Nukilan Kisah Indah Dalam Hidup Kami

Monday, July 16, 2012

Menonton Wayang Dan Nasi Arab

Cerita mengenai menonton wayang Mael Lambung di shopping mall baru dan makan nasi arab ni sebenarnya berlaku di hari yang berlainan.  Disebabkan malas, saya sekalikan cerita kedua-duanya di dalam satu entry.

4 daripada 5 bintang saya nilaikan cerita Mael Lambung yang kami tonton di GSC, Setia City Mall, Setia Alam, Shah Alam yang baru sahaja dibuka.  Shopping mall ni terletak berhampiran dengan NKVE highway dan Jalan Meru.















Waktu tayangan 11.40 pagi.  Sebelum tu jalan-jalan dulu, kononnya nak 'survey' kamera baru.  Tapi akhirnya terus beli.  Setelah berbincang dan membuat penilaian, kami akhirnya membeli cuma kamera biasa-biasa sahaja dan bukan DSLR seperti yang saya nak sebelum ni memandangkan tujuan memiliki kamera hanya untuk merakam aktiviti kami sahaja dan bukan untuk tujuan komersial.















Gambar ni dirakam menggunakan kamera baru berjenama Olympus.  Kamera kami sebelum ni berjenama Nikon.















Gambar agak 'blur'.  Mungkin saya belum pandai menggunakan kamera tersebut.  Berbalik kepada cerita Mael Lambung yang kami tonton yang mana bagi saya memang tidak membosankan kerana ada Zizan yang sememangnya sudah dikenali dengan lawak jenakanya yang bersahaja.  Khadija dan Fatihah pun nampak seronok sampaikan tak nak balik ajak sambung menonton lagi.

Cerita lain pula mengenai aktiviti makan nasi arab di D'Arab Cafe, Seksyen 7 ni pula adalah pada minggu seterusnya.  Memenuhi tuntutan selera kami yang sememangnya gemarkan nasi beriani. 















Ni lah 'first time' kami ke sini.  Itu pun disebabkan kawan-kawan asyik bercerita pasal nasi arab dan oleh kerana yang terdekat berada di Seksyen 7, Shah Alam, lokasi tersebut menjadi pilihan kami.















Kami 3 beranak sedang menunggu nasi arab yang telah dipesan.















Kami ambil set nasi arab untuk 2 orang.  Kalau berdasarkan menu, selain dari nasi untuk 2 orang, terdapat 2 manisan @ pencuci mulut tetapi disebabkan pencuci mulut dah habis, ianya ditukarkan dengan 2 air sirap.  'Frust' juga sebab tak dapat rasa manisan dari negara timur tengah tu.















Ni lah rupa nasi arab yang dah separuh kami makan.  Nampak macam sedikit tapi rupanya bila dah mula makan, cepat betul rasa kenyang dan akhirnya tak habis.  Rasanya?  Saya hanya beri 2 daripada 5 bintang sahaja.  Saya tak pasti samada tukang masak nasi arab ni betul-betul dari negara arab atau orang Malaysia tapi yang saya nampak semua pelayannya adalah anak Melayu yang bercakap di dalam slang/telor Kelantan sahaja.  Mungkin pelajar UNISEL yang berdekatan cafe yang bekerja 'part time' di situ atau sebaliknya.  Beras yang digunakan memang beras basmathi, cuma rasanya tak kurang seperti nasi ayam.  Ayam panggangnya pula tak ubah seperti ayam panggang biasa sahaja.  Maaf jika komen saya ni agak berterus terang dan terlalu terbuka.  Tapi ikhlas atas pandangan saya sendiri.

Pendapat saya dan Hakim sepakat iaitu nasi beriani yang dimasak oleh mak saya lagi sedap kerana bukan sebab ia dari air tangan mak saya tetapi disebabkan rasanya yang cukup dengan rempah ratus, bau nasinya yang semerbak wangi kerana menggunakan beras basmathi bermutu tinggi ditambah pula dengan warnanya yang cukup membuka selera.  Dan kesimpulannya, saya berasa amat rugi sekiranya tidak menuntut belajar masak nasi beriani dari resepi mak kami.






Tuesday, July 10, 2012

Rambut Baru Fatihah!

Fatihah dah potong rambut Jumaat lepas.  Kiranya ni kali kedua Fatihah potong rambut sejak dia dilahirkan 3 tahun lepas.















Rambut pendek yang lebih senang diurus.  Rambut Fatihah ni jenis lembut dan lurus.  Tapi agak mudah putus bila disikat.  Fatihah ni betul-betul garang dan agak berangin sikit.  Tu yang dahi berkerut tu.















Dalam apa 'pose' sekalipun, tetap dengan gaya 'peace'.  Mama sayang Fatihah.






Monday, July 2, 2012

Pertandingan Nasyid

Setelah 2 bulan berlatih 3 hari dalam seminggu.  Akhirnya, selesai sudah pertandingan nasyid yang disertai Khadija.  Pertandingan nasyid, khutbah, hafazan, bercerita dan pidato sempena Karnival Ria Pra Sekolah anjuran PASTI kawasan Kapar telah berlangsung pada hari Sabtu, 30 Jun 2012 bertempat di Sekolah Rendah Agama Sungai Udang, Klang.















Khadija sebenarnya tak suka pakai tudung ni.  Di rumah pelbagai helah Khadija berikan untuk tidak memakai tudung ni.  Kononnya tudung ni ketat.  Tu pun nasib baik dia tak bantah bila saya minta ustazah Sara bantu pakaikan Khadija tudung ni.  Kalau saya pakaikan ada sahaja helahnya untuk mengelak.















Muka Khadija masih masam sebab dipaksa pakai tudung ni.















Khadija cuma sebagai 'back up' je.  2 kawannya iaitu Awatif dan Natasya dipilih sebagai penyanyi utama.















Bersama ustazah Zafirah.















Dewan sekolah tempat pertandingan nasyid berlangsung.  Pertandingan pidato, hafazan, bercerita dan khutbah juga dijalankan pada waktu yang sama di dalam bilik yang lain.  Saya difahamkan program berlangsung sehingga ke malam yang mana diakhiri dengan sembang santai bertajuk "Anak Soleh Impian Ibu Bapa" bersama uztaz Zamri (program TV9 - Mari Mengaji) iaitu selepas solat Isyak.















Piala untuk pemenang.















Adik Fatihah yang banyak songeh.  Tak berhenti bercakap, sampaikan penat nak dilayan.















Kumpulan nasyid Khadija merupakan kumpulan ke-4 membuat persembahan dari 16 kumpulan nasyid lain yang bertanding.















Bersedia sebelum memulakan persembahan.  Kumpulan nasyid PASTI Darul Ulum II besederhana dalam berpakaian.  Berbeza dengan kumpulan nasyid lain yang tampil dengan pelbagai pakaian.















2 buah lagu yang dibawa iaitu nasyid Ombak Rindu dan Insya'Allah.















Bagi saya persembahan kumpulan ini baik, cumanya pada awal persembahan, penyanyi utama terlupa lirik. 















Seperti biasa, jika ada karnival pasti ada gerai jualan.















Ramai juga pengunjung ke tapak program ni.















Tempat letak kereta dipenuhi kenderaan sehingga ke luar pagar.















2 beradik yang tak nak balik.

Saya sebenarnya tidak tunggu sehingga ke semua kumpulan membuat persembahan.  Kami balik lebih awal dan saya dapat tahu, kumpulan nasyid dari PASTI Darul Ulum II mendapat tempat ke - 4.  Walaupun tidak menjadi juara, saya bangga Khadija terpilih untuk mewakili tadikanya kali ini.  Insya'Allah tahun hadapan Khadija dipilih untuk pertandingan lain pula sebab saya amat berminat dengan pidato seperti rancangan di TV1 (Adik-Adikku).






Wednesday, June 27, 2012

Tahniah Kakak Dija!

Syukur Alhamdulillah, Khadija dapat nombor 2 dari 21 orang pelajar dalam kelas Naim, di PASTI Darul Ulum II.  Pencapaian yang memberangsangkan bagi saya.  Peperiksaan yang pertama kali diduduki kerana walaupun Khadija dah mula ke PASTI tahun lepas, tapi tiada peperiksaan untuk pelajar usia 4 tahun.  Daripada 8 mata pelajaran, Khadija mendapat 7A (6 mata pelajaran 90% ke atas, 1 mata pelajaran 80%) dan 1B (76 %) untuk mata pelajaran peribadi muslim.

PASTI Darul Ulum II ni pelajarnya hampir 100 orang yang terdiri dari 4 kelas.  2 kelas untuk pelajar usia 5 tahun dan 2 kelas lagi untuk pelajar 6 tahun.  Cumanya saya tak pasti untuk semua pelajar usia 5 tahun, Khadija mendapat nombor berapa. 

Pencapaian Khadija buat masa ni bagi saya, Alhamdulillah kerana Khadija dah boleh mengeja dan membaca perkataan 2 suku kata.  Dari segi aktiviti ko-kurikulum pula, Khadija terpilih menganggotai kumpulan nasyid bagi mewakili PASTI baru-baru ini.  Kelakar juga saya tengok semasa latihan dijalankan, walaupun sebagai 'backup' sahaja, Khadija dilihat memberikan komitmen dan kerjasama kepada kumpulan tersebut kerana suara beliau yang paling kuat, nyaring dan bertenaga.  Tahniah Dija!



















Geram tengok aksi 2 beradik ni.



Sama je buat muka!















Adik Fatihah ni memang banyak songeh dan suka buat ragam sejak akhir-akhir ni.  Terutama waktu pagi.  Ada sahaja helah Fatihah untuk mengelak dari dihantar ke Taska.  Mama harap Fatihah pun akan menjadi seperti kakak bila dah ke tadika nanti.















Gambar kakak Dija yang diambil secara 'candid'.

Tujuan 'entry' mengenai nombor peperiksaan Khadija ni bukanlah untuk menunjuk-nunjuk atau berbangga diri.  Cuma untuk kenangan buat saya dan Khadija bila beliau dewasa nanti.  Semua ibu bapa inginkan anak mereka cemerlang dalam pendidikan, begitu juga harapan saya dan Hakim kerana semua anugerah Allah itu ada keistimewaan masing-masing. 

"Dija, andai kata Dija tak dapat nombor bawah daripada 3 pun, mama tetap berbangga dengan Dija dan mama harap Dija terus cemerlang di dunia dan akhirat".










Tuesday, June 26, 2012

Bacaan Yasin, Tahlil & Doa Selamat

Syukur Alhamdulillah, kenduri doa selamat, bacaan Yasin dan tahlil di rumah baru kami di Kampung Delek Kiri, Klang pada hari Ahad, 24 Jun 2012 berjalan lancar.  Kenduri meraikan rumah baru ni akhirnya dapat juga kami adakan walaupun agak lewat iaitu setelah hampir 8 bulan kami berpindah dari Kapar ke sini dalam majlis yang sederhana tetapi meriah dengan kehadiran adik-beradik, ipar-duai, keluarga terdekat dan jemaah surau.















Surah Yasin yang juga sebagai cenderahati kepada tetamu yang datang.















Tak berapa ramai jemaah surau kerana terdapat beberapa kenduri dalam kariah yang sama pada hari tersebut.



















Fatihah bergambar berlatar belakang lukisan kaligrafi yang saya tempah secara 'online'.















Baby Faris yang tembam.  Anak buah saya paling terbaru.




Di hadapan sekali ibu mertua dan ipar/biras.  















Kami 4 dari 5 beradik.  Kak lang Saleha (no. 3), saya @ kak ngah Shima (no. 2), kak Ti @ kakak sulung dan kak cik Nor (no.4).















Keluarga sebelah saya di ruang keluarga @  menonton.















Ipar dan biras @ family sebelah Hakim.  Terima kasih kak Dil @ biras pertama saya kerana telah men'sponsor' rojak buah.  Kuah rojak yang kak Dil buat memang best.
 



Khadija dan sepupunya.  Habis bersepah bilik Dija bila semua mainannya dikeluarkan oleh budak-budak ni.


Adik Fatihah yang 'moody'.  Buat hal, asyik merajuk.  Fatihah seringkali buat perangai bila terlalu ramai budak.


Bergambar dengan Nurdeen Sani dan Ain.















Sebahagian tetamu yang makan setelah selesai bacaan Yasin dan tahlil.  Sebahagian lagi masih berada di dalam rumah.















Menu utama kenduri ni nasi putih, ayam masak lemak, sambal udang + petai, ulam dan sambal belacan di'order'.  Tujuannya saya tak nak menyusahkan @ memenatkan keluarga kedua-dua belah pihak. 















Menu sampingan @ pencuci mulut boleh dikatakan semuanya di'sponsor'.  Saya cuma sediakan cheese tart dan bahulu gulung sahaja.















Jutaan terima kasih kepada yang sudi 'sponsor' -

Karipap dan agar-agar - Mak
Rojak buah - Kak Dil
Apam polkadot - Mak usu
Tauhu sumbat - Mak lang















Antara tetamu yang berada di khemah.  Sepupu saya Fiza sekeluarga dari Cyberjaya pun turut hadir. 















Tempat mencuci pinggan mangkuk.  Rajin betul budak-budak lelaki yang semuanya anak sedara Hakim mencuci pinggan.






Diakhiri dengan gambar tuan rumah @ saya.

Terima kasih kepada ahli keluarga yang hadir ke rumah baru kami.  Rata-rata memuji rumah kami cantik dan luas.  Syukur Alhamdulillah, semuanya rezeki daripadaNya.  Terima kasih mak, bapak, arwah atuk (Haji Hashim) dan arwah wan (Hajjah Mariam) kerana hasil usaha mereka, kami anak cucu dapat merasa peninggalan tanah pusaka ni.






Friday, June 15, 2012

Aktiviti Office

Kalau diikutkan kisah di office memang banyak tetapi saya jarang berkongsi cerita di blog ni.  Cuma kali ni sengaja saya pertontonkan disini.  Tujuan majlis makan ni diadakan adalah bersempena dengan birthday kami sendiri.















Kami di Bahagian Jawatankuasa, Jabatan Khidmat Pengurusan.  Kiranya kami ni di antara barisan hadapan yang terhampir dengan Tuan YDP, Timbalan YDP/Setiausaha dan Ketua-Ketua Jabatan di MPK ni.  Unit kami ni kecil sahaja dalam 12 orang kesemuanya yang mana tugas utama kami mengambil minit semua mesyuarat berkaitan Majlis, menjaga bos besar (YDP/Timbalan YDP) dan hal ehwal berkaitan Ahli Majlis. 















Juadah utama kami order iaitu spagheti, laksa sarawak, mushroom sup dan fruit cocktail.

Makanan sampingan lain yang kami bawa antaranya cream puff, apam polkadot, salad buah-buahan, nugget, puding laici (saya bawa) dan cucur udang.  Nampak macam sikit, tapi siap berlebih lagi sampaikan boleh tapau bawa balik walaupun kami makan berulang dari pagi sampai ke petang.

 














Kek ni kami order dari nazeha cupcake klang.















Kek pelangi menjadi pilihan kami. 















Memang berbaloi, sedap sangat dan berpatutan harganya.  Markah penuh saya bagi pada rasa kek ni.















Kami dengan kek cawan diletak nama masing-masing.















Oleh kerana majlis bersempena dengan hari jadi masing-masing.  Jadi kesemuanya akan mendapat hadiah.  Hadiah diperolehi secara cabutan nombor.















Nadiah orang yang bertuah dapat hadiah dari saya.

Aktiviti makan-makan ni memang best walaupun hanya di dalam ruang kerja kami tetapi memang best dan bermakna buat kami.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...