Nukilan Kisah Indah Dalam Hidup Kami

Thursday, July 28, 2011

Bubur Kacang Durian

Kalau ada yang terbaca blog saya ni, mesti fikir, 'apalah, masak bubur kacang yang senang tu pun nak cerita kat blog'. Tujuan saya masukkan cerita ni ada beberapa sebab tapi yang paling utama adalah untuk memberitahu yang bubur kacang ni merupakan salah satu daripada kegemaran saya. Tambahan pula, rasa-rasanya inilah first time bagi saya bubur kacang yang saya masak sedap dan lengkap menepati citarasa saya dan Hakim.



Memang best sebab letak durian. Proses memasak bubur kacang ni bermula jam 7.30 malam. Disebabkan nak kacang hijau betul-betul kembang, saya biarkan ia lama mendidih di dalam periuk.



Sebaik sahaja masak, terus letak dalam mangkuk bagi sejuk sebab dah tak sabar nak rasa. Malam tu juga kami anak-beranak makan bubur kacang ni. Tak sangka, rupa-rupanya Khadija juga penggemar bubur kacang. Jadi tak rugilah lain kali masak bubur kacang, sebab dah ada yang berkongsi kegemaran dengan saya.

Sedikit info tentang khasiat kacang hijau yang saya google :-



Setiap jenis makanan mempunyai kelebihannya tersendiri dalam membantu kesihatan dan kecantikan diri seseorang jika diambil mengikut kadar sesuai. Antara makanan yang mempunyai khasiat tinggi, tetapi kurang diketahui orang ramai ialah kacang hijau atau nama saintifiknya Phaseolus Radiatus L.

Dipercayai berasal dari India, ia mengandungi protein, vitamin B1, vitamin B2, Vitamin A, vitamin E, niasin, amylum, besi, belerang dan mineral penting seperti fosfor, kalsium serta karotin yang amat diperlukan tubuh.

  • Bagi individu yang sedang berdiet, kandungan lemak di dalam kacang hijau dapat membantu usaha mereka.
  • Zat gizi di dalamnya mampu mengatasi penyakit anemia (kurang sel darah merah).
  • Membantu mencuci perut.
  • Mengubat gangguan hati.
  • Melancarkan pembuangan air besar.
  • Protein dan zat besi yang tinggi dalam kacang hijau dapat membantu tumbesaran seseorang terutama golongan kanak-kanak dan ia juga mampu membina darah.
  • Setiap individu digalakkan mengambil kacang hijau dalam diet mereka bagi memastikan badan memperoleh zat yang diperlukan. Kacang hijau dapat menggantikan sumber protein haiwan seperti yang terkandung dalam daging serta ikan.
  • Pengambilan kacang hijau dalam kuantiti setengah atau satu cawan sudah mencukupi bagi seseorang.
  • Kekurangan seseorang mengambil kekacang boleh menghadkan zat untuk tubuh mereka, tetapi pengambilan berlebihan tidak mendatangkan sebarang kesan negatif.

Tambahan dari saya, kalau nak melekakan toyol daripada mencuri duit dalam simpanan, petua orang tua-tua, letaklah kacang hijau ni duit tersebut.








Wednesday, July 20, 2011

Pokok Mata Kucing Dalam Kenangan

Pokok mata kucing yang kami tanam di dalam pagar kawasan rumah kami di Taman Saujana Kapar kini hanya menjadi kenangan buat kami yang mana pada pagi Ahad lepas, pokok tersebut telah ditebang.

Semasa hayat pokok ini bersama kami sejak 4 tahun yang lepas, memang tidak berhenti berbuah. Buahnya pula memang manis dan kalau dibiarkan lama di atas pokok, isinya akan menjadi semakin tebal. Memang sayang pada mulanya untuk mengambil keputusan menebang pokok ini, tapi disebabkan saiz pokok yang semakin besar, dahan yang mengeluarkan daun yang lebat dan sentiasa berguguran memenuhkan halaman rumah dan longkang menyebabkan akhirnya kami sepakat menebang pokok tersebut. Bukan apa, saya dapat merasakan yang jiran bersebelahan pun kurang selesa dengan keadaan ini disebabkan jiran saya ni memang pengemas orangnya. Daripada rasa bersalah, keputusan tersebut adalah terbaik bagi kami. Tambahan pula, tak lama lagi rumah tersebut juga bakal ditinggalkan.



Gambar yang dirakam semasa pokok ini berbuah buat pertama kalinya.



Masa ni saya ingat lagi, pokok mata kucing ni belum tinggi. Ketinggian belum sampai 4 kaki. First time dia berbuah, buahnya memang banyak dan rendah, senang nak dicapai.



Ketinggian pokok semasa first time berbuah.



Semasa proses menebang. Jiran-jiran pada mulanya ingat Hakim hanya mencantas daun sahaja seperti kebiasaannya, tapi kemudian mereka terkejut sebab habis kesemuanya ditebang.



Berselerak halaman rumah kami dipenuhi dahan pokok yang ditebang.



Pandangan dari luar pagar.



Menurut Hakim, ada putik buah mata kucing dicelah-celahan daun.



Akhirnya, tinggal tunggul pokok sahaja.

Insya'Allah, kami akan beli lagi pokok mata kucing ni untuk ditanam di lokasi yang lebih sesuai untuk pokok berdaun lebat dan rendang seperti ini.






Monday, July 18, 2011

Petang Ahad Kami

Petang Ahad lepas, lepas solat Asar, kami ke Tesco Setia Alam. Kalau diikutkan ianya tidak dirancang. Saya dan Hakim mulanya berhajat untuk ke PSM Home Centre, Jalan Meru (menjual cat, barang akesori bilik mandi dan untuk mendeko rumah) tapi tak tahu pula yang PSM ni ditutup pada hari Ahad. Maka, frustlah kami, lalu membawa kaki ke Tesco Setia Alam.

Kalau diikutkan pada hari Sabtu sebelumnya kami dah ke Tesco Setia Alam ni. Singgah sekejap bagi memenuhi hasrat Hakim untuk mengurut kaki. Bercerita tentang hari Sabtu di Tesco, saya agak teruja kerana tak disangka kenalan blog saya Asnida @ blog manik-manik kayangan yang duduk di Setia Alam telah menegur saya. Terus terang saya cakap As, masa awak panggil saya hari tu, saya tengah 'blur'. Dalam hati tengah memikir siapa yang panggil aku ni? Sebab masa tu As sedang diambil darah bagi program kempen derma darah yang sedang berlangsung di sana. Yang saya pula sedang berkira-kira untuk ke kiosk ice blended walaupun ditegah oleh Hakim kerana saya sedang batuk dan Khadija baru nak baik demam. Tiba-tiba ada suara memanggil saya, mujur nampak anak As, si Aszra. Saya puji betul si As ni, tak sombong dan peramah sangat walaupun kenal cuma dalam blog/fb. Tapi dalam dok kenal melalui blog juga, saya pernah sekali tempah cupcake dengan dia ni. Cuma masa saya mengambil cupcake di rumah mak As di Taman Seri Kerayong, As tiada.

Berbalik kepada cerita petang Ahad di Tesco Setia Alam. Sesampai di sana Khadija minta makan. Pada mulanya kami ingat nak makan yang ringan sahaja. Entah kenapa tiba-tiba saya memilih Madam Lim' Kitchen Restaurant sedangkan food court hanya di sebelah restoran ini.



Madam Lim's Kitchen Restaurant, Tesco Setia Alam.



Fatihah yang tak tahu duduk diam.



Bila 2 bergabung menjadi 1 lagilah riuh rendah dibuatnya.



Fatihah belajar tunjuk 'peace' dengan abah.



Milo ice untuk Khadija, ice lemon tea untuk abah. Saya? Cuma berkongsi dengan mereka.



Menu utama, tom yam.



Khadija sekarang ni kalau di dalam kereta, tak sah kalau sebelum sampai rumah tak singgah kedai makan atau beli apa-apa di tepi jalan. Kadang-kadang geram juga, makan tak seberapa.



Selepas makan, di area hadapan food court, kami singgah di kiosk pelukis karikatur yang mengenakan bayaran memang murah bagi kami. Berbeza semasa kami di Putrajaya, gambar hanya muka Khadija yang cuma dilukis hitam putih dikenakan RM30.00. Mengambil peluang tersebut, kami sepakat meminta gambar Fatihah dilukis.



Fatihah dah mula rimas bila tak boleh bergerak. Mujur hanya lebih kurang 10 minit sahaja masa yang diambil untuk melukis gambar ni.



Gambar karikatur Fatihah sedang diperkemaskan oleh pelukis tersebut.



Cantikkan hasil kerja pelukis yang nama Joy ni. Harga yang dikenakan pun murah, kalau hitam putih - RM10.00, warna - RM20.00. Memang berbaloi.

Masuk gambar ni, dah ada 3 gambar kesemuanya bersaiz A4 yang belum saya belikan frame. Tunggulah nanti bila ke Ikea baru saya akan belikan framenya kerana bagi saya frame di Ikea banyak pilihan dan berbeza dengan frame di tempat lain.






Thursday, July 14, 2011

Asam Pedas Ikan Jenahak

Sengaja saya masukkan gambar kuah asam pedas ikan jenahak ni.



Oleh kerana saiz ikan jenahak agak besar, bahagian kepala sahaja yang dimasak asam pedas.



Sedap juga bila sekali-sekala makan ikan besar ni.






Monday, July 11, 2011

1st Time Khadija Tanpa Kami

7 Julai 2011, 1st time saya dan Hakim lepaskan Khadija berjalan jauh tanpa ditemani kami. Memang agak ragu-ragu, tak percaya dan resah perasaan saya pada mulanya memandangkan lokasi yang dituju agak jauh iaitu Melaka. Tambahan pula, Khadija baru berumur 4 tahun. Tapi kalau diikutkan ini bukanlah kali pertama Khadija berjalan tanpa kami, kalau setakat bersarapan pagi dan ke shopping complex dengan wan atau mak-mak saudaranya memang dah kerap. Pernah juga semasa Khadija di Taska MPK, beberapakali Khadija dipilih oleh Umi untuk dibawa ke program di Shah Alam tapi kali ni berlainan kerana lokasinya agak jauh. Kalau diminta kebenaran hanya daripada saya, memang saya sekeras-kerasnya tidak membenarkan tetapi oleh kerana abahnya, Hakim beria-ia meyakinkan Khadija 'boleh', maka saya pun akur walaupun di dalam hati hanya Allah yang tahu.



Seawal jam 7.00 pagi, Khadija dah dihantar ke tadika PASTI. Khadija memang tak sabar-sabar nak ke Zoo Melaka dan Taman Buaya ni. Sebenarnya kami pernah bawa Khadija ke Zoo Melaka semasa umurnya 1 1/2 tahun.



Kami difahamkan seramai 60 orang pelajar (tak semua yang pergi, keseluruhan pelajar di tadika PASTI Darul Ulum II - 96 orang), 6 orang guru dan beberapa orang AJK mengikuti rombongan tersebut.



Khadija dengan rakan sekelas dan sebaya, Tasinatul Taufiqa.



Berbaris untuk bacaan doa.



Setiap 5 orang murid dibahagikan di bawah jagaan seorang guru/AJK. Khadija di bawah jagaan dan pengawasan Ustazah Nur Solehah yang juga merangkap ustazah yang sering menghantar Khadija balik.



Menuju ke bas. Sebanyak 2 buah bas digunakan untuk membawa peserta rombongan yang mana kira-kira pada jam 8.30 pagi, perjalanan ke destinasi dimulakan.



Berdebar-debar saya menunggu, akhirnya kira-kira jam 9.30 malam, rombongan selamat tiba di tadika PASTI. Khadija begitu ceria semasa turun dari bas, terus dipeluk abahnya.



Betapa ceria dan tak sabar-sabar Khadija bercerita pengalaman beliau.



Mujur saya dah standby sebotol susu di dalam kereta.



Fatihah sehari suntuk tak main dengan kakaknya, nampak je kakak terus dipeluknya.

Syukur Alhamdulillah. Khadija selamat pulang ke pangkuan kami. Ini membuktikan beliau mampu ditinggalkan dan berdikari tanpa kami. Walaupun menurut ustazah beliau, Khadija mengikut arahan dan berdisiplin pada sepanjang lawatan, saya tetap menganggap usia 4 tahun begitu kecil untuk dibiarkan mengikuti rombongan sendirian tanpa pengawasan ibubapa. Berbeza dengan pendapat abahnya, Hakim. Mungkin kali ni saya benarkan, tapi lain kali belum tentu lagi. Bukan apa, beringat kepada perkara-perkara negatif perlu sebelum ia berlaku.






Thursday, July 7, 2011

Kelantan & Terengganu

Pada 1, 2 dan 3 Julai baru-baru ini, kami sekeluarga telah bercuti ke Kelantan. Sebenarnya percutian ke sana adalah mengikuti rombongan PEKERTI yang merupakan Pertubuhan Pekerja-Pekerja Islam di MPK. Oleh kerana kadar yang dikenakan untuk ahli hanya RM60.00 dan kanak-kanak RM40.00 telah menyebabkan Hakim beria-ia ingin kami turut serta di dalam rombongan tersebut. Tujuan lain supaya Khadija dan Fatihah dapat merasa pengalaman menaiki bas disebabkan percutian sebelum-sebelum ini hanya menaiki kereta ataupun flight.



Bertolak dari MPK pada Jumaat malam Sabtu.



Syukur perjalanan kami selamat sampai ke Rantau Panjang, Kelantan tanpa sebarang masalah. Budak berdua ni pun tak meragam pada sepanjang perjalanan tersebut.



Salah satu kedai kain di Rantau Panjang. Saya cuma membeli toto/narita sahaja di sana.



Muka tak mandi. Sampai di Kelantan pada awal pagi, kami terus ke Rantau Panjang. Check in di hotel dalam pukul 2.00 petang. Jadi, kalau nak mandi tunggu sampai di hotellah jawabnya.



Ramai juga yang membawa anak. Bukan main riuh apabila Khadija ada geng iaitu Sabirah @ Abby anak kak Maisarah yang sememangnya Khadija kenal sebab pernah duduk bersama di Taska MPK.



Sesampai di hotel, aktiviti selepas menyegarkan badan, Khadija dan Fatihah melepaskan gian dengan sebotol susu masing-masing. Budak berdua ni memang cukup suka kalau dapat tidur di hotel, sebelum ni kalau kami tidur di hotel, especially Khadija mesti merengek tak nak balik.



Selepas berehat di bilik, kira-kira pukul 5.00 petang, kami keluar semula berjalan di bandar Kota Bharu. Sebelum tu, bergambar dulu di lobi hotel.



Hotel Juita Premier ni terletak betul-betul di tengah bandar Kota Bharu. Sangat berdekatan dengan pasar Siti Khadija, kedai makan dan lain-lain.



Berhenti makan KFC. Masa ni Khadija tengah tak selesa, menahan sakit perut. Cerewet betul si Khadija ni, memilih toilet dan tempat makan. Bila dilihat kotor, memang dia tak nak jejak langsung tempat tu.



Dah beli sedikit barang di pasar Siti Khadija (serunding ayam/daging dan budu), kami balik semula ke hotel dan disebabkan keletihan, malam tu kami tak turut serta perjalanan ke wakaf che yeh. Saya dan Hakim tak kisah pun sebab kami dah pernah ke sana sebelum ini.



Keesokan hari, sebelum meninggalkan Kelantan, sekali lagi kami dibawa ke pasar Siti Khadijah. Mengambil peluang membuktikan budak berdua ni pernah ke Kelantan, kami tidak melepaskan peluang merakamkan gambar mereka di dataran ini sebagai memori dan kenangan.



Kami.



Anak abah.



Kalau dah anak abah, apa yang abah buat jadi ikutan Khadija.



Jalan-jalan cari firdge magnet Kelantan.



Bergambar di beca.



Lepak dalam bas.



Bergambar di tepi laut, Kuala Terengganu setelah selesai ke pasar Payang hanya untuk membeli keropok. Masa ni kami menunggu ketibaan keropok losong yang telah ditempah awal di mana ada servis penghantaran kepada kami.



Kesian Fatihah, keletihan, kepanasan, ketidakselesaan dan kerimasan.

Syukur Alhamdulillah, perjalanan pergi dan balik kami ke Kelantan dan Terengganu berjalan lancar. Serik sebenarnya berjalan ke lokasi jauh menaiki bas ni, lain kali kalau ke sana saya akan menaiki flight. Bukan apa, letih.....






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...