Nukilan Kisah Indah Dalam Hidup Kami

Sunday, November 24, 2013

Nasi Arab @ Marakesh Restaurant

Sekali-sekala bertukar menu daripada restoran makanan segera atau restoran tom yam, kami sepakat memilih restoran nasi arab @ Marakesh Restaurant di Tingkat 1, Harbour Place Mall.


















Abah Hakim pilih 'Family Set Chicken' untuk 4 orang.  Bolehlah bagi saya, dengan harga untuk set ini RM49.00 dan selepas dicampur 'servis charge' berjumlah RM52.40.  Ada nasi, sejag 'ice lemon tea' dan 4 ketul manisan arab.  Nampak je macam sikit, tapi jenuh juga nak habiskan. 


















Hiasan dalaman restoran yang berkonsepkan Arabian.

















Makan tengahari disini bagi meraikan 'birthday' cinta hati saya.

















Penyeri hidup kami.


Bersama sepupu mereka, Aqilah.


Masa makanan belum sampai, Fatihah merungut "Kenapa makan kat sini, tak best, KFC lagi best".  Tapi bila dah rasa nasi arab, terus memuji sedap.  Sampai bertambah-tambah makan.



Di restoran ni, semua pekerja termasuk 'Chef' yang saya lihat memang orang Arab.  Lagu dan muzik yang dimainkan secara 'live' juga merupakan lagu-lagu Arab.  Sepatah pun kami tak faham.


Aqilah dan Dija bergambar di hadapan pemuzik Arab tersebut.  Di bahagian balkoni restoran, ada sambutan hari jadi.  Kalau tak silap majlis hari jadi budak umur setahun.  Majlis bertemakan Arabian, memang agak 'grand' saya lihat, tetamu yang datang siap pakai baju ikut tema.


Fatihah yang nak buat gaya spontan, melompat-lompat masa ni.

Kedudukan restoran di agak terlindung sedikit iaitu di bahagian hujung tingkat 1.  Bagi saya dan abah Hakim yang sukakan suasana 'privacy' dan tenang, restoran ni memang menepati kehendak kami pada hari tersebut. Penilaian saya mengenai restoran ini, bolehlah ulang lagi makan disini kalau teringin dengan makanan negara timur tengah.






Thursday, November 21, 2013

Dia Yang Istimewa

Terima kasih Allah kerana melengkapkan kehidupan saya dengan anugerah yang paling berharga iaitu suami yang menjadi tempat berkongsi segala suka dan duka. 

















16 November bertambah lagi usia abah Hakim.  Meraikannya dengan cara paling sederhana sebagai tanda menghargai antara satu sama lain.   

















Tanpa kalian bertiga 'especially' abah Hakim, tidaklah tercipta blog ini.  Kalianlah yang mengisi setiap detik hidup mama dengan warna-warni seindah pelangi.  Siapa mama pada hari ini adalah kerana adanya kamu bertiga.  Sungguh sempurna anugerah Allah buat mama.  Alhamdulillah.  Semoga Allah berikan yang terbaik dalam kehidupan buat insan-insan istimewa di hati mama ini.  Amin.



Mama sayang kamu!


Bersyukur dengan 'cinta' yang dikurniakan ini.  Semoga kekal abadi hingga ke syurga.






Sunday, November 17, 2013

Teratak Kecil Kami

Nak bina gazebo @ pondok panggilan Khadija dan Fatihah ni memang salah satu daripada senarai impian saya tahun 2013 ni.  Syukur Alhamdulillah, Allah murahkan rezeki kami dan permudahkannya. 

Beberapa bulan juga kami 'survey' harga gazebo yang kena dengan bajet kami.  Kalau diikutkan hasrat abah Hakim memang nak buat sendiri, dapat jimat separuh daripada harga beli.  Tapi disebabkan kekangan masa dan tenaga, tambahan pula Khadija dan Fatihah yang dah tak sabar bertanyakan pondok mereka, akhirnya terus sahaja kami buat tempahan di Showroom Seri Laman yang terletak di Puncak Alam.

















Kami beli gazebo 'display set' yang sediada di 'showroom'.  Harga dan rekabentuk serta keluasan 6' x 6' sungguh menepati kehendak kami.  

















Gazebo yang menjadi impian saya untuk dijadikan tempat kami bersantai sekeluarga, tempat Khadija dan Fatihah main masak-masak dan ulangkaji pelajaran.  Sambil minum petang dapatlah kami berbual panjang, bergurau senda sambil bermain congkak, dam aji atau sahibba nanti. 

















Pondok buat kamu berdua.  Dengan harapan, biarlah rumah menjadi tempat pertama paling seronok buat kita sekeluarga.  


Setiap hari celik je mata, tempat pertama yang dituju pondok nilah.

















Dalam tempoh seminggu pondok sampai, Khadija dan Fatihah belum sempat main sepuas-puasnya disini disebabkan keadaan cuaca tak menentu, hujan samada pagi atau petang.

















Baru semalam petang, mereka berdua dapat bermain di sini dengan sepupu mereka dari Bukit Kerayong, Jeram iaitu Aqilah Humaira.

















Aqilah yang ikut kami balik atas ajakan Khadija.  Biarlah mereka bermain bagi mengisi waktu cuti sekolah mereka daripada asyik menonton televisyen atau 'Youtube'.


















Celik je mata, sambung main di pondok lagi.

Mama dan abah suka bila lihat kamu berdua 'happy', main dan belajar sama-sama di pondok ni.

Apa yang boleh mama katakan, biarlah rumah kita menjadi tempat paling tenang dan 'syurga' di dunia buat kita.






Sunday, November 10, 2013

Majlis Konvokesyen PASTI Darul Ulum II

Syukur Alhamdulillah, tamat sudah Khadija melalui pendidikan awal beliau di PASTI Darul Ulum II.  

















Majlis konvokesyen pertama buat Khadija.  Insya'Allah, konvokesyen yang seterusnya menyusul lagi buat amanah kami, Khadija.

Majlis yang diadakan bersederhana di Dewan Putra, Kampung Delek Kanan.  Walaupun begitu ianya tetap meriah.  

















Perarakan masuk bakal graduan 6 tahun.

Khadija kelihatan paling tinggi di antara kawan-kawan lain.  Mana taknya, pakai kasut bertumit tinggi. Punyalah saya berpesan banyak kali supaya dia jalan berhati-hati dan jangan berlari.  Risau kalau terjatuh. Kasut tumit tinggi putih yang merupakan kasut raya tahun lepas.  Fesyen tudung pula, atas permintaan Khadija sendiri, nak pakai tudung bawal empat segi macam mama.



Piala @ anugerah pertama buat Dija.  'Surprised' buat kami kerana Khadija telah mendapat 5 anugerah. Sangat bersyukur di atas kurniaan dariNya.  



Anugerah kedua - Pelajar Tunas Harapan PASTI Darul Ulum II.



Mama dan abah turut diminta naik ke pentas untuk bergambar bersama.  Masa ni, hanya Allah yang tahu perasaan saya.  Seperti saya pula yang menerima anugerah, berbaur rasa ketika ini.  Apa yang pasti mama dan abah bangga dengan kamu, Khadija.

Anugerah ini khas untuk pelajar 6 tahun.  2 anugerah diberikan iaitu Pelajar Cemerlang dan Pelajar Tunas Harapan.  Khadija salah seorang daripadanya.



Hadiah @ anugerah ketiga - Pelajar Terbaik untuk tempat pertama kelas Impian Firdaus.


Tempat pertama - Dija
Kedua - Awatif
Ketiga - Fatihah

Mereka berdua ni memang kawan rapat Dija di PASTI.


We are so proud of you, Khadija.  


Anugerah keempat - Anugerah Khidmat Setia yang mana diberikan kepada Dija kerana telah 3 tahun bersama-sama PASTI iaitu semenjak usia 4 tahun lagi. 



Anugerah kelima - Anugerah Mumtaz yang ditauliahkan untuk peratusan keseluruhan 9 mata pelajaran di PASTI.  

Untuk makluman, sistem pembelajaran dan peperiksaan di PASTI adalah selaras di setiap negeri.  9 mata pelajaran yang diajar dan dinilai iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Bahasa Arab, Al-Quran, Pendidikan Sosial & Pembangunan Insan, Jawi, Peribadi Muslim dan Kreativi.  Apa yang saya lihat, pembelajaran adalah mengikut 'standard' pelajar sekolah rendah tahun 1.

Terbaik bagi saya sistem pembelajaran di PASTI ini.  Pesanan saya buat ibubapa yang masih tercari-cari pendidikan awal anak, bolehlah memilih untuk dimasukkan di PASTI.  Tiada yang kurang disini bagi saya.

















Persembahan oleh Khadija dan kawan-kawan sekelas iaitu pantun guru.


Sistem siaraya yang tak berapa ok, suara mereka kurang kedengaran walaupun saya duduk di kerusi barisan paling hadapan.  Apa pun, persembahan Khadija lah yang terbaik bagi mama.

















Persembahan penutup secara beramai-ramai.  Lagu perpisahan untuk guru @ ustazah yang telah mendidik mereka.























Bergambar kenangan dengan ustazah Surapiza yang mengajar Khadija semasa usia 4 dan 5 tahun.  Terima kasih ustazah, jasa ustazah takkan kami lupa.



Guru yang bakal dirindui oleh Khadija dan kawan-kawan nanti iaitu ustazah Zabariah, guru mengajar Khadija di usia 6 tahun ini.  Seorang guru yang nampak tegas tetapi lembut orangnya.  Ustazah Zabariah ni bagi saya seperti kawan dengan Khadija kerana setiap hari tak lekang dari bibir menyebut nama ustazah dengan kami. 



'Best friend' selamanya doa dari mama dan abah.  Nurul Awatif yang bakal memasuki tahun 1 di sekolah yang sama dengan Khadija. Sejuk mata dan hati kami memandang anak ini.  Beliau anak seorang guru iaitu Ustazah Sharimah Ashaari, seorang anak yang saya lihat begitu patuh dengan pesanan mak ayahnya.  Kami jadikan dia sebagai kawan yang patut Khadija jadikan idola.   

















Bergambar dengan adik yang masih belum mempunyai cita-cita untuk berlumba dengan kakak dalam pelajaran.  Apa yang dia tahu, "adik kecil lagilah mama".


Sebelum balik, bergambar di atas pentas dengan sijil yang diterima. 

















Gambar yang dirakam lebih awal di tadika, sungguh segak anak mama dan abah berjubah konvo.



Sijil tamat persekolahan PASTI Darul Ulum II yang ditulis dalam tulisan jawi.  Tak jadi masalah untuk membaca sebab Khadija dah boleh tulis dan baca jawi dengan lancar.

















Balik sahaja, terus atur hadiah yang Khadija dapat satu persatu.

















Ada buku cerita, fail dan pensil warna.  Buku cerita sahaja sehingga 3 buah.  Walaupun hadiah bukan bernilai ratusan ringgit, namun bagi kami, sungguh tinggi nilainya walau hanya sebatang pensil buat kanak-kanak sepertimana reaksi Khadija yang cukup menghargai hadiah tersebut.

















Pelajar Tunas Harapan 2013.  Sepertimana anugerah ini ditauliahkan kepada kamu, tinggi lagi harapan mama dan abah untuk melihat Dija menjadi anak yang solehah berjaya di dunia dan akhirat nanti.

















Alhamdulillah, pesan mama yang juga doa buat Khadija, belajar besungguh-sungguh, cuba dapatkan nombor 1 untuk mama.  Terima kasih sayang, kerana dapat buktikannya. 


Piala ke - 14 yang dikumpul Khadija.


Semoga menjadi permulaan dan bukan penghabisan buat Khadija. Harap anugerah seperti ini berterusan sebagai pemberi semangat buat dia.

Hadiah dari mama dan abah akan menyusul nanti.  Menurut pesanan pakar motivasi, perlu ada hadiah dari ibubapa bagi setiap kejayaan anak-anak sebagai menghargai usaha mereka.


Ahli-ahli syurga yang bakal mendoakan mama dan abah nanti.

Buat Khadija, mama dan abah sungguh berbangga dengan kamu. Syukur Alhamdulillah.  Seperti kata abah Hakim, semua ini adalah ujian daripada Allah.  Apa pun, mama harap Khadija dilapangkan dada, diterangkan hati dan dipermudahkan di dalam menuntut ilmu.

Fatihah pula, harap kejayaan kakak menjadi inspirasi kepada kamu. Mama dan abah doakan adik dan kakak sama-sama berjaya di dunia dan akhirat.  Amin.






Thursday, November 7, 2013

Memasuki Tahun 1435H dan Seminar Smart Parent Brighter Kids

Tahun Islam 1435 Hijrah kami sekeluarga dimulakan dengan aktiviti yang bermanfaat.  Bermula dengan menadah tangan membaca doa awal tahun hijrah, solat maghrib berjemaah di Masjid Darul Muttaqin dan diikuti dengan ceramah agama oleh Al Fadhil Tuan Guru Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjari.  Satu permulaan yang baik buat kami sekeluarga.  Moga ia tercatat sebagai satu amalan yang berterusan, Insya'Allah.

Seterusnya, pagi 1 Muharam 1435H kami masih di lokasi yang sama, Masjid Darul Muttaqin, memenuhi program Smart Parent Brighter Kids.  Pertama kali nampak promo mengenai program ni di 'wall group Az-Zahrah Education Network', hati memang dah terikat nak pergi.  Mujur saya dan abah Hakim berkongsi minat yang sama, sukakan majlis ilmu.  Menguatkan lagi kami ke program ni bila mana Khadija dan kawan-kawan Pra Tahfiz Az-Zahrah turut dijemput menyampaikan bacaan surah Yasin.


















Khadija yang berstoking hitam.  Sebenarnya dia tak berasa sihat, baru kena demam malam sebelumnya.  Namun semangat tetap ada, walaupun badan masih dedar ketika itu.























Muka yang tak berapa nak ceria. 


Bacaan surah Yasin bergilir-gilir sehingga ayat ke 20.

















Dari kiri Tuan Zaid Mohamad, motivator @ jurulatih keibubapaan.  Beliau juga telah menghasilkan beberapa buah buku bagi berkongsi tips dengan ibubapa bagaimana mendapatkan anak dan keluarga cemerlang di dunia dan akhirat.  Maklumat lanjut boleh dilayari di laman sesawang beliau Smart Parents.

















ADUN Selat Klang, Y.B. Dr. Hajjah Halimah binti Ali yang turut bersama-sama dari mula sehingga selesai program.  Beliau turut berkongsi pengalaman beliau mendidik anak sehingga berjaya.  6 orang anak beliau ada yang telah bergelar doktor dan bakal bergelar doktor.

Pengalaman saya yang dah beberapa kali mengikuti program keibubapaan seperti ini yang turut dihadiri oleh ADUN, sebenarnya tiada langsung diselitkan dengan unsur politik.  Sebagai ibubapa, saya perlu berfikiran lebih positif dan terbuka, jangan kerana perbezaan fahaman politik sehingga kita ketinggalan untuk mendapatkan ilmu.  Saya akui, sungguh bertuah saya menjadi salah seorang daripada mereka yang dapat hadir pada hari tersebut.

















Persembahan dari Tadika An-Nur.


'Choral Speaking' oleh anak-anak dari Tadika Tunas Ria Bestari.


Sebenarnya inilah kali pertama saya lihat Tuan Zaid Mohamad ni.  Rupa-rupanya beliau telah seringkali keluar di beberapa slot motivasi di dalam rancangan TV.  Beliau juga adalah merupakan pemegang 'Degree in Finance' dan seorang bapa kepada 4 orang anak yang boleh dikatakan amat cemerlang di dalam akademik.  Jadi dari situ, beliau ingin berkongsi bagaimana untuk menghasilkan anak yang cemerlang melalui ceramah motivasi dan buku-buku yang telah beliau hasilkan.























Antara isi kandungan ceramah tersebut yang saya catat ialah anak cemerlang perlukan sokongan daripada ibubapa melalui strategi 7S yang perlu dipraktikkan di rumah :-

1.  Sayang-Menyayangi.
2.  Sistem Disiplin.
3.  Study.
4.  Semaikan Bakat Kepimpinan.
5.  Santai - Luangkan Masa Bersama.
6.  Sumbangkan Kembali Kepada Masyarakat.
7.  Serahkan Kepada Allah.

Pembelajaran anak-anak sebenarnya tidak memerlukan tusyen sekiranya ibubapa bijak mengatur jadual :-
  • Menetapkan waktu belajar 1 jam untuk 1 sesi/pelajaran sehari.  Jadikan rutin dan bukan 'last minute'.  Banyakkan latihan dan tidak perlu tuisyen sekiranya ia dibuat secara berjadual.
  • Menonton TV dan PC maksimum 2 jam dalam sehari.  Berlebihan akan menjadikan ketagih.
  • Aktiviti fizikal/bersukan/riadah perlu antara jam 5.00 petang hingga 7.00 petang.
  • Waktu makan malam antara jam 7.00 petang - 8.00 malam ~ Peringatan : Meja makan kena 'clear' dan bersih, makan perlu bersama-sama yang mana semasa di meja makanlah masa untuk berbual dan berbincang (musyawarah).  
  •  Waktu tidur terbaik adalah selewat-lewatnya pada jam 10.00 malam.  Tidur awal untuk bangun pagi esoknya lebih awal.
  • Melatih anak-anak dengan sifat kepimpinan.  Mengadakan latihan untuk anak berani tampil dan berkomunikasi di khalayak ramai. 
Ibubapa kena kenalpasti kecenderungan anak-anak dengan memberikan galakan.  Contohnya sekiranya dikenalpasti anak sukakan lukisan, hantarlah beliau ke kelas berkaitan.

Percutian perlu dirancang beberapa bulan lebih awal.  Maklumkan kepada anak supaya mereka rasa 'excited', berkelakuan baik dan berusaha.

Ibubapa perlu melibatkan diri dengan masyarakat seperti aktif di dalam PIBG, menjadi sukarelawan bagi membantu guru dan menghulurkan derma.

Setelah berusaha dan berdoa, serahkan kepada Allah.  Perlu ada sifat yakin dan positif dalam kehidupan.

















Bergambar sebaik sahaja selesai ceramah disampaikan.  Masa ni badan Khadija dah dedar balik.  Dia memang agak 'moody' hari tu.

















Fatihah yang selamba je buka tudung atas alasan panas.  Sebelah tu kawan Fatihah di tusyen belajar membaca iaitu Firas.























Fatihah yang agak menguji kesabaran, dengan keletah dan banyak alasan bila suruh buat sesuatu.  

Azam tahun baru hijrah saya, ingin menjadi seorang mama yang terbaik buat mereka.  Insya'Allah, kami akan berusaha mempraktikkan apa yang telah kami dengar dari ceramah ni.  

Usaha dan doa, itulah senjata kita sebagai seorang ibubapa.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...