Wednesday, May 23, 2012

Petua Merawat Penyakit

Saya cuba 'google' petua untuk mereda/menghilangkan gelgata @ kelopak garam yang sering menyerang Hakim tak kira masa.  Pelik juga kenapa berlaku gelgata ni.  Ada petua yang saya dapati dari salah satu blog adalah campuran bedak sejuk dan sarang angkut-angkut disapu pada tempat yang kena gelgata.  Boleh juga nanti saya minta Hakim cuba.  Dalam mencari petua tradisional ni, dapat juga saya beberapa petua merawat penyakit lain yang berguna.  Antara yang menarik perhatian saya adalah petua melegakan cirit-birit, menggemukkan anak yang kurus (sesuai diaplikasikan untuk Fatihah), selesema dan mudah bersalin.  

Disebabkan rasa petua-petua ni amat berguna untuk dijadikan rujukan, saya 'copy paste' untuk disimpan di blog ini.

Antara penyakit dan penawarnya :-

Merawat Lebam Akibat Tercedera
Tumbuk hingga halus bawang merah, bawang putih dan daun jambu batu mengikut sukatan yang tertentu. Setelah itu tempekkan pada bahagian yang lebam dan balutkan dengan kain yang bersih. Biarkan lebih kurang 2 jam.

Melegakan Cirit Birit
 
1. Jika anda mengalami cirit-birit untuk melegakan dengan cepat, ambil satu cawan teh O pekat kemudian diminum.
2. Hancurkan beberapa helai daun ketumbit hingga lumat. Tempelkan pada perut dan balutkan dengan kain
3. Kunyah daun jambu batu dan buah jambu batu yang masih muda dan kecil. Amalkan selagi anda mengalami cirit-birit.

Sukar Buang Air Besar

Kupas kentang lalu dihiris. Tempelkan hirisan tersebut pada bahagian pinggang dan dubur anda. Biarkan hingga warna kentang menjadi kelabu atau kering, berbeza dari warna asalnya.

Bayi Sukar Buang Air Besar

Ramas beberapa helai daun keledek. Ambil lendir tersebut dan sapukan pada perut bayi. Biarkan ia kering. Lakukan dua atau tiga kali sehari

Melegakan Sakit Akibat Terkepit

Parut kelapa muda campur dengan cuka makan. Balut pada tempat yang sakit. Ulangi beberapa kali. Sakit lebam tersebut akan berkurangan.

Melegakan Tekak Perit
Rendamkan sebiji buah kembang semangkuk dan rendamkan ke dalam sebuah mangkuk. Biarkan seketika. Kemudian minum airnya.

Menajamkan Penglihatan
1. Jika anda ingin menajamkan penglihatan, satu tindakan yang baik ialah dengan kerap memandang sesuatu yang hijau.
2. Salah satu petua ialah memandang wajah orang yang kita sayangi seperti wajah ibu, suami, anak-anak dan saudara sejenis dan elakkan memakan benda yang manis.
3. Bercelak ketika hendak tidur.
4. Kerap duduk mengadap kiblat.
5. Makan lobak putih selalu.

Bengkak Pipi Akibat Sakit Gigi
Tumbuk lumat segenggam daun bunga raya. Letakkan pada pipi yang bengkak. Biarkan sehingga sakit gigi lega.

Mencegah Penyakit Buasir
Melakukan senaman pada setiap pagi hari sebelum berjalan. Angkat kedua belah kaki anda ke atas dan kedua tangan anda di bawah punggung kedua-duanya. Kemudian tahan nafas ketika naik kaki ke atas dan lepaskan nafas ketika anda turunkan kaki. Kemudian ulangi tiga kali setiap hari. Mudah-mudahan sembuh.

Jika Terminum Racun
Minum air kelapa sebanyak yang boleh, kemudian segeralah dapatkan rawatan selanjutnya dari doktor.

Mengelakkan Kepedihan Ketika Mengupas Bawang
Mengupas bawang kadangkala memedihkan mata. Untuk mengelakkannya, rendamkan bawang tersebut terlebih dahulu. Kemudian barulah dikupas kulitnya.

Mengatasi Mual Ketika Mengandung
Jangan minum air lain setiap hari kecuali air suam.

Mengemukkan Anak-anak Yang Kurus
Jika anak anda kurus, cubalah rawatinya dengan memberi air beras yang mendidih. Amalkan memberi minuman ini selama seminggu.

Menghidap Barah Rahim
Untuk mengubati barah rahim, rebus dan minum air benalu teh yang tumbuh di dataran tinggi (750 meter dari aras laut). Amalkan selama tiga bulan.

Menghilangkan Rasa Gatal di Tekak
Perah tiga atau empat biji limau kasturi. Campurkan dengan sebiji garam jantan, minum tiga kali sehari.

Menghilangkan Angin
Caranya ialah dengan merebus buah mata kucing bersama halia dan gula melaka (ikut cita rasa anda). Apabila suam, minumlah airnya setiap hari. Lebih elok diminum selepas makan nasi.

Menghilangkan Kesan Gigitan Nyamuk
Bagi menghilangkan kesan daripada gigitan nyamuk dan menghilangkan gatal-gatal pada kulit, campurkan garam dan air, jangan biarkan garam itu terlarut. Kemudian sental garam tadi di bahagian yang kena gigitan. Selepas itu, anda tidak akan terasa gatal-gatal lagi dan kesan gigitan juga hilang.

Mengubati Kulit Terpercik Minyak Panas
1. Cara pertama : sapukan tempat tadi dengan minyak zaitun. Insya-allah kulit tidak akan melecur dan tidak akan meninggalkan kesan.
2. Parut beberapa biji bawang merah. Tampalkan pada bahagian yang terkena minyak panas. Kemudian dibalut dengan kain bersih. Biarkan beberapa hari barulah pembalut itu dibuka.
3. Masak lemak ayam dengan api yang sederhana. Sejukkan dan simpan dalam botol. Apabila terkena minyak panas, sapukan lemak tersebut.

Mengubati Senggugut
1. Minum air rebusan rumpun jarum emas atau rumput rempah padang atau rumput cengkih padang semasa kedatangan haid atau sebelumnya.
2. Tumbuk secekak daun cili padi, tujuh biji jintan manis hingga lumat. Campurkan dengan dua sudu besar air masak. Perah dan tapis. Amalkan meminumnya tiga kali sehari selama tiga hari.
3. Lenyek nasi sehingga lumat. Selepas itu campurkan dengan garam jantan atau garam biasa sehingga sekata. Gentelkan sebesar ibu jari dan embunkan semalaman. Makan pada pagi esoknya. Tidak perlu dikunyah. Lakukan selama tiga malam.
4. Campurkan sedikit gula melaka dengan air kelapa. Sewaktu didatangi haid, minum dua kali sehari dalam masa tiga hari.

Menyedapkan Suara
Jika suara anda mengalami gangguan, rawatilah dengan menyediakan secawan air pada waktu malam. Biarkan semalaman dan kemudian apabila bangun pagi, minum air tersebut tanpa perlu membasuh muka dahulu.

Merawat Hidung Berdarah
Layurkan sehelai daun sirih. Gulungkan menjadi kecil dan sumbatkan pada hidung yang berdarah. Pada waktu yang sama, ambillah ketulan ais lalu dibungkus ke dalam kain atau tuala. Kemudian letakkan di atas dahi.

Menyegarkan Badan
Mandi haid, selain dari mandi dengan air biasa, elok juga mandi dengan air yang telah diramas daun bidara untuk kesegaran badan. Caranya :

* Sebelum mandi, mestilah berwudhuk dengan sebaiknya.
* Sesudah mandi, sediakan perca kain atau kapas yang sudah diwangikan dengan minyak wangi atau kasturi.
* Lalu digosokkan di dinding kemaluan.

Merawat Luka
1. Kunyah daun rumput atau daun senduduk sehingga lumat. Kemudian tempekkan pada luka tersebut. Darah akan cepat berhenti dan tidak akan keluar lagi.
2. Parut anggaran 6 sm halia bersama sebiji bawang besar, dan campurkan dengan sedikit garam halus. Letakkan pada luka dan balutkan dengan kain bersih. Memang agak pedih sedikit tetapi hasilnya akan memuaskan.
3. Lap dahulu bahagian yang terluka dengan kain basah. Ambil sebatang kulit kayu manis dan tumbuk sehingga lumat. Campurkan setitik madu lebah. Sapukan pada bahagian yang luka.
4. Ramas segenggam daun turi. Setelah itu gosokkan pada bahagian yang luka. Lakukan beberapa kali sehingga kesan luka hilang.
5. Apabila luka akibat terkena pisau dan mengalami pendarahan yang lama, siramkan sedikit minyak tanah pada luka. Darah akan terhenti dan tidak akan terasa pedih lagi.

Cengkam Kuku Yang Bernanah
Gunting cili di bahagian hujung cili kering. Kemudian salaikan pada api dalam tempoh lebih kurang lima saat, jangan sampai hangus. Selepas itu titiskan minyak perlahan-lahan ke bahagian kuku yang bengkak. Anda akan terasa panas dan sakit sedikit, tetapi hanya sebentar dan akan kembali seperti sediakala.

Sakit Kuning
Hiris nipis-nipis sedikit rebung. Kemudian rebus sehingga mendidih. Amalkan meminum air rebusan tersebut. Ulangi sehingga sembuh.

Hindari Bayi Dari Penyakit Kuning
Kadangkala bayi yang bbaru dilahirkan kelihatan kekuningan. Rebus daun bunga raya dan daun sirih dengan air kelapa. Kemudian mandikan pada bayi.

Kanak -kanak Sesak Nafas
Siang belut seperti ikan dan digoreng tanpa dibuang kulitnya. Berikan pada kanak-kanak yang mengalami sesak nafas.

Sesak Nafas
Campurkan satu biji telur ayam kampung dengan satu sudu kecil serbuk kopi. Parut dua biji bawang merah. Campurkan semua bahan tadi dengan satu liter air, kemudian minum setiap pagi sebelum sarapan.

Berkudis
Cara untuk menyembuhkan anda yang berkudis ialah dengan menumbuk daun inai dan kemudian tempekkan pada luka atau kudis tersebut.

Senang Bersalin
Supaya mudah bersalin, telanlah sebiji telur ayam kampung mentah setiap pagi seminggu sebelum waktu untuk melahirkan anak.

Selesema
1. Ambil secawan air didihan beras (sewaktu mendidih). Biarkan suam barulah diminum. Amalkan selalu sehingga rasa gatal atau kering pada tekak itu sembuh.
2. Letakkan sedikit kapur sirih, dua titik minyak kayu putih di atas sehiris limau. Panggang dan perah airnya. Kemudian minum sekali sehari.
3. Selesema pada musin hujan atau panas terik boleh diubati dengan cara membasahkan ubun-ubun kepala. Ulangi beberapa kali.
4. Mandilah dengan air suam pada waktu petang dan elakkan mandi malam. Amalkan minum air halia seminggu sekali

Bayi Selesema
Sapukan sedikit minyak kelapa pada hidung bayi. Biarkan kering. Jika tidak sembuh, dapatkan rawatan selanjutnya dari pakar/doktor.

Bengkak Kaki Waktu Hamil
Bersihkan taugeh besar, buang semua batangnya.Rebus di dalam kuali. Masukkan satu gelas air ke dalamnya. Apabila telah suam, minum airnya. Ulangi sehingga bengkak tersebut surut.

Resdung
Hiris tiga biji bawang merah. Ambil dua helai daun sirih dan secubit biji sawi. Masukkan ke dalam bekas bersama air mendidih. Kemudian wapkan ke muka anda. Amalkan selalu.

Suami Ketagih Rokok
Bantu suami berhenti menghisap rokok dengan memberikan tasbih. Setiap kali tangannya gatal untuk menghisap rokok, zikir menjadi gantinya.

Menghapuskan Bulu Roma
Ramas pucuk daun cili padi dengan kapur barus. Sapukan seluruh tangan atau kaki yang ditumbuhi bulu roma. Biarkan ia kering seketika kemudian bilas dengan air bersih.

Gastrik
1. Parut satu inci kunyit hidup dan perahkan airnya. Kemudian campur dengan tiga sudu madu lebah dan satu biji telur ayam. Amalkan meminumnya dua kali seminggu. Anda akan rasa perbezaannya.
2. Parut dan perah kunyit tua sebesar ibu jari. Air perahan kunyit itu dicampur dengan kuning telur ayam kampung. Kacau sebati kemudian minum. Ulangi meminumnya beberapa hari dan anda akan terhindar dari sakit pedih ulu hati.
3. Campurkan buah tamar dengan sedikit susu kambing atau susu lembu asli yang segar. Kemudian minumnya dua kali sehari.

Batu Karang
Buang kulit sebiji kelapa muda (hijau). Kemudian bakar kulit ini selama 15 minit. Ambil air dan isinya dan bancuhkan dengan tiga biji telur ayam kampung kemudian di minum.

Bengkak-bengkak di Badan
Parut sepotong kunyit hidup, bubuh sedikit kapur sirih dan air. Panaskan di atas api dan biarkan sejuk. Setelah itu sapulah tempat yang bengkak dan gatal itu. Insya-Allah dalam masa 5 minit, ia akan sembuh.

Meredakan Demam Campak yang Menyerang Anak
1. Ramas segenggam daun Melur sehingga hancur bersama semangkuk air. Sapukan dari kepala sehingga ke hujung kaki anak anda. Ulangi dua hingga tiga kali dalam sehari.
2. Segera beri minum air kelapa yang muda.

Mengubati Kecacingan
Tumbuk beberapa potong pinang kering. Kemudian rendam dalam air panas. Campurkan dengan air panas. Minum setiap hari sehingga sembuh.

Cacing Kerawit
Kisar lobak merah dengan air masak. Kemudian tapis dan minum setiap hari

Kurang Darah Akibat Kemalangan
Tumbuk dua kerat lempoyang sebesar ibu jari, sedikit kunyit hidup dan sedikit gula merah. Rebus dengan tiga gelas air.

Telinga Dimasuki Serangga
1. Tutup hidung dan telinga yang tidak dimasuki semut. Hembuskan nafas sekuat-kuatnya sehingga serangga keluar.
2. Masukkan minyak kelapa pada telinga yang dimasuki semut.

Tercekik Tulang
Kepal-kepalkan nasi, kemudian terus telan. Jika tidak berkesan, dapatkan rawatan seterusnya di hospital.

Menggemukkan Binatang Peliharaan
Campurkan hampas kelapa dengan tahi ikan bilis kemudian berikan pada binatang peliharaan untuk dimakan. Ini akan mengemukkannya.

Melawas Kencing
1. Kisar dua potong nanas yang kurang masak dengan dua gelas air. Tapis dan minum dua kali sehari.
2. Rebus secekak daun pegaga. Tinggalkan sehingga menjadi dua gelas air. Minumlah sekali sehari.

Mengubati Gelgata
1. Layurkan beberapa helai daun sirih. Sapukan pada bahagian yang ditumbuhi gelgata.
2. Hancurkan beberapa helai daun kunyit. Kemudian sapukan pada bahagian yang terkena gelgata.

Segarkan Saraf
Rebus daun serai wangi, daun pandan dan daun nangka. Biarkan airnya kering sehingga menjadi satu cawan. Amalkan meminumnya seminggu sekali.

Lelah
1. Rebus beberapa biji bawang merah yang kecil sehingga lembut. Kisar dan tapis airnya. Minum seminggu sekali.
2. Rebus sehingga lembut beberapa biji bawang merah kecil. Kisar sehingga hancur. Tapis airnya. Amalkan meminumnya seminggu sekali.

Sakit Disengat Lebah
Tumbuk asam jawa dengan sedikit air. Tampalkan pada tempat yang disengat lebah. Jika tidak sembuh, dapatkan rawatan lanjut dari doktor.

Berkhatan Cepat Sembuh
Rebus beberapa helai daun jambu batu dalam periuk kecil. Biarkan sehingga mendidih. Campurkan dengan air sejuk dan basuh kemaluan dengan air itu.

Kejang Perut
Tumbuk beberapa helai daun betik. Perah airnya dan minum sekali sehari. Amalkan seminggu dua kali.

Penawar Kencing Manis
1. Cabut sebatang bunga matahari. Bersihkan dan potong kira-kira satu inci dari bahagian akarnya. Rebus sehingga airnya tinggal satu gelas sahaja. Tapis dan minum sekali seminggu.
2. Kisar beberapa helai daun mengkudu sehingga lumat. Rebus sehingga airnya tinggal kira-kira secawan. Minum tiga hari berturut-turut.

Petua Mengelakkan Barah
1. Minumlah air rendaman daun teh (hijau atau hitam, tetapi bukan herba) kerana ia mengandungi antioksidan. Ia boleh mencegah sel kanser daripada berkembang.
2. Makanlah tomato kerana ia penuh dengan vitamin C, yang boleh membantu mencegah kerosakan sel.
3. Makan kacang soya, kerana phytoestrogen di dalam kacang soya mungkin menolong melindungi daripada kanser payu dara dan prostat.
4. Makan sayur brokoli, kobis, dan bunga kobis kerana sayur-sayuran ini mengandungi bahan melawan kanser. Juga mengandungi pelbagai zat yang lain.
5. Campurkan halia dan bawang di dalam makanan kerana ia juga mengandungi bahan-bahan melawan kanser.
6. Jangan ketinggalan memakan oren, lemon dan lain-lain bauh sitrus yang mengandungi bahan-bahan meransang sel-sel kebal membunuh kanser. Mengandungi vitamin C yang banyak.
7. Jangan ketinggalan juga memakan anggur merah kerana ia mengandungi bahan yang menghalang pengeluaran enzim oleh badan yang digunakan oleh sel kanser.
8. Makan makanan tinggi serat seperti beras yang boleh menolong mengurangkan risiko beberapa jenis kanser.
9. Dapatkan omega - 3 asid lemak yang terdapat di dalam minyak ikan kerana ia membantu melawan kanser payu dara, prostat dan pankreas.
10. Juga dapatkan hasil tenusu rendah lemak yang boelh mengurangkan risiko kanser payu dara, bawah usus, prostat, rahim dan pankreas.

Sumber Laman Petua Nenek






0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...