Hujung minggu kami yang lepas memang penuh dengan aktiviti. Bermula hari Sabtu, pagi-pagi lagi kami ke MPK bagi memeriahkan program korban anjuran PEKERTI. Sebanyak 7 ekor kambing dan 7 ekor lembu ditumbangkan pada hari tersebut. Hakim turut serta sebagai petugas. Selesai program tersebut, setelah berehat di rumah mak, kami ke butik Ariani, Shah Alam bersama-sama Nor, adik saya. Hanya dia yang membeli tudung sebanyak 3 helai yang mencecah harga hingga RM250.00 dari butik tersebut, manakala saya sekadar menemani sahaja. Setelah ke butik tersebut, kami terus ke Tesco Shah Alam bagi membeli stok barangan rumah yang hampir kehabisan. Lokasi seterusnya setelah menghantar Nor dan Sarah (anak buah saya) ke rumah mak dan selesai solat Asar, kami ke kolam renang MPK di Kompleks Sukan Pandamaran, Pelabuhan Klang. Jarak kolam renang ni dari rumah mak saya di Telok Gadong amatlah dekat, kurang dari 5 minit perjalanannya.
Kalau diikutkan yang beria nak mandi kat swimming pool ni, si Khadija lah orangnya. Teruja betul dia bila tahu nak ke sana. Saya memang dah standby pun swimming suit ni.
Kolam renang MPK ni ada 3 kolam, 2 kolam kanak-kanak bersaiz sederhana dan 1 kolam untuk dewasa. Hujung minggu dan waktu cuti sekolah memang ramai pengunjung ke kolam renang tersebut memandangkan kadar bayaran yang dikenakan hanya RM1.00 untuk kanak-kanak dan dewasa RM2.00. Jadi kepada sesiapa yang punya masa terluang dan tidak tahu hendak ke mana atau mempunyai kekangan kewangan untuk membawa anak-anak bercuti, bolehlah bersantai di kolam renang MPK ni.
Fatihah masa sampai ke sini, dia sedang tidur sebab kepenatan mengikut kami dari satu lokasi ke satu lokasi sebelum ini. Tapi bila Fatihah dengar je suara Khadija yang riuh-rendah, terus Fatihah bangun dan beria-ia nak join masuk kolam juga.
Khadija dah boleh dibiarkan sendiri di dalam kolam renang kanak-kanak ni sebab kolamnya cetek je.
Abah yang terpaksa masuk sama ke dalam kolam kanak-kanak sebab nak mengawasi budak 2 orang ni. Si Fatihah pula, sekejap je berendam sebab lepas tu terus menggigil kesejukan.
2 kolam renang kanak-kanak.
Kolam ni tutup dalam pukul 9.00 malam.
Khadija ni memang berani, dia bergerak sendiri di dalam kolam tanpa perlu dipegang lagi. Kami tak lama di kolam tersebut, dalam 1 jam je. Nasib baik Khadija puas, cuma yang tak puas, abahnya sebab tak dapat mandi di kolam renang dewasa katanya. Next time, kita boleh pergi lagi ye sebab dekat je.
Balik je dari sana, saya memulakan misi memasak daging korban yang dapat dari MPK tadi. Gambar masakan tersebut lupa dirakam kerana prosesnya agak lama. Dari memotong hingga memasak, memakan masa hampir 2 jam dan itu pun dagingnya masih kurang empuk.
Cerita mengenai aktiviti hari Ahad pula, sebelah pagi kami bersarapan di luar. Hakim pada pagi tersebut kononnya nak membuat surprised kepada saya, disuruh saya membawa bersama handbag yang berisi kamera. Katanya perkara yang sebenar akan diberitahu di kedai makan nanti. Tapi surprised tersebut tidak menjadi akhirnya disebabkan diapers Fatihah terlupa di bawa bersama. Nak tahu apa surprisednya? Hakim nak bawa kami bersantai di Bukit Cahaya Sri Alam.
Gambar ni dirakam pada sebelah petang hari Ahad. Wajah keriangan 2 beradik yang tak sabar nak di bawa berjalan. Masa ni kami nak ke Klang Parade. Tujuan utama kami ke sana kerana Hakim nak massage di Thai Massage seperti yang saya janjikan sebagai hadiah hari lahir beliau baru-baru ini.
Geram dengan muka 'cute' Fatihah. Budak manja yang lincah. Fatihah pun dah pandai, nak sama pakai beg, tak padan kecil, budak comel lote ni.
Si kakak yang nakal dan banyak kerenah. Sekarang dah mula belajar membaca melalui teknik fonetik dari buku yang Hakim beli atas permintaan Khadija sendiri.
0 comments:
Post a Comment