Nukilan Kisah Indah Dalam Hidup Kami

Thursday, April 12, 2012

Wedding Umi Asilah dan Taman Layang-Layang, Selayang

31 Mac 2011, kami sekeluarga ke Laman Payung, Ampang bagi menghadiri majlis resepsi 'cousin' saya, Umi Asilah dan pasangannya Azril. Tahniah buat Pak Anjang sekeluarga di atas pertambahan ahli keluarga. Majlis berlangsung di padang yang dinamakan Laman Payung (bersebelahan restoran Bamboo). Tatarias khemah, hidangan dan pelamin memang 'sweet'. Ditambah pula pengantin perempuan yang 'cute'.



Kami sampai lambat, jam 2.30 petang. Pengantin pun dah selesai bersanding. Ahli keluarga lain dari Klang pun masa tu dah sibuk nak balik. Sebenarnya tiada satu pun gambar pengantin yang saya ambil. Boleh terlupa pada hal ada je bawa kamera. Mungkin sebab lapar sangat dan teruja dengan cupcake yang comel membuatkan saya terleka nak ambil gambar. Gambar pengantin yang ada ni pun saya ambil dari fb dia orang.

"Tahniah buat Umi dan Azril, kak shima doakan semoga kalian dikurniakan zuriat yang solehah dan kekal bahagia hingga ke syurga. Amin".

Oleh kerana kami tiada 'planning' lain pada hari tersebut, sebelum balik kami singgah ke Taman Layang-Layang Selayang. Kononnya nak tengok orang main layang-layang di sana.



Sampai je kat situ, tempat nilah yang dituju oleh Khadija dan Fatihah. Lama juga kat area 'playground' ni. Sampaikan jenuh saya mencari helah nak mereka berdua beralih ke tempat lain.



Berbuaian pulak. Abah @ Hakim yang sangat rajin melayan kerenah anak-anak. Ni yang buat mama sayang 'extra' kat abah ni.



Sukanya Fatihah. Nampah gigi depan yang dah banyak rosak. Bercerita pasal gigi ni, Fatihah giginya menurut mak saya, gigi kapur. Rapuh dan terhakis dengan sendiri. Mungkin juga faktor kurang kalsium kot.



Si kakak Dija yang semakin cerewet dalam berpakaian. Konon tak nak baju seksi. Skirt atau gaun paras lutut sekarang ni semua dah tak nak pakai dan telah dipindah milik kepada adiknya si Fatihah.



Dah puas kat 'playground', beralih pula ke padang layang-layang. Kami beli layang-layang paling murah, RM4.00. Janji ada.



Abah yang sabar mencuba untuk menaikkan layang-layang.



Sebenarnya adik Fatihah pun sibuk nak minta kami belikan dia layang-layang juga. Tapi saya tak layan, main sekejap je nanti dah boring. Sebelum ni, kalau ke Pantai Remis, Kuala Selangor dah berkali-kali kami belikan mereka layang-layang tapi akhirnya dibiarkan sehingga rosak.



Akhirnya layang-layang terbang juga. Tak terlalu tinggi dan rendah. Khadija dan Fatihah berebut nak control tali layang-layang.

Sebagai ibubapa, semasa mereka masih kecil nilah kita jangan lepaskan peluang bersama-sama mereka. Hargailah detik bersama mereka kerana apabila mereka semakin meningkat dewasa mereka akan semakin menjauh dari kita dan semasa itu, kita pasti rindukan saat-saat seperti ini.






Tuesday, April 10, 2012

Explorace Famili Riang Ria Selat Klang

1 April 2012, kami sekeluarga menyertai explorace anjuran Tadika Selat Klang. Setiap keluarga yang menyertai explorace mesti terdiri daripada ibu, bapa dan seorang anak berumur 4 hingga 6 tahun (bersekolah tadika di mana-mana tadika di dalam DUN Selat Klang). Kalau nak tahu, ni kali pertama saya sertai explorace berkereta seperti ni. Seronok rupa-rupanya program explorace ni di mana selain menguji minda, kepantasan, kesabaran dan stamina, banyak manfaat yang kami perolehi daripada program ni.



Program bermula pada jam 8.00 pagi di Taman Pengkalan Batu. Selepas pendaftaran, kami diminta oleh urusetia program untuk mencari kumpulan. Setiap satu kereta terdiri daripada 2 keluarga yang dikira mewakili satu kumpulan. Tujuannya adalah untuk mengeratkan silaturrahim dan kerjasama antara keluarga. Family kami bergabung dengan family Encik Zanzan dan Puan Juriah. Anak mereka Syafiqa memang dah kami kenali sebab kawan Khadija di PASTI.



Urusetia program sedang memberi penerangan.



Sebelum program mula, kami diminta meregangkan otot dengan senaman ringan. Boleh dikatakan rata-rata peserta memakai baju hijau kerana menurut iklan program, ada markah lebih untuk family yang memakai baju warna hijau.

Kami perlu melengkapkan tugasan dan ke semua lokasi sebelum pukul 12.00 tengahari. Antara lokasinya :-

1. Bermula - Taman Pengkalan Batu
2. Pejabat DUN Selat Klang (isi borang TAWAS)
3. Pejabat JKK Kampung Delek (dapatkan tandatangan ketua kampung)
4. Rumah Ketua Kg Delek (dapatkan cop ketua kampung)
5. Masjid Al-Amin Kampung Delek (ayah kena buat silangkata, ibu kena ajar anak ambil wuduk)
6. Pasaraya Econmart (kena beli barang dalam bajet RM3.45)
7. Tanah Perkuburan Islam Selat Klang (ayah kena ajar anak baca surah al-fatihah di kubur, ibu tulis surat wasiat)
8. Rumah Mak Cik Wati
9. Stesen Komuter Telok Gadong (ayah tunggu kat stesen komuter Klang, ibu dan anak kena naik komuter sampai ke stesen Klang)
10. Stadium Sultan Suleiman (kena sampai sebelum pukul 12.00 tengahari)

Alhamdulillah, kami antara yang terawal sampai ke setiap 'check point'. Kalau diikutkan pada permulaan, kami antara top 3, mungkin dah tertulis bukan rezeki kami, beberapa peserta lain yang sampai awal juga dilihat tewas. Mengikut kajian kami sendiri antara faktornya adalah surat wasiat yang ringkas dan tidak menyentuh perasaan juri. Yang sampai lambat dan lebih pukul 12.00 tengahari, rata-ratanya mendapat tempat di antara nombor 1 dan 5 hadiah saguhati. Punyalah kecewa, mana taknya hadiah semua wang tunai. Tempat pertama, RM2,000.00 untuk satu kumpulan.



Di stadium sambil menunggu kumpulan lain sampai. Fatihah pun turut serta explorace bersama-sama kami.



Kakak Dija yang tak tahu duduk diam. Awal pagi bertudung, sampai je 'check point' 2 dah tanggal tudung.



Yang kat belakang saya, bertudung hitam tulah Kak Jue.



Sebelum acara penyampaian hadiah kepada pemenang, sedikit kata-kata ucapan daripada ADUN Selat Klang yang juga selaku EXCO Pendidikan, Y.B. Puan Dr. Halimah binti Ali.

Walaupun kecewa, tapi kami akur dengan keputusan. Next time kalau ada lagi explorace seperti ni, kami takkan lepaskan peluang untuk turut serta.






Perkembangan Anak-Anak Mama

Dah lama rasanya saya tak 'update' pasal anak-anak. Bukannya malas tapi disebabkan kekangan masa dan tugasan telah membataskan saya untuk mengemaskini blog ni. Ditambah pula tu dengan masalah kamera. Kamera kami yang berusia sebaya Khadija (5 tahun) tu nampak gayanya kena 'upgrade' atau beli baru sebab tempat penutup bateri tu dah pecah dengan sendirinya dan tak boleh ditutup lagi tanpa ikatan getah. Tu yang buat saya segan nak tayang kamera saya tu di khalayak ramai. Mana taknya bila saya tengok rata-rata dah pakai DSLR atau iPad. Saya je masih ketinggalan dan besederhana. Ambil gambar guna kamera bagi saya lebih puas berbanding handphone yang agak terhad serba-serbinya.

Kembali ke cerita mengenai Khadija dan Fatihah. Saya mulakan dengan cerita si adik Fatihah yang saya lihat semakin lancar tutur katanya di dalam usia 2 tahun 8 bulan. Boleh mengira 1 hingga 10 dalam bahasa melayu dan inggeris. Boleh membaca doa makan dan doa tidur. Dah pandai berzikir, mengenal iqra' tapi masih basic lagi (a, ba, ta), amat peka dengan lagu dan yang paling ketara dah bertambah selera makan yang mana ayat yang sentiasa keluar dari mulut Fatihah bila di rumah, 'Adik lapar'. Memang ada kemajuan saya lihat Fatihah sejak dihantar ke Taska ni. Cumanya Fatihah ni masih pakai diaper pada usia ni berbanding Khadija dulu yang dah tak pakai diaper pada usia kalau tak silap saya 2 tahun 5 bulan.



Masa saya rakam gambar ni, Fatihah tengah 'excited' pakai t-shirt baru. T-shirt tu free dari pembelian pek drypers.



Berlatar belakang halaman rumah baru kami yang amat luas.



Gambar Fatihah yang suka tersentap/merajuk. Garang Fatihah ni. Kalau marah siap berkerut-kerut kening tebal dia tu. Tapi 'cute'.



Merajuk sebab tak dapat apa yang dia nak. Ni semua kerja kakak Dija la ni.

Bulan Februari, Fatihah kalau tak silap saya 2 kali kena demam. Demam pula lebih 3 hari tak baik-baik. Rupa-rupanya baru tahu, Fatihah ada tonsil, patutlah bila demam je tak nak langsung minum atau makan pasal tonsil dia membengkak. Saya amat perasan, bila tonsil dia bengkak tapi tak demam, dia akan tidur berdengkur. Risau juga kami. Sekarang ni saya amalkan bagi Fatihah minum air zam-zam yang kebetulan banyak stok di rumah mak sebab kakak saya sekeluarga baru balik dari Umrah baru-baru ni. Alhamdulillah, nampak juga ok, sebab dah lama tak demam.



Konon-konon la tu, kakak Dija main gitar. Adik pula nyanyi. Fatihah ni kalau nyanyi, jari telunjuk tu mesti tegak sebab jadi mikrofon. Lagu kegemaran adik pula lagu nyanyian Dadali - Di Saat Aku Mencintai Dirimu.



Cerita mengenai kakak pula. Kakak Dija ni sekarang makin menjadi-jadi kerenahnya. Mana taknya dah semakin dewasa. Waktu pagi paling saya tak tahan. Khadija ni tiada masalah ke sekolah. Memang dia suka bersekolah sebab dia suka berkawan. Cumanya sikap cerewet dia tu yang buat saya rasa seperti di'uji'. Mujur abahnya Hakim banyak memahami dan bersikap 'cool' serta sabar melayan Dija tiap-tiap pagi. Antara kerenah Dija ialah memilih beg sekolah, kalau boleh tiap-tiap hari nak tukar beg sekolah. Nasib baik dia ada 3 koleksi beg sekolah. Tak nak pakai baju dan tudung baru. Yang dipakainya baju PASTI tahun lepas. Punyalah lusuh dan comot. Botol air pun jadi masalah buat Dija yang mana kalau boleh tiap hari nak bertukar-tukar botol air. Yang buat saya bengang kadang-kadang nak guna botol mineral bawa air ke sekolah.



Tapi Khadija ni dah boleh diharap, antaranya siram pokok bunga dan basuh kasut sekolah sendiri. Walaupun tak berapa bersih tapi ada usaha jugakan?



Gambar Dija yang dirakam Hakim. Masa ni menangis buat hal sebab tak nak pakai tudung ni pergi PASTI.

Sebagai mama dan orang terapat dengan Khadija, saya lihat Khadija ni tak boleh paksa dalam apa keadaan sekali pun. Dia akan buat dengan sendirinya kalau kami tak paksa. Pujian saya pula, Khadija ni amat dekat dengan buku dan pensil. Ada je benda yang ditulisnya walaupun tak berapa betul lagi. Saya harap minat Dija terhadap buku ni berterusanlah hendaknya.






Tuesday, April 3, 2012

Paramotor di International Hot Air Balloon, Putrajaya

Cerita mengenai kami ke Putrajaya ni adalah pada penghujung cuti sekolah Mac lepas. Kami ke sana pun sebab Hakim menyertai pertunjukan paramotor di International Hot Air Balloon.



Kami sampai pada awal pagi. Hakim bawa kami bukan ke tapak program tetapi di satu kawasan lapang berhampiran yang mana semua peserta yang mengambil bahagian di dalam pertunjukan paramotor berkumpul di situ.

Khadija dan Fatihah yang 'excited' melihat hot balloon yang dilepaskan ke udara.



Dari kejauhan melihat hot balloon.



Hakim sedang bersedia untuk terbang.



Mula terbang di udara.



Paramotor Hakim semakin tinggi di udara.



Bersama beberapa paramotor lain.



Khadija dan Fatihah dapat kawan. Dah lumrah alam, mana ada bunga di situ ada kumbang. Macam tulah 2 budak lelaki ni. Ayah dia orang sedang buat pertunjukan udara, dia orang sibuk nak main dengan Khadija dan Fatihah. Kalau tak silap nama dia orang Akif dan Adib.



Selesai pertunjukan, kami ke tapak program. Memang ramai sangat orang di tapak program sampaikan nak jalan pun susah.



Perkhidmatan hot balloon untuk orang ramai.



Sebelum balik bergambar berhampiran hot balloon.

Thursday, March 22, 2012

Jalan-Jalan Di Kuala Lumpur (Zoo Negara, Menara KL & SOGO)

Memang padat program kami hari Ahad cuti sekolah baru-baru ni. Selepas mengikuti program ceramah Ustaz Don di Kampung Raja Uda, kami terus ke KL. Jalan-jalan ke KL ni memang dah di plan awal oleh saya, kononnya sempena cuti sekolah nak bawa Khadija jalan-jalan. Padahal, Khadija tak pernah pun 'request' dari kami.

Lokasi pertama yang kami tuju adalah Zoo Negara. Sampai di zoo lebih kurang dalam pukul 11.30 pagi. Bayaran masuk untuk dewasa RM20.00 seorang, manakala kanak-kanak RM6.00 seorang.



Berlatar belakangkan Penguin (dalam ruang kaca).



Masa ni kami naik tram. Naik tram dikenakan bayaran lain. Kalau tak silap saya, dalam RM2.00 seorang mungkin.



Budak berdua ni kurang 'excited' dengan binatang kat zoo ni terutama si Khadija. Fatihah pula disebabkan terikut-ikut dengan gelagat kakaknya, dia pun jadi penakut dengan binatang.



Susah betul sekarang nak ambil gambar mereka berdua sebab tak nak 'pose' elok-elok.



Abah yang prihatin dan sabar melayan kerenah anak-anak. Terima kasih abah.



Berhenti makan burger dan air yang dibeli di salah satu gerai yang menjual makanan di dalam kawasan zoo. Mahal betul. Tak padan dengan harga. Boleh dikatakan harga untuk burger kosong dan air dalam cawan kecil berganda dari harga yang dijual di luar.



Hasil gambar yang dirakam Khadija.



Seterusnya, saya ajak Hakim ke Sogo. Memujuk berkali-kali kononnya ada jualan murah baju kanak-kanak di sana. Tapi sebelum ke Sogo, kami di bawa dulu ke Menara KL. Sebenarnya ini merupakan kali pertama kami ke Menara KL ni. Saya tak 'excited' langsung sebab dalam kepala asyik dok fikir nak ke Sogo. Hakim yang beria nak ke sana. Katanya nak merasa naik Menara KL ni.



Kami tak jadi pun naik Menara KL ni. Caj untuk seorang agak mahal. Lari bajet.



Tak dapat naik menara, berjalan-jalan meninjau sekitar bangunan menara. Banyak juga lokasi yang menarik untuk bergambar.



Khadija bergambar di rumah kampung kat menara tersebut.

Akhirnya, lebih kurang hampir pukul 4.00 petang baru kami tiba di Sogo. Apa lagi terus makan dulu di McD. Disebabkan suasana dalam Sogo agak padat dengan umat manusia. Hakim bersetuju untuk menunggu saya di McD dan menjaga anak-anak, manakala saya meneruskan agenda mencari mana-mana baju yang berkenaan. Mujur takde yang berkenan di mata dan ditambah pula dengan harga selepas diskaun masih tak masuk dek akal, maka tak ada satu pun yang dibeli hari tersebut.

Puas juga berjalan di KL selama sehari. Tapi masih rasa 'tertinggal' sesuatu. Jalan TAR....... tak sempat dikunjungi. Insya'allah, lepas ni nak pujuk Hakim lagi bawa saya ke Sogo dan Jalan TAR sekali lagi.

"Hehehe, abah...... bukan mama tak boleh 'drive' sendiri ke sana, pergi dengan abah best, lagi-lagi part jaga anak-anak".







Monday, March 19, 2012

Pagi Ahad Bersama Ustaz Don

Menghadiri majlis ilmu atau ceramah agama seperti ini kalau boleh saya tak nak terlepas langsung yang mana kalau bukan di kaca televisyen atau di tempat bekerja, saya pasti cuba meluangkan masa. Tambahan pula minat saya ni dipupuk bersama Hakim. Alhamdulillah, saya dapat suami yang sukakan program keagamaan seperti ini. Sesuai dengan fitrah manusia yang sentiasa alpa dan leka, makanya dengan majlis ilmu seperti ini selain dapat menambah ilmu dan memperbaiki amalan, tetapi juga sebagai makanan 'rohani', ingatan serta terapi kepada minda kita.

Ustaz Don yang mula dikenali masyarakat sejak akhir-akhir ni disebabkan cara penyampaiannya yang berkesan, mudah difahami di rancangan '30 Minit Ustaz Don' di TV Al-Hijrah beserta dengan karakter yang saya lihat amat merendah diri, menambahkan lagi minat penonton yang bukan sahaja dewasa malahan anak kecil seperti Fatihah pun 'admirer' dengan Ustaz Don. Hasil daripada carian saya di google internet, Ustaz Don dilahirkan pada tahun 1984, berasal dari Pulau Pinang, pemegang Ijazah Sarjana Muda Takhassus Qiraat dari Maahad Qiraat Shoubra, Mesir. Muda lagi Ustaz Don ni rupanya.



Bertempat di Kampung Raja Uda, Klang pada pagi Ahad, seawal jam 8.00 pagi kami dah ke sana untuk mendengar ceramah Ustaz Don. Ramai juga yang membanjiri kawasan ni sehinggakan JKKK terpaksa menambah khemah memandangkan cuaca pagi tu walaupun cerah tetapi agak panas terik. Begitu hebat penangan Ustaz Don ni kerana saya lihat penonton yang datang terdiri daripada pelbagai golongan umur tetapi rata-ratanya wanita.



Oleh kerana kami tiba awal di lokasi, kami 'breakfast' dulu di salah satu gerai di tapak ceramah tersebut.



Pelbagai aksi 3 beranak. Mood Fatihah ok sebab dia tak sabar nak tengok Ustaz Don. Si kakak Khadija agak 'moody' pagi tu bila mana saya dan Hakim tak endahkan permintaan beliau.

Disebabkan Ustaz Don idola anak kecil saya, Fatihah. Memang mudah nak kejut Fatihah awal pagi. Buka sahaja TV Al-Hijrah untuk siaran ulangan ' 30 Minit Ustaz Don' pada jam 6.30 pagi, terus Fatihah bangun.



Disebabkan bawah khemah dah penuh, kami tarik kerusi ke bahagian belakang. Hakim pula ambil payung bersaiz besar yang ada di dalam bonet kereta bagi melindungi kami dari panahan terik cahaya matahari.



Akhirnya pada jam 9.30 pagi baru Ustaz Don sampai. Memang jelas dilihat dari kejauhan oleh mata kasar saya, air muka Ustaz Don ni bersih dan cerah juga orangnya. Amat berbudi bahasa, menjaga tutur kata dan sentiasa merendah diri serta memohon maaf di sepanjang ceramah yang disampaikan. Memang best, banyak ilmu dan tips yang disampaikan. Amat berkesan di hati saya. Mudah-mudahan juga dengan membawa Khadija dan Fatihah ke majlis ilmu seperti ini, mereka akan dilembut dan diterangkan hati untuk senang menerima ilmu agama.

Azam, cita-cita, impian dan tekad saya, Insya'Allah jika dikurniakan Allah kepada kami anak lelaki selepas ini, saya berhasrat untuk menjadikan beliau tahfiz Al-Quran. Amin.






Thursday, March 1, 2012

Jigsaw Puzzle

Gambar yang saya rakam semasa Khadija berjaya menyelesaikan jigsaw puzzle KFC gambar chicky & friends. Boleh dikatakan 70% Dija buat dan yang selebihnya diselesaikan bersama-sama abahnya.



Selagi tak disiapkan selagi tulah si Khadija bising. Sekarang dia memang suka bermain dengan jigsaw puzzle. Kiranya ni jigsaw puzzle yang entah ke berapa yang dia main. Sebelum ni cuma jigsaw puzzle yang sedikit dan senang. Yang ni 'complicated' sikit bagi saya untuk budak sebaya Dija.



Jigsaw puzzle set chicky meal ni kalau tak silap mak cik nor yang bagi. Tak ingat dah berapa lama saya simpan yang pasti masa tu Khadija kecil lagi mungkin belum 2 tahun.



Geram betul tengok muka Fatihah yang 'cute' ni.

Kenangan saya dengan jigsaw puzzle masa kecil dulu memang ada. Kalau tak silap saya, saya dan kakak sering bermain menyusun jigsaw puzzle dengan mak usu kami. Antara gambar yang saya ingat gambar kartun mickey mouse & friends. Berkali-kali kami selesaikan jigsaw puzzle tu. Ada satu jigsaw puzzle gambar bunga matahari pula, adik saya, Saleha siap frame dan gantungkan di dinding.

Bagi saya dan Hakim, permainan jigsaw puzzle ni dapat menajamkan mata dan mengasah minda tapi yang paling utama perlu fokus bagi mencari sambungan gambar. Dan kami memang galakkan Khadija main permainan yang fokus seperti ini daripada asyik bermain game di komputer.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...