Nukilan Kisah Indah Dalam Hidup Kami

Wednesday, November 16, 2011

Kisah Adik



Dah lama saya tidak bercerita mengenai kakak Khadija dan adik Fatihah. Maklumlah sibuk dengan hal di rumah dan di tempat kerja telah membuatkan saya terlupa untuk merakamkan gambar aktiviti kami. Kalau diikutkan sepanjang tempoh kami menunggu rumah siap, boleh dikatakan hampir setiap hari kami makan di kedai. Kamera pula ada sahaja dibawa bersama di dalam 'handbag' tetapi disebabkan sibuk memikir 'progress' rumah membuatkan saya malas hendak merakam apatah lagi bercerita di dalam blog.

Kembali kepada entry saya kali ni iaitu khusus mengenai kisah perkembangan anak-anak.



Fatihah yang sudah hampir 2 tahun 3 bulan pada November ini. Masih bermasalah berat badan yang kurang. Manakan tidak, makan dan minum terlalu sedikit. Sehinggakan saya pernah menukar susu tepung Fatihah dari Anmum kepada Sustagen tapi beliau menolaknya. Kalau nak tahu, Fatihah ni masih menggunakan botol kecil. Kalau ditukar ke botol besar, memang membazir kerana takkan dihabiskan air susu tu lagi-lagi bila dah sejuk. Bukan tak diusahakan dengan vitamin penambah selera makan seperti appeton atau yang diambil dari klinik kesihatan, tetapi selera makan Fatihah masih sama. Sehinggakan saya ditegur oleh doktor di klinik kesihatan kerana berat badan Fatihah belum mencecah 9 kg, mujur ketinggiannya selari usia. Mungkin Fatihah ni ikut mama dia kot, cinonet je orangnya.



Perkembangan Fatihah pada usia sekarang ni -

1. Sangat suka dengan binatang terutama kucing. Gambar yang saya rakam ni adalah ketika Fatihah dengan anak kucing mak cin Ain nya. Anak kucing ni dibawa oleh sepupu saya, Ain dari rumahnya dengan diletak di dalam kotak. Fatihah bila dapat anak kucing ni, dibuatnya seperti anak patung je. Berbeza dengan si kakak Khadija yang memang penakut dengan kucing @ apa-apa haiwan semenjak peristiwa botol susu beliau dirampas monyet di Langkawi beberapa tahun lepas. Rupanya peristiwa tu meninggalkan kesan pada Khadija hingga ke hari ini.

2. Fatihah terlalu kuat merajuk. Kalau merajuk, dia akan berguling dan berbaring di lantai.

3. Suka menunjukkan riak muka yang spontan terutama bila marah yang mana kening beliau akan berkerut-kerut dan bulu kening yang lebat akan bercantum, kelakar kami melihatnya.

4. Cukup kuat bergaduh dan paling pandai memula dan mencetuskan pergaduhan dengan kakaknya. Apa yang saya boleh katakan Fatihah ni agak garang berbanding Khadija yang lembut dan 'friendly'.

5. Manja yang terlampau sampai saya naik rimas. Fatihah lebih manja dengan saya berbanding abahnya. Contoh paling senang, Fatihah akan menangis bila saya tiada di sebelah beliau bila terjaga dari tidur.

6. Masih menyusu badan. Kesukaan Fatihah ni sukar dihentikan serta-merta kerana saya agak simpati dan rasa kejam untuk menghentikan beliau menyusu. Bukan apa, dahlah Fatihah ni kurang suka makan, kalau tak menyusu lagi lah kesian dia. Tapi kesukaan Fatihah ni kadang-kadang buat saya tension. Manakan tidak, dah pandai bercakap. Kadang-kadang tak pandai nak 'cover', depan khalayak ramai, selamba je dia minta 'Mama, adik nak tetek'. Sekarang ni, pantang saya ada di depan mata, Fatihah mesti merengek nak bergayut atau kata lain yang orang suka guna 'mengempeng'. Memang 'tension' saya dibuatnya. Tapi tunggulah masa dan ketika yang sesuai, saya akan hentikan juga kesukaan Fatihah ni.

7. Pandai bercakap tetapi dengan butir kata yang masih pelat. Berbeza dengan Khadija yang dah petah bercakap pada usia ni.

8. Agak lambat sedikit perkembangan berbanding Fatihah yang pada usia ni dah kenal semua warna. Saya ada cuba mengajar, minta Fatihah ikut tapi dia buat 'derk' je. Mungkin faktor manja dan rasa dirinya 'adik' tu yang membuatkan dia rasa dia masih 'baby' bak kata dia.

9. Tak sabar bila minta sesuatu. Selagi tak dituruti, habislah terpaksa dengar rengekan beliau dengan aksi merajuk berguling-guling atas lantai.

10. Sifat yang paling bagus, agak pandai berkawan dan senang bila di bawa ke sesuatu majlis. Saya boleh tinggalkan dia main dengan kawan-kawan seusia dia tanpa mengganggu saya.

11. Akan menunjukkan satu jari dengan berkata 'peace' kononnya bila nampak saya nak merakam aksi beliau. Aksi begini memang sama dengan kakak Khadija semasa usia ni.



Kami cuba tukarkan panggilan Fatihah daripada 'adik' kepada 'kakak'. Tapi masih dibahasakan dirinya 'adik' bila bercakap dengan kami. Bukan apa, mungkin bila dipanggil 'kakak', seperti Khadija dulu, kurang sikit manja dan mengada-ngada dia tu.



Kakak dan adik bergambar di salah satu sudut dinding rumah baru kami. Punyalah lasak bermain 2 beradik ni, sampai berpeluh-peluh.

Walaupun perkembangan Fatihah agak lewat sedikit jika saya bandingkan hanya dengan kakaknya Khadija pada usia yang sama beberapa tahun lepas, saya tetap bersyukur kerana Fatihah sihat. Mungkin faktor manja dan merasakan dialah 'adik' yang membuatkan Fatihah tak nak mengikut apa yang kami ajar, tapi saya tahu Fatihah juga anak yang bijak.

Mama sayang Fatihah. Semoga Fatihah jadi anak yang solehah, diberi kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki, dipanjangkan usia, dipelihara kehidupan didunia, cemerlang akhlak & pendidikan di dunia dan akhirat. Amin.



Mama sayang kamu berdua.







0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...