tersebut lebih dari sekali.



Magnet Upin Ipin tu Khadija punya. Dan bila saya amat-amati di sini, saya rasa ada di antara koleksi saya yang dah tiada. Mungkin dijadikan mainan oleh Khadija atau Fatihah.



Jadi, kepada kawan-kawan yang membaca blog saya ni, kalau bercuti ke mana-mana, tak perlulah cenderahati yang besar, apatah lagi yang berat untuk saya. Sekadar fridge magnet pun dah memadai bagi saya.






Wednesday, February 16, 2011

Butter Cupcake

Seawal jam 8.00 pagi, hari Sabtu lepas, mood rajin saya tiba-tiba datang dan apalagi terhasillah kek butter kismis. Oleh kerana bahan-bahan semuanya ada di rumah mak, maka amat mudah untuk menghasilkan kek tersebut.



Sebelum dibakar.



Semasa melalui proses pembakaran di dalam oven.



Bahan-bahan memang ringkas, tepung, gula, butter, telur, esen vanilla, serbuk penaik, sedikit kismis dan paper cup.



Adunan yang menggunakan tidak sampai 400 gm tepung dapat menghasilkan 36 biji butter cupcake.

Nampaknya ilmu membuat kek dah semakin meningkat. Lepas ni saya nak belajar buat kuih-muih tradisional pula seperti kuih koci dan kuih-muih kukus yang lain.






Tuesday, February 8, 2011

Jalan-Jalan Ke Bukit Melawati

Cuti bersempena sambutan Tahun Baru Cina yang lepas, kami tidak merancang bercuti ke mana-mana. Cuti kami banyak dihabiskan di rumah, ke rumah mertua dan rumah mak saya sahaja. Cuma pada petang Khamis tu, disebabkan dah bosan ke shopping complex, tiba-tiba datang idea untuk mengajak Hakim membawa anak-anak mengambil angin petang ke Bukit Melawati, Kuala Selangor. Tak jauh pun, dari rumah kami adalah dalam 15 minit perjalanan ke sana. Sesampai kami di sana, kelihatan sungguh ramai pengunjung yang mana saya tak sangka Bukit Melawati ni masih menjadi tumpuan pelancong rupanya.



Serba sedikit mengenai latar belakang rumah api ni saya ambil dari sumber internet -

1. Didirikan pada tahun 1907, namun beroperasi secara rasmi pada tahun 1910. Bersempena dengan usianya 100 tahun juga, ia telah dibuka untuk kunjungan orang ramai.
2. Selain menjadi pedoman kepada pelayar Selat Melaka, rumah api itu turut berperanan menjadi penanda pintu laluan keluar masuk ke perairan di situ.
3. Sejarah rumah api di Malaysia bermula sejak zaman penjajahan Inggeris dan dari tahun 1826, rumah api di pesisiran pantai negara dikenali sebagai The Straits Settlements Lighthouses.
4. Rumah Api Kuala Selangor dulunya dikenali sebagai Rumah Api Altingsburg yang diambil namanya bersempena nama seorang Gabenor Belanda.
5. Ketinggian rumah api tersebut adalah 25.3 meter dari dasar laut dan 27 meter dari darat dengan sinaran lampunya mampu memancar sehingga 56 kilometer.



Terdapat beberapa muzium di dalam kawasan Bukit Melawati ni.



Tidak ketinggalan, monyet yang bulunya berwarna hitam ni menjadi tarikan kepada pengunjung ke Bukit Melawati. Khadija masih trauma dengan monyet ekoran peristiwa botol susunya diragut monyet semasa kami bercuti di Langkawi. Tapi berlainan pula dengan Fatihah yang 'excited' setiapkali nampak monyet.



Disebabkan tak sanggup nak berjalan kaki mendaki Bukit Melawati, kami menaiki tren. Kadar bayaran sebanyak RM3.00 dikenakan bagi setiap satu perjalanan sahaja bagi dewasa. Manakala kanak-kanak berusia 4 tahun ke atas dikenakan RM1.00. Perjalanan menaiki tren turut termasuk di dalam kawasan Kolam Ikan Air Tawar yang terletak bersebelahan dengan Bukit Melawati tersebut.



Bergambar di depan tren yang sedang berhenti menurun dan mengambil penumpang. Untuk makluman, kaunter tiket mula ditutup jam 5.30 petang setiap hari.



Kami yang berpakaian sempoi. Bukan jauh pun perjalanan.



Khadija dan Fatihah yang seronok dapat berjalan di petang hari.

Kami tak lama di sana, dalam 1 jam sahaja kerana pukul 6.00 petang kami dah bergerak pulang. Hajat dihati pada mulanya ingin singgah makan malam di Pantai Jeram. Walau bagaimanapun, tarikan gerai mee udang banjir di pertengahan jalan Kuala Selangor telah menukar perancangan awal kami yang mana kami sepakat untuk makan di situ. Saya menikmati char kuey tiaw dan Hakim pula memilih mee udang banjir sebagai menu makan malam beliau. Bagi saya gerai ni biasa sahaja dari segi rasa dan harganya.

Walaupun percutian yang lama ni kami tidak ke lokasi jauh, tapi saya amat berpuashati kerana masih dapat berjalan-jalan walaupun dekat dan yang penting kami happy kerana dapat berjimat untuk projek mega kami pada tahun 2011 ni. Insya'Allah.






Monday, February 7, 2011

Hatyai, Thailand

Entry mengenai percutian ke Hatyai, Thailand ni khusus untuk Hakim kerana kami tidak turut serta pada percutian tersebut. Percutian ini merupakan pemberian insentif dari pihak MPK kepada kakitangan yang telah berjaya menaikkan nama Majlis. Percutian selama 3 hari 2 malam tersebut telah bertolak pada 27 Januari dan kembali semula ke tanahair pada 30 Januari 2011.

Walaupun percutian berhari-hari dan kami ditinggalkan, tapi banyak juga cenderahati yang dibawa balik dan cenderahati yang paling saya suka adalah fridge magnet sebanyak 3 unit yang dibeli oleh Hakim. Cuma sepeninggalan beliau, Khadija kena demam. Mungkin demam rindu, maklumlah anak abah.















Nak bercerita lebih, saya tidak ke sana. Jadi, tiada pengalaman yang dapat saya kongsikan. Tetapi kalau ditanya adakah saya teringin ke Hatyai? Terus terang saya katakan, saya telah beberapakali dipelawa oleh Kelab Sukan untuk ke sana, tapi saya tidak berminat. Mana tahu akan datang, saya berminat hendak ke sana kerana menurut Hakim, percutian ke sana tidak menelan perbelanjaan yang tinggi.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...